Catatan Popular

Rabu, 24 Ogos 2011

Pekida bukan gengster








JUASSEH – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) menafikan ahli pertubuhan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster.
Penasihat Pekida Kuala Pilah, Abdul Razak Zainal berkata, seramai 4,000 ahli Pekida daerah Kuala Pilah tidak terlibat dengan perkara yang boleh merosakkan nama atau imej pertubuhan itu.
“Pekida bukan kumpulan gengster, kami berdaftar dan mempunyai kad keahlian tersendiri.
Beza ahli Pekida dengan bukan ahli Pekida berdasarkan kepada kad keahlian.
“Kami menjalankan amal kebajikan untuk mereka memerlukan di samping membantu mana yang perlu di samping menghulurkan tenaga untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan masyarakat juga tidak pernah dilupakan,” katanya.
Abdul Razak ditemui di Masjid Kariah Pasir Ambor pada majlis berbuka puasa dan menghulurkan sumbangan kepada 10 ibu tunggal, dekat sini.
Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, ahli Pekida berbeza dari segi pengenalan diri melalui salam kepada ahli lain.
“Jika mereka bukan ahli Pekida, sudah pasti mereka tidak tahu rahsianya dan penapisan untuk menjadi ahli juga akan dilakukan.
“Ada laporan diterima mengatakan bekas ahli Pekida yang telah dilucutkan keahliannya menyalahgunakan kad keahlian tersebut dengan menjaja dan mempergunakan kad keahlian bagi tujuan jenayah. Memang sukar untuk bezakan mereka itu ahli ataupun tidak melainkan mempunyai resit pembayaran yuran tahunan,” katanya yang kesal sesetengah pihak mengaitkan Pekida dengan kumpulan gengster.
Selain itu, Abdul Razak turut menjelaskan perjuangan Pekida sebenar dan kepentingannya kepada masyarakat awam sekali gus merungkaikan kekeliruan sesetengah pihak.
“Sebelum diiktiraf menjadi ahli Pekida, individu perlu melakukan sumpah baiah (ikrar taat setia) menjaga adat, keturunan, budaya, agama, bangsa dan negara. Gelaran ‘Kumpulan 30’ itu sebenarnya diambil daripada jumlah 30 juzuk al-Quran, membawa maksud kami berjuang berlandaskan agama.
“Selain menganjurkan kerja dan usaha amal kebajikan berfaedah untuk ahli dan masyarakat. Justeru itu, buat julung kalinya, Pekida daerah Kuala Pilah mengadakan majlis berbuka puasa bersama masyarakat kampung dalam usaha mendekati ahli Pekida dengan mereka,” katanya daripada kumpulan 30.
Katanya, pertambahan ahli Pekida bagi tahun 2011 sebanyak 200 orang termasuk lelaki dan perempuan.
“Biasanya Pekida Kumpulan 30 akan mengambil remaja 20 tahun dan ke atas kerana pada usia sebegini mereka sudah matang serta boleh berfikir secara matang.
“Mereka juga sudah tahu bezakan perkara buruk dan baik demi menjaga imej pertubuhan ini. Saya berharap ahli yang telah keluar dari pertubuhan, jangan mengambil kesempatan atas nama Pekida untuk melebarkan kuasa dan pengaruhnya. Ini boleh merosakkan imej Pekida itu sendiri,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9439923.asp

Tiada ulasan:

Catat Ulasan