Catatan Popular

Jumaat, 30 Disember 2011

SYARAT BABAS DARI DIBELENGGU SYAHWAT




ALLAH SWT menyebut bahawa Dia yang memiliki tangga dan darjat yang tinggi serta nikmat-nikmat yang melimpah ruah yang dikurniakan kepada sekalian hamba-Nya yang terpilih.

Kemudian Allah SWT menambah lagi dengan menyebut syarat untuk sampai kepada martabat yang tinggi itu dengan menjauhkan daripada kegelapan yang dapat memasukkan jiwa ke dalam neraka yang menyala-nyala sehingga dapat mengelupaskan kulit kepala.
Seterusnya, Allah SWT menjelaskan 10 syarat yang mampu membebaskan manusia daripada belenggu yang mengikat nafsu syahwat, antaranya:
*Sembahyang.
*Sentiasa mengerjakan sembahyang secara istiqamah pada waktu yang ditetapkan.
*Mendirikan sembahyang dengan cara yang paling sempurna dengan menghadirkan hati, khusyuk kepada Allah SWT di samping menjaga sunah-sunah serta peraturan sembahyang.
*Membenarkan kedatangan hari kiamat dengan melahirkan di dalam dirinya sama ada dalam bentuk iktikad atau amal perbuatan.
*Mengeluarkan sedekah dengan harta benda mereka kepada golongan fakir dan orang yang memerlukan.
*Menepati janji.
*Menunaikan amanah kepada orang yang berhak menerimanya.
*Memelihara faraj (kemaluan) mereka daripada melakukan perbuatan yang haram.
*Menyempurnakan kesaksian dengan menepati syarat-syaratnya.
*Takut terhadap azab Allah SWT.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kikir. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah. Dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kikir. (al-Maarij: 19-21)
Muqatil berkata: Ayat ini ditujukan kepada Umayyah bin Khalaf al-Jumahi. Adapun perkataanhalu' terdapat tujuh pandangan:
*Seperti yang disifatkan dalam ayat-ayat selepas ini. Inilah riwayat Atiyah daripada Ibn Abbas dan pendapat Abu Ubaidah dan al-Zajjaj.
*Orang yang loba dan tamak dengan harta yang tidak halal baginya seperti riwayat Abu Soleh daripada Ibn Abbas.
*Orang yang bakhil. Inilah pendapat al-Hasan dan al-Dahak.
*Orang yang amat kedekut. Inilah pendapat Ibn Jubair.
*Orang yang jahat. Inilah pendapat Mujahid.
*Orang yang kasar lagi ganas. Inilah pendapat Ikrimah, Qatadah, Muqatil dan al-Farra'.
*Mereka yang keras lagi samseng. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
Syed Qutub berkata: Tiga ayat yang pendek ini memberi gambaran yang jelas bahawa manusia amat gelisah dan cemas apabila ditimpa kesusahan seolah-olah ia adalah untuk selamanya.
Ia menggambarkan manusia yang kedekut dan bakhil apabila mendapat kekayaan dan kesenangan. Dia menganggap hasil usahanya sendiri dan mengabaikan orang sekeliling tanpa berbakti kepada Allah dengan kekayaan yang dianugerahkan.
Apabila kekayaannya ditarik dan dirampas, maka mereka kegelisahan dan cemas tanpa pedoman. Itulah gambaran manusia yang sungguh malang dan menderita apabila hatinya kosong dari iman.
Firman Allah SWT: Kecuali orang-orang yang mengerjakan solat, yang mereka itu tetap mengerjakan solatnya. (al-Maarij: 21-22)
Ibn Kathir berkata: Manusia disifatkan dengan sifat yang keji kecuali Allah memeliharanya memberi taufik dan hidayah ke arah kebaikan. Begitu juga mereka menjaga waktu solat dan segala yang wajib. Inilah juga pendapat Ibn Mas'ud, Masruq dan Ibrahim al-Nakaie.
Al-Maghari berkata: Manusia yang memiliki sifat yang tercela layak menerima kemurkaan Allah kecuali orang yang dipelihara dan ditunjukkan Allah SWT mengerjakan amalan kebaikan dengan dipermudahkan kepada mereka bagaimana melakukan sebab kebaikan itu.
Mereka itu terdiri daripada orang yang memelihara sembahyang pada waktunya serta tidak disibukkan dengan urusan lain. Ayat di atas menjadi bukti utama agar sentiasa mengerjakan amal ibadah kepada-Nya.
Firman Allah SWT: Dan orang-orang yang dalam hartanya tersedia bahagian tertentu. Bagi orang (miskin) yang meminta dan orang yang tidak mempunyai apa-apa (yang tidak mahu meminta). (al-Maarij: 24-25)
Ibn Kathir berkata: Sebahagian harta mereka diperuntukkan untuk mereka yang memerlukannya.
Syed Qutub berkata: Yang dimaksudkan dengan peruntukan itu secara khususnya adalah zakat dan sedekah yang tertentu kadarnya. Peruntukan ini merupakan suatu hak dan kewajipan dalam harta kekayaan orang mukmin.
Mungkin tujuannya lebih luas dan besar iaitu mereka memperuntukkan sebahagian tertentu dari harta kekayaan mereka dengan kesedaran sebagai hak orang yang meminta bantuan dan orang yang susah.
Dengan ini mereka dapat membebaskan diri mereka dari sifat kikir dan tamak di samping membuat orang yang kaya membantu orang yang miskin tanpa bersoal jawab dan sebagainya.

CABARAN MENGHADAPI TAHUN 2012




BEBERAPA hari lagi kita semua akan menyambut tahun baru masehi 2012. Masa terus berlalu dengan pantas dan jika kita tidak bersedia atau tidak membuat tindakan bijak kita akan terus tertinggal malahan cabaran baru kian menghimpit kita.

Menyedari perkara itu, Islam telah menyarankan agar umatnya sentiasa peka dan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan bagi memastikan kehidupan umat dan Islam terus terjamin.
Pada hari ini pihak kepimpinan negara telah menyarankan agar kita melakukan transformasi bagi memastikan kejayaan dapat dicapai dalam aspek ekonomi, politik dan sosial dan juga memperbaiki keadaan negara dan rakyat seluruh agar lebih baik dan sempurna.
Dalam Islam transformasi disebut sebagai islah. Ia bermaksud perubahan ke arah kehidupan atau keadaan yang lebih baik. Proses islah atau transformasi pada asasnya terdapat dua aspek yang perlu dilihat iaitu al-islah al-insan (transformasi kehidupan manusia) dan al-islah al-manhaj (transformasi sistem kehidupan manusia).
Dalam transformasi kehidupan insan, Islam telah menetapkan manusia sebagai alat yang dapat mengubah atau mencipta sesuatu perubahan. Oleh yang demikian segala bentuk perubahan atau pembaikan adalah bertujuan membina kualiti kemanusiaan.
Kitab suci al-Quran yang mengandungi pelbagai aspek pengajaran yang menyentuh aspek akidah, hukum-hakam, akhlak, sirah dan juga sains dan teknologi. Kesemua aspek tersebut disebut oleh Allah SWT sebagai satu petunjuk kepada manusia untuk mencapai perubahan atau membina peradaban kemanusiaan.
Ini jelas seperti firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.(ar-Ra'd: 11)
Perubahan diri (taghir al-anfus) atau disebut sebagai self reform dapat dilakukan dengan wujudnya kesedaran dalam diri seseorang untuk melakukan perubahan.
Ini disebut sebagai self introspection atau muhasabah diri dan selanjutnya disusuli dengan tindakan untuk membangun semangat ke arah kebaikan dan juga pembaikan diri.
Muhasabah diri merupakan suatu tuntutan yang penting pada hari ini kerana kehidupan yang kian mencabar dari pelbagai aspek.
Amat sedih kerana ramai di kalangan umat Islam pada hari ini hanya sibuk melemparkan pelbagai tuduhan dan sering mencari kesalahan orang lain sehingga tidak mampu dan gagal menemukan faktor-faktor kelemahan diri sendiri.
Oleh yang demikian, kita perlu mengingati apa yang telah disebut oleh Khalifah Umar al-Khattab yang telah mengingatkan: "hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung."
Walaupun ramai yang mentafsirkan peringatan tersebut merujuk kepada persiapan kematian, tetapi kepentingan untuk bermuhasabah dalam pelbagai aspek kehidupan perlu kita lihat dalam konteks yang lebih luas.
Untuk itu kita perlu bermuhasabah dan tindakan tersebut perlu dimulakan oleh diri kita sendiri seperti mana saranan Rasulullah SAW yang menyebut ibda' binafsika (mulakan daripada diri kamu sendiri).
Perlu kita sedari bahawa umat Islam tidak akan terjatuh atau terperosok ke lembah kehinaan jika seluruh umat Islam mengamalkan dan memegang teguh ajaran Islam. Pelbagai cabaran dan kehinaan akan menimpa umat jika umat Islam gagal untuk mengambil ajaran Allah sebagai petunjuk dan panduan kehidupan.
Berdasarkan keadaan tersebut, beberapa tindakan memperbaiki diri dan membetulkan keadaan umat perlu dilakukan. Keadaan ini perlu dimulakan dengan membetulkan dari aspek visi keislaman yang jelas, akidah yang murni, ibadah yang kukuh dan disertai dengan ilmu serta sifat ikhlas yang mantap.
Jika ini dapat dilakukan ia akan melahirkan akhlak yang baik dan semangat penyebaran syiar Islam yang menyeluruh.
Proses yang disebutkan di atas akan memacu setiap insan Muslim ke arah yang lebih baik dan melakukan perubahan diri. Perlu kita sedari bahawa seorang Muslim yang baik, tidak akan pernah dalam dirinya bersifat statik dalam melakukan perubahan dalam diri.
Pada asasnya kehidupan hari ini perlu lebih baik daripada semalam dan kehidupan hari esok perlu lebih baik daripada hari ini. Jika berlaku keadaan yang statik atau jumud, ini bererti berlaku kemunduran dan jika tidak dibaiki, keadaan akan menjadi bertambah buruk dan akan menuju kehancuran atau kebinasaan.
Perkara ini perlu disedarkan kepada seluruh umat dan kesedaran fahaman wasatiah atau ummatan wasatan perlu digerakkan bagi mencapai ciri-ciri umat yang terbaik (khaira ummah).
Jika kesedaran ini dapat digerakkan dan dapat dicapai sudah pasti umat Islam akan dapat menjadi pemimpin dunia bukan sahaja dalam penguasaan politik tetapi juga dalam segala aspek kehidupan manusia seluruhnya kerana umat Islam pernah menjadi pemimpin dunia dalam bidang sains, teknologi, ekonomi, politik dan juga peradaban secara umumnya.
Al-Islah al-manhaj
Untuk al-islah al-manhaj iaitu transformasi sistem kehidupan manusia berdasarkan fikrah manusia yang merupakan makhluk sosial yang perlu kepada saling berkomunikasi dan berinteraksi di antara satu sama lain.
Dalam melakukan hubungan sosial atau interaksi, manusia memerlukan peraturan atau sistem yang dapat mengatur kehidupan dengan lebih baik dan sempurna.
Sehubungan itu, Islam telah mengatur atau membentuk sistem kehidupan manusia secara jamaie yang mampu membentuk sistem hidup manusia yang sempurna.
Ini semua terkandung dalam peraturan dan hukum-hakam yang terdapat dalam ibadah, munakahat, muamalat dan juga jenayah. Selain itu, Islam juga mementingkan aspek kepimpinan kerana manusia bukan makhluk haiwan yang hidup tanpa ikatan peraturan dan norma-norma tertentu.
Untuk itu, dalam hidup yang berperaturan dan bersistem, memerlukan kepimpinan yang mampu mengurus manusia ke arah yang lebih baik.
Ia tidak sekadar menumpukan kepada ibadah-ibadah khusus yang berbentuk individu semata-mata tetapi ia perlu terus dimantapkan dengan pengukuhan pelbagai aspek kehidupan dan peraturan Islam yang merangkumi aspek ibadah khusus dan ibadah umum yang melibatkan kepentingan seluruh umat.
Sirah nabawi juga telah mencatatkan terdapat dua orang nabi yang telah membawa syariat Islam dan diikuti oleh ramai umat manusia iaitu Nabi Musa a.s dan Nabi Muhammad SAW.
Kedua-dua pemimpin manusia utusan Allah itu tidak sahaja mengajak manusia melakukan ibadah secara khusus seperti puasa, solat, zakat dan zikir semata-mata tetapi kedua-dua utusan Allah itu mengajak manusia melakukan ketaatan Allah berlandaskan sistem Islam yang dibawa oleh mereka.
Untuk itu, dalam usaha membina sistem kehidupan yang bertujuan untuk membentuk manusia ke arah yang lebih sempurna dan berjaya, seluruh umat Islam perlu melihat ibadah serta aspek kehidupan bermasyarakat dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Islam mampu membentuk masyarakat melakukan perubahan secara menyeluruh dalam kehidupan bermasyarakat dan bukan tidak mempercayainya atau meminggirkannya.
Sesungguhnya transformasi atau islah dalam konteks Islam yang berteraskan dua aspek yang disebutkan iaitu al-Islah al-insan (transformasi kehidupan insan) dan al-Islah al-manhaj(transformasi sistem kehidupan manusia) adalah saling berkait. Kegagalan pada satu aspek akan memberi kesan kegagalan kepada aspek yang satu lagi.
Ia umpama benih dan juga tanah yang saling berkaitan dalam bidang pertanian. Manusia seumpama benih yang perlu ditanam di tanah yang sesuai dan sistem (manhaj) merupakan tanah yang subur perlu bagi pertumbuhan benih yang baik.
Benih-benih yang baik tidak akan tumbuh pada tanah yang gersang atau kering. Jika sebaliknya, walaupun tanahnya subur dan baik tetapi benihnya tidak baik atau rosak, kita tidak boleh mengharapkan pokok akan tumbuh dengan subur dan akan berbuah dengan lebat dan segar.
Justeru, dalam menghadapi tahun baru 2012 kita perlu membina semangat baru dan berazam menjadi individu yang bersedia melakukan perubahan yang lebih baik dan berkesan serta menjadi insan yang berguna.
Ia seperti mana peringatan Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25.

Khamis, 29 Disember 2011

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN 2012

◕▄███▄◕──◕▄██▄◕ ──◕▄███◕─◕▄███▄ ◕
◕▀──██◕─◕██──██ ◕───◕██◕─◕▀──██ ◕
◕──██◕──◕██──██ ◕───◕██◕─◕──██◕
◕─██◕───◕██──██ ◕───◕██◕─◕─██◕
◕█████◕──◕▀██▀◕ ───◕▄██▄◕◕█████ ◕ 







SEMOGA DITAHUN BARU INI, AKN MEMBUKA SATU LEBARAN BARU DIDALAM KEHIDUPAN KITA ... INSYAALLAH...



Doa Dan Harapan

Tarikh: 
 30/12/2011
Riwayat: 
 (Abu Daud dan at-Tirmidzi)
Kategori: 
 Ibadah

Hadith: 
Nukman bin Basyir meriwayatkan bahawa Nabi S.A.W pernah bersabda:Doa merupakan satu ibadat, lalu baginda membaca ayat: Dan berkata Tuhan-Mu: Berdoalah kepada-Ku...

Huraian Hadith: 
Doa adalah jambatan seorang hamba untuk menyampaikan keinginannya. Namun hendaknya kita tidak hanya meminta sesuatu yang hanya mencakupi urusan dunia semata, melainkan mencakupi urusan dunia dan akhirat sekaligus sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran yang maksudnya: "Maka di antara manusia ada yang berdoa, 'Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia'. dan tiadalah baginya kebahagiaan di akhirat. Dan di antara mereka ada yang berdoa, 'Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka.' Mereka itulah orang-orang yang mendapat kebahagiaan dari apa yang mereka usahakan. Dan, Allah sangat cepat perhitungan-Nya." (al- Baqarah : 200-202).

Rabu, 28 Disember 2011

DOSA MEMBUNUH




Bicara IKHLAS
ANTARA berita yang biasa kita saksikan di dada akhbar dan kaca televisyen saban hari ialah kes-kes pembunuhan. Ia seolah-olah telah menjadi berita wajib yang menghiasi warta jenayah sumber-sumber berita yang ada. Bagaikan tidak ada penghujungnya, kes-kes pembunuhan dilihat makin menjadi-jadi sehingga ada kes yang tidak mendapat liputan media kerana mungkin tiada 'nilai komersial' lagi.
Islam telah menganggap pembunuhan sebagai dosa yang amat besar. Sehingga orang yang membunuh dan juga yang terlibat dengan pembunuhan tersebut dijanjikan dengan balasan yang amat dahsyat sekali. Bukan sahaja balasan seksaan yang berat menunggu mereka di akhirat, bahkan hukuman tegas pasti akan dijatuhkan sekiranya didapati bersalah. Betapa beratnya balasan di akhirat dapat diperhatikan dengan ancaman untuk menjadikan si pembunuh sebagai penghuni neraka selama-lamanya dan mendapat kutukan serta kemurkaan Allah SWT.
Firman Allah SWT: Dan barang siapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam. Dia akan kekal di dalamnya, dan Allah SWT murka kepadanya, dan mengutuknya serta menyediakan azab yang besar baginya. (an-Nisa': 93)
Mereka yang terlibat atau bersubahat menjayakan pembunuhan tersebut juga tidak terlepas daripada hukuman yang berat dan terhindar daripada rahmat Allah SWT sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: "Barang siapa yang membantu untuk membunuh seorang Muslim walaupun dengan satu kata (ucapan), maka dia akan menjumpai Allah SWT dalam keadaan tertulis di antara kedua belah matanya 'orang yang putus asa dari rahmat Allah SWT. (riwayat Ahmad)
Sebagaimana yang kita tahu, Allah SWT telah menetapkan detik kematian seseorang itu termasuklah cara kematiannya. Kesemua yang berkaitan dengan kehidupan dan kematian telah termaktub dan tertulis di sisi Allah SWT. Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Justeru, Allah SWT melarang kita dari mendahuluinya dalam menetapkan kematian seseorang.
Inilah hakikatnya yang berlaku kepada orang yang melakukan pembunuhan. Mereka seolah-olah ingin mendahului Allah SWT dalam menetapkan detik kematian, mendahului malaikat dalam mencabut nyawa manusia.
Imam Az-Zahabi telah menyenaraikan dosa membunuh manusia sebagai dosa kedua terbesar selepas dosa syirik kepada Allah SWT.
Beliau merujuk kepada firman Allah SWT: Dan mereka yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah SWT, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah SWT kecuali disebabkan dengan kebenaran... (al-Furqan: 68)
Bagi menghalang berlakunya pembunuhan, Islam telah mendatangkan langkah pencegahan bermula dari awal lagi. Islam telah mendidik manusia supaya kasih-mengasihi, sayang-menyayangi serta saling menghormati di antara satu sama lain.
Islam juga melarang daripada mempunyai penyakit-penyakit hati seperti berikut;
1- Cinta kepada dunia dan benci kepada kematian (hubbu dunya wakarahiyatul maut): Cinta kepada dunia dapat melahirkan sifat tamak kepada pangkat, harta benda dan sebagainya dan benci kepada kematian menyebabkan seseorang itu alpa kepada pembalasan di akhirat.
2- Cemburu dan iri hati: Iri hati ialah sifat yang muncul akibat dari perasaan ego dan sombong sehingga tidak boleh melihat orang lain melebihinya. Lalu digunakan pelbagai cara untuk menjatuhkan orang tersebut termasuklah melalui pembunuhan.
3- Dendam kesumat: Terdapat di kalangan kita yang sukar memaafkan dan melupakan kesalahan. Lantas ia akan menyebabkan rasa tidak puas hati. Apabila perasaan ini dipendamkan, ia akan mencetuskan dendam yang berpanjangan.
Ketiga-tiga sifat di atas adalah antara punca utama berlakunya kes-kes pembunuhan. Walaupun hukuman yang layak bagi si pembunuh ialah hukuman mati, namun masih terdapat di kalangan kita yang sanggup melakukannya tanpa rasa takut dan gentar.
Justeru, untuk menghentikan jenayah ini, ia perlu bermula di hati. Pembersihan hati perlu bermula dengan pendidikan dan pengurusan hati untuk mengelakkan penyakit-penyakit yang tiada ubatnya. Ia adalah kaedah terbaik bagi mencegah berlakunya pembunuhan.

Jumaat, 23 Disember 2011

KISAH HIDUP 35 ULAMA





KALAU bertemu dengan seseorang yang memakai baju dengan potongan tangan yang agak pelik - sebelah besar dan sebelah lagi pula kecil - tentu terus terlintas di fikiran mesti ada yang tidak kena atau gila.
Tetapi tahukah anda, itulah gaya Imam Abu Daud, salah seorang antara ulama hadis yang enam, seorang yang hafiz, warak dan kuat beribadat.
Dalam buku ini diceritakan betapa Imam Abu Daud dikatakan mempunyai hikmah serta falsafah di sebalik cara dia berpakaian. Pada masa dahulu, beliau mempunyai satu lengan (baju) yang luas dan satu lengan yang sempit. Apabila ditanya beliau menjawab: "Yang luas (lengan) itu untuk aku membawa (memasukkan) kitab-kitab di dalamnya manakala yang sebelah lagi pula tidak diperlukan. Jika diluaskan (dibesarkan) juga ia merupakan satu perbuatan membazir!"
Setiap kita tentunya suka untuk membaca kisah-kisah peribadi, memori hidup atau biografi mereka yang terkenal dan berjasa. Kisah-kisah dalam melalui liku-liku hidup pahit manis, suka duka mereka pastinya akan menyentuh perasaan, meninggalkan seribu satu pengajaran dan menjadi sumber inspirasi kepada para pembaca.
Tetapi jarang kita dapat mengikuti kisah-kisah kehidupan peribadi para ulama terutama yang telah lama meninggalkan kita, malah sehingga beratus-ratus tahun dahulu.
Kisah hidup mereka sama penting untuk kita ketahui sebagaimana kita mengikuti kisah sejarah atau sirah Rasulullah, ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda.
Para ulama juga mempunyai kisah kehidupan mereka yang sangat unik, menarik dan sangat mengagumkan. Malah mereka juga sebenarnya menonjolkan kehidupan yang sangat sederhana tetapi mampu menguasai pelbagai kepakaran dan mempunyai hobi-hobi yang menarik.
Mereka mampu menterjemahkan segala falsafah yang dipegang dalam segenap kehidupan namun yang jelas ulama tidak sahaja pewaris nabi tetapi mereka sangat mencintai ilmu.
Dek kerana ilmu mereka sanggup menggembara ke merata tempat supaya tidak ketinggalan memiliki ilmu tersebut dan sanggup mengembara jauh juga semata-mata untuk menyebarkan ilmu. Begitu sekali komitmen yang mereka pamerkan kerana terlalu cintakan ilmu. Sesuai dengan Hadis Rasulullah yang diriwayatkan Muslim, Abu Daud, Tirmidzi dan An Nasai yang bermaksud; Sesiapa yang berjalan supaya mencari ilmu nescaya Allah memudahkan baginya jalan ke syurga.
Muhammad Abdulloh berjaya mengumpulkan kisah hidup hampir 35 para ulama dari zaman silam Islam sehinggalah ulama-ulama tempatan di Malaysia.
Ditulis dalam catatan yang sangat menarik dan penulis yang berasal dari Sandakan Sabah itu benar-benar semakin mendekatkan diri kita kepada ulama-ulama tersebut walaupun mereka telah lama meninggalkan kita.
Bukan suatu yang gimik tetapi penulis melontarkan perkara berikut iaitu Imam Syafie dan Imam Ahmad pandai bersyair? Imam Malik suka menyanyi? Ibnu Firdaus, lakukan cubaan pertama terbang di udara? Ibnu Sina, selamatkan perut raja? Ibnu Sirin, pandai mentafsir mimpi? Ibnu Hazm, sibuk bercinta? Imam Nawawi sanggup membujang demi ilmu? Abuya Hamka, ceramahnya sangat memukau? Imam Bukhari, kuburnya harum dengan wangian Misk? Jenazah Imam Ahmad, Said Nursi dan Syeikh Albani dihadiri jutaan manusia?
Seperti tingkah laku yang ditunjukkan oleh ulama pentafsir mimpi terkenal, Ibnu Sirin apabila pada suatu hari iaitu pada waktu tengahari, ulama itu memasuki sebuah pasar yang sibuk.
Di tengah-tengah pasar itu, beliau akan bertakbir dan bertasbih berulang-ulang kali dengan suara yang kuat.
Apabila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, Ibnu Sirin menjawab: "Kerana pada masa-masa seperti sekarang inilah manusia lupa kepada Allah!" Menarik bukan?
Apabila kita menyoroti kehidupan ulama Tok Kenali dari Kelantan misalnya dari aspek pemakanan hari-harinya adalah sangat sederhana. Ini kerana beliau betul-betul mengamalkan makan untuk hidup.
Beliau hanya masak nasi yang dicampur serentak dengan ikan kering agar sekali gus terus menjadi nasi berlauk, iaitu dua dalam satu malah bertujuan untuk menjimatkan masa memasak!
Kisah ulama Sheikh Abdullah Fahim, iaitu datuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi juga menarik. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa pada pertemuan untuk membincangkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu, Abdullah Fahim memberitahu Almarhum Tunku Abdul Rahman bahawa selepas mencapai kemerdekaan, akan bertukar namanya. Ramalan yang dibuat berdasarkan ilmu firasat yang beliau miliki ternyata benar apabila dengan kehendak Allah juga, Tanah Melayu telah bertukar namanya kepada Malaysia, lima tahun selepas kemerdekaan! Harus diingat, beliau jugalah individu yang bertanggungjawab memilih tarikh 31 Ogos 1957 sebagai tarikh keramat, kita merdeka!
Dan banyak lagi kisah-kisah menarik dan semuanya ada di dalam buku ini dan pastinya ia bukan satu kisah dongengan tetapi bahawa para ulama juga tidak sahaja mempunyai kisah benar tetapi juga mempunyai kisah-kisah luar biasa mereka!

AZAB PASTI DATANG




SURAH ini diturunkan selepas surah al-Haqqah dan sebagai penyempurna gambaran tentang keadaan Hari Kiamat dan azab neraka. Surah ini dikatakan sebagai surah makiyah dengan ijmak ulama.
Firman Allah SWT: Seseorang telah meminta kedatangan azab yang akan menimpa. Orang-orang kafir, yang tidak seorangpun dapat menolaknya. (al-Maarij: 1-2)
Ahli tafsir berkata: Ayat ini diturunkan kepada al-Nadir Ibn al-Haris ketka berkata: Ya Allah, jika ini yang dibawa oleh Muhammad, adalah benar disisi-Mu, maka turunkan ke atas kami balasan hujan daripada batu. Inilah pendapat jumhur ulama termasuk Ibnu Abbas dan Mujahid. Ada pendapat lain menyatakan ayat ini diturunkan kepada Abu Jahal. Inilah pendapat al-Rabi' Ibnu Anas.
Berkenaan dengan yang meminta dan berdoa. Di sini ada tiga pendapat:
* Berdoa supaya dikenakan bala azab sebagai tanda mengejek.
* Berdoa supaya Allah menimpakan azab pada dirinya.
* Berdoa supaya azab benar-benar berlaku dan terjadi.
Al-Maghari berkata: Seorang peminta telah meminta kedatangan azab yang pasti berlaku, meskipun ia diminta atau tidak diminta (ia tetap akan berlaku). Ini disebabkan azab itu pasti menimpa orang kafir di akhirat kelak dan tidak ada seorang pun yang berdaya menghalang kedatangan azab tersebut.
Firman Allah SWT: (yang datang) dari Allah, yang mempunyai tempat-tempat naik. (al-Maarij: 3)
Ibnu Kathir berkata: Azab yang pasti berlaku kepada orang kafir daripada Allah. Adapun perkataan zi al-ma'arij ada beberapa tafsiran:
* Allah yang bersifat Maha Tinggi kedudukan dan kelebihan. Inilah pendapat Ibn Abbas.
* Tangga-tangga langit. Inilah pendapat Mujahid.
* Allah mempunyai banyak kelebihan dan nikmat. Inilah pendapat Qatadah.
Syed Qutub berkata: Surah ini menceritakan ada orang yang meminta ditimpakan azab dengan segera kemudian menjelaskan bahawa azab ini memang tetap berlaku dari satu segi ia telah ditetapkan dalam perencanaan Allah SWT. Dari segi yang lain, ia sudah hampir berlaku dan tiada siapa mampu menolak dan menghalangnya. Oleh itu, orang yang meminta supaya azab disegerakan merupakan orang yang malang sama ada individu atau berkumpulan.
Azab ketika itu disediakan kepada seluruh orang kafir termasuk orang yang meminta azab disegerakan. Hari itu berlaku dengan perintah Allah Yang Maha Besar. Di dalam surah yang lain menceritakannya.
Firman Allah SWT: Malaikat-malaikat dan Jibril naik (menghadap) kepada Tuhan dalam sehari yang kadarnya lima puluh ribu tahun. (al-Maarij: 4)
Berkenaan dengan 50,000 tahun ia merupakan masa pada hari Kiamat. Dan ia cukup panjang dan lama bagi orang kafir.
Seorang lelaki pernah bertanya kepada Ibnu Abbas berkenaan kadar masa ini. Lantas jawabnya: Ia merupakan dua hari yang Allah sebut kedua-duanya dan aku tidak suka untuk menyebut dalam kitab Allah apa yang tidak aku ketahui.
Syed Qutub berkata: Menurut pendapat yang terkuat, maksud kata-kata hari yang disebutkan dalam ayat ialah hari Kiamat kerana susunan ayat itu sendiri menentukan maksud tersebut.
Pada hari tersebut, para malaikat dan Jibril akan naik menghadap Allah SWT. Maksud kata-kata al-ruh pula menurut pendapat yang sama, iaitu Jibril kerana beliau juga dinamakan dalam surah-surah yang lain. Beliau disebut khusus selepas para malaikat kerana kedudukannya yang istimewa.
Demikianlah juga istiadat para malaikat menghadap Allah SWT dan menunjukkan betapa istimewanya hari tersebut. Kita tidak dituntut untuk mengetahui tugasan yang penting pada hari tersebut, bagaimana caranya malaikat naik bertemu Allah SWT kerana semuanya urusan alam ghaib dan tidak mungkin kita mengetahuinya.
Firman Allah SWT: Maka Bersabarlah kamu dengan sabar yang baik. Sesungguhnya mereka memandang siksaaan itu jauh (mustahil). Sedangkan kami memandangnya dekat (mungkin terjadi). Pada hari ketika langit menjadi seperti luluhan perak. (al-Maarij: 5-8)
Ibnu al-Jauzi berkata: Bersabarlah atas pendustaan mereka terhadapmu dan ayat ini dikatakan diturunkan sebelum ayat diperintahkan memerangi mereka kemudian dinasahkannya.
Ibnu Kathir berkata: Berlakunya azab dan Kiamat pada sangkaan orang kafir amat jauh dan hampir mustahil berlaku sedangkan orang yang beriman yakin bahawa kiamat amat hampir berlaku kecuali waktunya tidak diketahui hanya Allah sahaja.
Firman Allah SWT: Dan gunung-gunung menjadi seperti bulu (yang berterbangan). (al-Maarij: 9)
Al-Maghari berkata: Gunung-ganang hancur lebur, tidak tegak berdiri, gambarannya seperti bulu-bulu yang berterbangan ketika ditiup angin. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada al-Hasan: Gunung-ganang itu bergerak bersama angin, kemudian menjadi hancur seperti pasir dan pada saat itu seolah-olah bulu yang berterbangan kemudian hancur berkecai sehingga menjadi debu-debu yang bertebaran.
Firman Allah SWT: Dan tidak ada seorang teman akrabpun menanyakan temannya. Sedang mereka saling memandang. Orang kafir ingin kalau sekiranya dia dapat menebus (dirinya) dari azab hari itu dengan anak-anaknya, Dan isterinya dan saudaranya, Dan kaum keluarganya yang melindunginya (di dunia). Dan orang-orang di atas bumi seluruhnya kemudian (mengharapkan) tebusan itu dapat menyelamatkannya. (al-Maarij: 10-14)
Kebanyakan ulama berpendapat pada ketika itu seseorang kerabat tidak bertanya tentang kerabatnya walaupun bertemu kerana masing-masing bimbang hal mereka sendiri. Ini kerana rasa gerun dan takut keadaan suasana tersebut. Inilah pendapat Muqatil.
Syed Qutub berkata: Manusia pada hari tersebut sibuk dengan masalah masing-masing. Mereka tiada masa memikirkan masalah orang lain. Kedahsyatan malapetaka Kiamat itu memutuskan segala perhubungan dan memenjarakan setiap orang dengan halnya yang tersendiri. Mereka tidak menghiraukan sesiapa walaupun ternampak sahabat karib. Kesusahan dan ketakutan menyelubungi semua orang.
Bagaimana pula orang yang bersalah? Seluruh perasaannya diselubungi ketakutan dan dia bercita-cita menebuskan dirinya daripada diazab dengan anak-anaknya, isterinya dan saudara maranya yang selalu memberi perlindungan kepadanya dan kerana terlalu ingin menyelamatkan diri dia berangan-angan menebuskan dirinya dengan seluruh penghuni bumi.
Itulah gambaran yang terharu dan mendesak dalam melepaskan diri dari seksaan. Semuanya tertulis dalam pengungkapan ayat al-Quran yang sangat menarik untuk dihayati bersama.
Firman Allah SWT: Sekali-kali tidak dapat, sesungguhnya neraka itu adalah api yang bergolak. Yang mengelupas kulit kepala. Yang memanggil orang yang membelakang dan yang berpaling (dari agama), serta mengumpulkan (harta benda) lalu menyimpannya. (al-Maarij: 15-18)
Berkenaan dengan perkataan laza, ada beberapa pendapat:
* Al-Farra' berkata: Perkataan laza merupakan salah satu nama neraka jahanam yang demikian kerana mereka diheretnya.
* Ibn al-Anbari berkata: Dinamakan demikian kerana kepanasan dan sifat membuaknya.
* Ada pendapat menyatakan pada bahasa dengan nyalaan yang benar-benar hebat.
Sedangkan tafsiran berkenaan dengan kulit yang disiat ada empat pendapat:
* Kulit kepala. Inilah pendapat Mujahid.
* Kulit dan rupa wajah yang cantik. Inilah pendapat al-Hasan dan Abu al-'Aliyah.
* Tumit dan kaki. Inilah pendapat Ibn Jubair.
* Segala anggota seperti dua tangan, dua kaki dan kepala. Inilah pendapat al-Farra' dan al-Zajjaj.
Al-Maghari berkata: Tebusan itu tidak akan diterima meskipun dia membawa seluruh penghuni bumi atau membawa harta yang paling berharga, walaupun emas sepenuh bumi. Begitu juga jika dia membawa anaknya yang merupakan cahaya hatinya di dunia, atau membawa isteri dan keluarganya.
Syed Qutub berkata: Neraka itu memanggil mereka sebagaimana mereka pernah dipanggil di dunia untuk menerima hidayah Allah tetapi berpaling daripada panggilan itu. Akan tetapi apabila mereka dipanggil api neraka ketika itu tidak berupaya dan berdaya menidakkannya. Mereka tidak menghiraukan dakwah kerana sibuk dengan urusan dunia mengumpul harta tetapi hari yang dijanjikan dan neraka yang memanggil mereka, maka ketika itu tidak terdaya dan ada harapan untuk menidakkan kerana ia telah terpilih merasai azab yang telah dijelaskan oleh Allah SWT.
Api ini dapat menarik penghuni neraka yang telah diciptakan Allah SWT untuknya antara para penghuni padang al-Mahsyar (tempat berkumpul). Sememangnya telah ditakdirkan bahawa penghuni neraka ketika di dunia dahulu mengerjakan pekerjaan penghuni neraka. Mereka mengotorkan diri apabila berdusta dengan hati mereka. Kemudian meninggalkan amalan yang dilakukan dengan anggota badan malah mereka mengumpul harta dan menyimpannya tetapi mereka tidak menunaikan hak Allah SWT dan mereka pula disibukkan dengan harta itu sehingga lalai mengerjakan kewajipan-Nya sama ada dalam bentuk perintah atau larangan.
Semoga Allah menjadikan kita di kalangan hambanya yang soleh, seterusnya melayakkan kita menghuni syurga-Nya dan selamat daripada neraka-Nya. Amin.

Khamis, 22 Disember 2011

PEMIMPIN YANG DIINGINI RAKYAT




Memegang jawatan sebagai pemimpin bukanlah semudah yang disangka sekiranya tidak penuh ilmu di dada maka akan hancurlah segalanya. Tanggungjawab yang dipikul pula perlu dilaksanakan dengan sebaiknya berlandaskan syarat-syarat ditetapkan, terutama mengikut al-Quran.

Daripada Abu Hurairah yang berkata, bahawa telah bersabda Rasulullah SAW: Maksudnya: “Apabila manusia telah mengabaikan amanah maka nantikanlah saat kehancuran.” Maka orang pun bertanya: Bagaimana amanah itu diabaikan ya Rasulullah? Baginda bersabda: “Apabila diserahkan urusan (tanggungjawab) kepada bukan ahlinya maka nantikanlah saat kehancuran.” (Hadis riwayat Bukhari no. 59)

Justeru, tidak susah untuk menjadi pemimpin tetapi bukan mudah untuk laksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan itu sekiranya segala syarat tidak dirujuk berpandukan al-Quran.

Jawatan menteri atau pentadbir urusan negara merupakan suatu kedudukan yang amat penting bagi memastikan keamanan dan kebajikan rakyat terpelihara dan keadilan dapat terlaksana. Al-Quran ada memuatkan sedikit kisah dan syarat dalam menjadi seseorang menteri di dalam kisah lagenda berkenaan Nabi ALLAH Yusuf.

Firman ALLAH SWT : “Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu terdapat pengajaran bagi orang-orang yang mempunyai akal. Al-Quran itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) yang sebelumnya dan menjelaskan segala sesuatu, dan sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (Yusuf : 111)


Menteri pelaksana arahan raja

Penceramah bebas, Emran Ahmad berkata, kedudukan menteri ialah sebagai pentadbir dan pelaksana segala arahan raja serta menjadi pengurus negara dalam mentadbir sumber di samping menjalankan urusan-urusan pemerintahan bagi pihak raja atau sultan yang memerintah.

Menurutnya, seorang raja biasanya mempunyai menteri yang ramai bagi membantunya menjalankan tanggungjawab memerintah dan mentadbir rakyat jelata serta menangani sebarang urusan dan keperluan mereka.
“Pada hari ini, kedudukan menteri ditentukan oleh pilihan raya dan undian daripada rakyat yang memilih orang-orang tertentu yang dianggap sesuai sebagai wakil mereka untuk memerintah dan menjalankan amanah mentadbir Negara,” katanya.


Bebas fitnah

Kata Emran, al-Quran telah menyebutkan tentang syarat-syarat menjadi menteri seperti bebas dari tuduhan dan tohmahan buruk seperti kisah nabi Yusuf yang menolak untuk keluar dari penjara dan bertemu dengan Sang Raja walaupun setelah berhasil menolong pemerintah tersebut mentafsirkan mimpinya selagi fitnah ke atas diri beliau belum dibersihkan.

“Nabi Yusuf meminta supaya dirinya dibicarakan secara adil dan dibersihkan dari tuduhan negatif serta tohmahan berkaitan skandal wanita yang dikaitkan dengan diri beliau. Setelah pengakuan dari wanita-wanita yang mengaku terlibat dalam skandal memburukkan peribadi beliau telah berjaya diperoleh barulah Nabi Yusuf meminta kepada raja supaya melantik dirinya menjadi menteri,” jelasnya.


Sokongan dan kepercayaan ramai

Tambahnya lagi, seorang yang menjadi menteri juga tidak boleh mengharapkan kepada kebolehan dirinya semata-mata. Ini kerana pentadbiran negara dan mengurus urusan rakyat memerlukan kerjasama daripada semua pihak dan pelbagai lapisan masyarakat.

“Kerjasama dan sokongan hanya dapat diperoleh jika kita diberikan kepercayaan oleh orang ramai atau disokong oleh pihak yang memerintah seperti raja atau sultan yang berkuasa di dalam negara.

“Nabi Yusuf hanya meminta jawatan sebagai menteri dan pembesar negara apabila beliau sudah mendapat kepercayaan dan sokongan daripada raja yang memerintah. Ini disebabkan pada zaman tersebut sokongan rakyat tidak memainkan peranan penting kerana kekuasaan negara pada ketika itu terletak kepada raja,” ujarnya.

Berbeza dengan keadaan hari ini katanya, apabila kita berada di dalam masyarakat yang mengamalkan sistem demokrasi maka sokongan dan kepercayaan daripada rakyat adalah amat penting untuk diperoleh sebelum seseorang itu boleh atau layak diangkat sebagai menteri.

“Setiap menteri itu sebelum dilantik ke dalam majlis jemaah menteri adalah perlu bagi pihak pemerintah untuk mendapatkan restu atau sokongan rakyat dalam calon-calon menteri yang dicadangkan oleh parti yang menang dalam pilihan raya.

“Hal ini sekurang-kurangnya dapat membantu menyatupadukan masyarakat dan setiap orang reda dan dapat memberikan kepercayaan kepada pemimpin dan menteri yang telah dilantik,” katanya.
Amanah, berpengetahuan luas

Kata Emran, ini berdasarkan firman ALLAH yang seterusnya di dalam surah Yusuf yang menyebut : “Berkata Yusuf: “Jadikanlah aku penjaga bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan.” (Yusuf : 55)

“Hendaklah seseorang calon menteri itu memiliki sifat amanah dan pandai menjaga sumber negara yang akan dipertanggungjawabkan kepadanya di dalam jawatan sebagai menteri. Tugas utama seorang menteri itu ialah menguruskan sumber negara bagi mencapai objektif dan tujuan-tujuan yang dikehendaki oleh pihak pemerintah atau bagi memenuhi kebajikan rakyat.

“Selain daripada itu syarat berpengetahuan juga adalah penting dan mustahak dimiliki bagi memastikan tiada kesilapan atau kesalahan fatal yang akan dilakukan dari sebab kejahilan atau kebodohan seseorang menteri itu di dalam melaksanakan kewajipannya,” jelasnya.

Katanya juga, adalah tidak patut seorang ahli politik yang tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan mendalam di dalam sesuatu bidang tertentu dilantik sebagai menteri yang menguruskan hal ehwal bidang tersebut.

Rabu, 21 Disember 2011

KESHUMULAN UNDANG-UNDANG ISLAM




Ajaran Islam mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia. Dalam ajaran Islam terdapat pelbagai panduan hidup sama ada tentang urusan peribadi, keluarga, masyarakat dan Negara. Inilah keistimewaan agama Islam iaitu kesyumulan ataupun keuniversalannya.
Kesyumulan agama Islam dijelaskan dalam al-Quran: Tiadalah (haiwan) yang melata di bumi dan tiada pula burung yang terbang dengan dua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu juga. Tiada Kami tinggalkan sesuatupun dalam kitab ini, kemudian mereka semuanya dihimpunkan kepada Tuhan mereka. (al-An'am:38)
Islam mempunyai hukum ke atas semua perkara yang terbit dari manusia. Allah SWT berfirman: Pada hari Kami bangkitkan pada tiap-tiap umat seseorang saksi atas mereka dan Kami bawa engkau (Muhammad) menjadikan saksi pula ke atas mereka ini. Kami turunkan kepada engkau Kitab (al-Quran) untuk menerangkan tiap-tiap sesuatu dan menjadi petunjuk dan rahmat, serta khabar gembira bagi orang-orang Islam. (al-Nahl: 89)
Memandangkan ajaran Islam mencakupi semua aspek kehidupan manusia dan dapat menghukum dan menyelesaikan apa saja permasalahan manusia, tidak wajarlah bagi seorang seorang Muslim membenarkan sebarang sistem lain menyusun mana-mana aspek kehidupannya.
Seandainya seseorang Islam melakukan sebaliknya, mereka sebenarnya tergolong dalam kumpulan orang-orang yang hanya mempercayai sebahagian daripada al-Quran dan menolak sebahagian yang lain. Mereka ini akan mendapat kehinaan dalam kehidupan di dunia dan akan menerima azab yang amat pedih pula di akhirat.
Allah menjelaskan di dalam al-Quran yang maksudnya: Adakah kamu beriman kepada sebahagian kitab dan ingkar akan sebahagiannya? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian, melainkan kehinaan dalam kehidupan di dunia dan pada hari Kiamat pula akan dimasukkan ke dalam siksaan yang keras. Allah tidak lali dari apa-apa yang kami kerjakan. (al-Baqarah:85)
Sesungguhnya Islam telah memperkenalkan undang-undang kepada pemeluknya. Undang-undang di sini bermaksud hukum-hukum untuk mengatur hubungan antara individu. Undang-undang Islam menetapkan hukuman dan balasan terhadap individu yang melanggar undang-undang itu, sama ada hukuman dan balasan itu bersifat sivil yang dilaksanakan ke atas harta penjenayah atau hukuman dalam bentuk balasan setimpal (qisas atau retaliation) dengan perbuatan penjenayah. Ini dapat dilihat dalam kes mencedera tubuh badan orang lain atau membunuh orang lain; yang akan dihukum dengan mencederakan hidung atau bunuh balas ke atas pesalah.
Undang-undang Islam juga merangkumi pelbagai sudut dalam hubungan sesama manusia. Undang-undang Islam menghukum semua perbuatan sama ada ia wajib, sunat, haram, makruh, harus, sah dan batal. Semua perbuatan manusia, zahir dan batin terikat dengan hukuman ini. Tidak ada satu pun yang terlepas daripada ruang lingkup ini.
Dr Abdul Karim Zaidan membahagikan hukum-hukum Islam kepada empat bahagian:
1) Hukum-hukum akidah, iaitu hukum-hukum yang berkaitan dengan akidah seperti beriman kepada Allah, hari Akhirat, kufur dan murtad.
2) Hukum-hukum akhlak, iaitu hukum-hukum yang berkaitan sifat-sifat mahmudah (yang terpuji) yang sepatutnya ada pada diri setiap Muslim seperti sifat jujur, sabar, menjauhi perkara syubhat dan lainnya di samping menjauhkan sifat mazmumah (yang keji) seperti riak, takbur dan lainnya.
3) Hukum-hukum yang berkaitan dengan urusan manusia dengan Allah seperti solat, puasa, haji, zakat yang merupakan ibadat khusus.
4) Hukum-hukum yang mengatur hubungan antara individu semasa mereka. Hukum-hukum ini terbahagi kepada lapan bahagian:
l Hukum-hukum kekeluargaan yang meliputi nikah, kahwin, cerai, nafkah, pusaka dan sebagainya (Undang-Undang Keluarga).
l Hukum-hukum muamalah yang menyusun hubungan individu dengan orang lain dalam perkara sivil seperti jual beli, sewa, gadai menggadai dan sebagainya (Undang-Undang Transaksi/Kontrak).
l Hukum-hukum kejaksaan yang berkaitan persoalan kehakiman seperti pendakwaan, saksi, sumpah dan sebagainya yang lebih dikenali sebagai Kanun cara Jenayah/Mal.
l Hukum-hukum dalam negeri yang antara lain menyusun perhubungan dengan orang bukan Islam yang masuk ke dalam negara Islam, termasuk hak-hak dan kewajipan mereka.
l Hukum-hukum antarabangsa, iaitu hukum-hukum yang menyusun hubungan antara negara Islam dengan negara lain dalam hal peperangan, perdamaian dan sebagainya (Undang-Undang Antarabangsa).
l Hukum-hukum perlembagaan yang menyusun sistem pemerintahan dan kaedahnya iaitu cara-cara memilih ketua negara, hubungan pemerintah dengan individu dan sebagainya. Hukum ini dikenali sebagai Undang-undang Perlembagaan.
l Hukum-hukum yang berhubung hasil negara dan perbelanjaannya. Menyusun sistem kehartaan antara individu dengan individu, individu dengan negara, golongan kaya dengan miskin dan sebagainya.
l Hukum-hukum yang berkaitan dengan hukuman dan denda yang dikenakan ke atas pesalah jenayah, mal, keluarga dan sebagainya.
Berdasarkan huraian ringkas di atas, dapat disimpulkan betapa universalnya Syariah Islam. Apabila kita perhatikan segala kehidupan yang ada sekarang, undang-undang Islam sebenarnya boleh memenuhi kehendak zaman dan masa.
Undang-undang Islam tidak bersifat jumud sebaliknya mengambil kira faktor persekitaran, kepentingan awam (maslahah) dan kehendak politik (siyyasah syar'iyyah) semasa dalam menentukan sebarang hukum yang sesuai dengan penduduk setempat.
Walaupun hukum yang dikeluarkan merujuk kepada tulisan-tulisan kitab silam, namun ia perlu melihat kepada kepentingan dan latar belakang serta sebab ia dikeluarkan. Tentu sekali ia merujuk kepada sumber utama seperti Quran dan Sunnah dan sumber sekunder seperti Ijma', Qiyas, Ijtihad, Masoleh Mursalah, 'Uruf, Istihsan dan lain-lain yang menjadi tunjang kepada hukum Islam.
Oleh itu, sebagai umat Islam yang patuh sewajarnya kita cuba memahami hakikat undang-undang Islam ini dan membantu menjadikannya realiti.