Catatan Popular

Khamis, 11 Ogos 2011

USAH POLITIKKAN ISU AGAMA...



NEGARA kecoh ekoran serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke sebuah gereja Kristian di Selangor baru-baru ini. Pelbagai tanggapan negatif dilabelkan kepada JAIS. Sehinggakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan pantas memohon maaf dan meminta JAIS mengemukakan kepada beliau laporan penuh berkaitan insiden tersebut.
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan PEMBELA (gabungan NGO-NGO Islam di Malaysia) memantau situasi ini dengan penuh teliti.
PPMM memandang berat terhadap kenyataan-kenyataan beberapa pemimpin politik sebagai reaksi susulan terhadap penyiasatan Pasukan Penguatkuasaan (JAIS) ke atas Dream Centre, yang didakwa dimiliki Damansara Utama Methodist Church pada 3 Ogos 2011 tersebut.
PPMM juga agak musykil dengan kenyataan-kenyataan yang menggunakan istilah mengelirukan seperti telah berlaku storm, raid dan barge serta tindakan seumpamanya. Sedangkan pada hakikatnya, JAIS dan polis telah terlebih dahulu berunding dengan penganjur lebih sejam sebelum melaksanakan tujuan pemeriksaan. Ia untuk memastikan sama ada terdapat orang Islam di kalangan hadirin majlis tersebut.
Kenyataan ramai termasuk Menteri Besar boleh disifatkan sebagai campur tangan politik dalam hal ehwal agama Islam yang dipayungi kuasa Sultan.
Kenyataan Menteri Besar yang bersifat apologetic amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat ketika siasatan sepenuhnya masih berjalan.
Kenyataan dibuat oleh Menteri Besar tanpa mendapat maklumat penuh berkaitan dengan perkara sebenar yang berlaku. Perkara sebegini amat memalukan, apatah lagi apabila pemimpin negeri yang mengutarakannya.
Melihat pada respons sebahagian besar daripada pemimpin politik yang mempertikai peranan dan tugas JAIS, PPMM berasa terpanggil untuk menzahirkan rasa kesal atas kejahilan (ignorance) berkenaan hakikat kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah sepanjang sejarah negara, hatta sebelum kemerdekaan sekalipun, urusan berkaitan Islam tidak pernah diletakkan di luar naungan Sultan-Sultan dan diambilalih pemimpin politik. Hakikat ini mestilah dihormati dalam pemimpin memberikan sebarang komen demi memberikan keadilan terhadap semua pihak dalam menilai isu ini.
Objektif utama hal ehwal Islam diletakkan terus di bawah payung baginda adalah bagi menghindari hal ehwal Islam dijadikan bahan politik pihak yang berkepentingan. Tetapi objektif ini langsung tidak dihormati oleh Menteri Besar Selangor.
Susulan hakikat ini, PPMM membuat penegasan bahawa tindakan JAIS dilakukan di bawah ruang lingkup peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri dan undang-undang lain yang berkuatkuasa.
Pemeriksaan tersebut adalah jelas berdasarkan pada aduan yang harus diselidiki pihak JAIS sebagai pihak yang diberikan kuasa dan bertindak mengikut lunas dan peruntukan undang-undang. Ternyata kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan adalah tidak berdasarkan fakta-fakta serta tidak bertanggungjawab serta bermotif jahat untuk merendahkan kedudukan Islam di negara ini.
PPMM sekali lagi menegaskan bahawa dalam hal dan urusan melibatkan pentadbiran Islam, tiada sesiapapun yang sepatutnya campur tangan, khususnya mengeluarkan kenyataan kenyataan yang mengelirukan dan membawa pada penghinaan terhadap Islam dan institusi Islam.
PPMM menggesa semua pihak, terutamanya pemimpin politik tanpa mengira parti agar lebih bertanggungjawab dalam memberikan komen terhadap isu ini.
PPMM juga menggesa agar pihak JAIS diberikan ruang seadilnya untuk menyelesaikan siasatan dengan lengkap dan sekiranya terdapat kes yang boleh dibawa ke ruang pengadilan maka proses undang undang hendaklah mengambil tempat sewajarnya (due process of law).
Kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam yang sering berbeza pandangan dengan Exco Agama Selangor juga amat mendukacitakan. Tanpa apa-apa pengetahuan, Ahli Parlimen Shah Alam tersebut telahpun membuat keputusannya walaupun siasatan JAIS masih lagi belum selesai.
Adalah amat tidak adil menghentam JAIS di dalam tindakan di dalam bidangkuasa mereka. Mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 apabila mendapat aduan melalui Borang 5 tentang wujudnya suatu perlakuan kesalahan jenayah syariah, pegawai penguatkuasa agama mempunyai hak untuk mengadakan siasatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan