Catatan Popular

Sabtu, 13 Ogos 2011

JIWA MERDEKA? FIKIRKAN!!!...


Merdeka! Merdeka! Merdeka. Suara hangat , suara semangat, suara keramat yang keluar dari jiwa yang merdeka. Zaman dahulu, nenek moyang kita menyebut serta melafazkan perkataan ini dengan suara bergetar (getaran di jiwa) kerana berasa sangat-sangat terharu, sangat gembira dan sangat bersyukur. Kini bagaimana perasaan kita apabila perkataan merdeka ini disebut atau dilafazkan? Ada rasa terharu? Ada rasa bersyukur? Ada rasa bangga? Fikirkanlah dan jawab sendiri.
54 tahun negara kita Malaysia telah merdeka daripada penjajahan. Alhamdulillah. Sekiranya dibuat perbandingan dengan manusia, umur 54 tahun secara fitrahnya akan tergambar dalam fikiran kita akan kewujudan manusia yang matang dari segi fikiran dan kerjaya, mantap dari segi sahsiah diri dan material. Begitu juga dengan negara kita, Malaysia kini megah di mata dunia, malah telah menduduki antara negara yang maju berbanding negara negara jiran . Tetapi bagaimana pula dengan remaja kita? Adakah kita dapat menyelami apa itu erti kemerdekaan? Adakah jiwa dan fikiran kita benar-benar merdeka? Adakah betul cara segelintir remaja yang menyambut kemerdekaan dari waktu petang,tengah malam hingga dinihari? Rentetan daripada sambutan seperti itu menyumbang kepada masalah sosial yang lebih kronik lagi seperti percampuran antara lelaki dengan perempuan yang akhirnya membawa kepada dosa zina, natijahnya mengandung di luar pernikahan, dan akibat ‘tak tahu nak buat apa’ akhirnya kandungan itu digugurkan atau dibiarkan mati dengan sendiri dengan cara membuang di merata tempat, seperti di bawah tangga, depan rumah orang, tepi longkang dan seumpamanya.Ini bukan tuduhan melulu, tapi realiti masalah sosial remaja masa kini. Contohnya Penganjuran Konsert Merdeka sama ada di Taman KLCC, di Dataran Merdeka atau di tempat lain, pada dasarnya bertujuan memberikan kesedaran tentang erti kemerdekaan dan sedikit hiburan kepada warga kota sementara menunggu detik 12 malam 31 Ogos setiap tahun.Kesempatan ini diambil oleh mereka yang sanggup meluangkan masa bersesak di tapak konsert terutamanya para remaja. Apa yang menyedihkan, kebanyakan mereka adalah terdiri daripada remaja Melayu, lelaki dan perempuan.
Remaja Melayu khususnya gadis sudah tiada lagi segan silu memakai pakaian menjolok mata. Golongan seperti ini sudah tidak lagi segan silu berdakapan, berpeluk sambil berjalan atau sambil duduk sementara menanti detik 12 malam. Lebih mengejutkan remaja Melayu sudah tidak lagi segan silu membeli, membawa dan meminum minuman keras seperti beer sehingga ada yang mabuk di khalayak ramai. Tambah mengecewakan remaja Melayu terutamanya yang masih bersekolah tanpa segan silu menghisap rokok di khalayak ramai.
Lihat sahajalah cara berpakaian anak-anak muda. Kita pasti akan menggelengkan kepala melihat fesyen pakaiandan 
gaya rambut mereka. Mereka seperti inikah bakal pemimpin yang akan menerajui Malaysia suatu hari nanti? Cuba tanyakan, apakah erti kemerdekaan kepada mereka? Apakah mereka ini benar-benar menyambut Merdeka atau sebenarnya mereka ini terlalu seronok dan ghairah, “merdeka” daripada kawalan ibu bapa dan “merdeka” daripada kewajipan menunaikan solat Asar, Maghrib & Isyak? penghayatan sebenarnya kurang atau langsung tidak ada!. Perhatikanlah muda mudi di Bukit Bintang, KLCC atau Bangsar pada malam menjelang Hari Merdeka atau sambutan Tahun Baru 2011 akan datang, renung serta fikirkanlah.
Sempena Ramadhan yang akan muncul tidak lama lagi, marilah wahai remaja, sama-sama kita memperbaiki dan menghiasi diri dengan amalan yang murni serta berakhlak mulia , di mana ia lebih bermanfaat untuk diri serta mendapat tempat di sisi Allah. 


Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Merdeka Raya aidil fitri kepada semua remaja Malaysia. Sambutlah Hari Merdeka Raya ini dengan rasa bangga untuk terus mempertahankan kemerdekaan, dengan penuh kesyukuran bagi mengisi kemerdekaan ini dengan perkara yang berfaedah serta teruskanlah langkah memburu kejayaan...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan