Catatan Popular

Khamis, 28 Julai 2011

“PAHLAWAN NEGARA TONGGAK KEKEBALAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN ”




Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
  “PAHLAWAN NEGARA TONGGAK KEKEBALAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN ”                                                              
(29 JULAI 2011 / 27 SYA,BAN 1432H)



Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dalam bulan Sya’ban  yang mulia ini, saya berpesan kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk:  PAHLAWAN NEGARA TONGGAK KEKEBALAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN .
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Tanggal 31 Julai pada setiap tahun negara kita akan menyambut Hari Pahlawan. Sambutan tarikh keramat ini cukup melakar pengertian  kepada kita sebagai anak bangsa yang cintakan agama, bangsa dan negara. Pahlawan negara samada terdiri daripada warga Angkatan Tentera Malaysia, Polis di Raja Malaysia dan lain-lain agensi keselamatan serta individu yang secara bersama mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Oleh itu bersempena dengan sambutan ini, marilah sama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan besar yang antara lain ialah memperjuang kedudukan agama Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan sehingga kekal hingga kini.
Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 3(1) telah memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan. Bagaimanapun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Di dalam Perlembagaan juga dinyatakan bahawa yang di Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri yang tiada raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan. Manakala di negeri-negeri lain ketua agama Islam ialah Sultan atau Raja di negeri berkenaan. Justeru sebagai umat Islam kita hendaklah memberi taat setia yang tidak berbelahbagi kepada pemerintah negara lebih-lebih lagi kita telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah An-Nisa’ ayat 59:
Bermaksud:  Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya”.

Persoalan besar timbul di sini ialah siapakah yang menjadi pahlawan negara sebagai  tonggak kekebalan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan?. Mereka ini ialah  Raja-Raja Melayu, pemimpin-pemimpin Melayu serta umat Islam. Mereka telah mengubal dasar dan undang-undang yang dilaksanakan dengan  mengambil kira kedudukan  Islam sebagai agama negara di samping yang sama menggubal undang-undang bagi menyekat  pengembangan  agama-agama lain di kalangan orang-orang Islam. Memasukkan Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam dibawah kuasa Sultan. Bagi menjamin kedaulatan negara mereka telah menunjukkan sikap toleransi yang amat tinggi nilainya dengan menyerahkan sebahagian kuasa serta menerima bangsa lain sebagai warganegara. Sikap toleransi ini telah diiktiraf oleh bangsa lain dengan menyatakan kesyukuran dan terima kasih kepada orang Melayu di atas pengorbanan ini. Seorang pemimpin bukan Islam di negara ini pernah berkata: Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan santun dan tertib selain dari bangsa Melayu. Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.
Daripada kenyataan ini,dapatlah difahami bahawa negara kita adalah sebuah negara yang amat prihatin kepada semua rakyat yang bermastautin di negara ini. Kita merasa bertuah dengan kepimpinan terdahulu yang telah berjuang dan berkorban demi kemajuan anak bangsanya agar duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sungguhpun sejarah telah membuktikan bahawa agama Islam telah diterima sebagai agama bagi Persekutuan dan Raja-Raja Melayu telah diberi pengiktirafan yang sewajarnya, namun kedudukan agama Islam sering kali mengundang pelbagai pentafsiran oleh masyarakat negara ini. Kedudukan Islam terus dipertikaikan dan diperdebatkan oleh mereka yang enggan atau gagal memahami kedudukan Islam. Suara-suara sumbang golongan tertentu terus berkumandang dengan menyalahtafsirkan kedudukan agama Islam di bawah Perlembagaan Persekutuan, sehinggalah berlaku kekeliruan umat Islam yang menganggap agama Islam hanya digunakan untuk perkara-perkara ibadat sahaja. Mimbar ingin menegaskan bahawa sekiranya salah tanggapan ini dibiarkan berterusan adalah dikhuatiri bahawa agama Islam akan dipandang sebagai agama yang mempunyai kedudukan yang sama rata dengan agama lain dan tidak mempunyai keistimewaan tertentu.
Mutakhir ini juga kita kedengaran terdapat beberapa pihak yang cuba memperlekehkan agama Islam dengan berbagai cara dan helah. Mereka mencabar kesahan penguatkuasaan undang-ungang Syariah dan kewibawaan institusi-institusi Islam seperti Jabatan Mufti dan Mahkamah Syariah. Fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti telah berani dicabar dengan alasan bercanggah dengan hak kebebasan beragama,  undang-undang Syariah dituduh sebagai kolot kerana bercanggah dengan kehendak konvensyen-konvensyen antarabangsa yang mempromosikan demokrasi dan hak asasi manusia ala barat. Mereka juga menerapkan fahaman liberal dan pluralisme serta yang terkini fahaman komunisme bentuk baru yang bertujuan menggugat serta menghakis nilai-nilai dan pegangan umat Islam.
Lebih malang lagi kesempatan ini telah diambil oleh musuh-musuh Islam untuk merendahkan martabat agama Islam. Mereka menuntut pelaksanaan suruhanjaya antara agama yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Mempertikaikan pelaksanaan hukuman Syariah, menyokong kes murtad. Menuntut supaya golongan homoseksual, lesbian dan penukaran jantina diberi hak kebebasan untuk mengamal kegiatan mereka. Mereka juga mempersoalkan kedudukan Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam sebagai agama Rasmi Persekutuan. Musuh Islam juga pernah mencemarkan nama Allah dalam kitab-kitab karangan pemimpin agama mereka serta senantiasa memperlekehkan Rasulullah SAW dan al Quran.
Sekali lagi persoalan timbul disini kenapa perkara ini berlaku?.  Berdasarkan pemerhatian mimbar, keadaan ini berlaku disebabkan beberapa perkara: Pertama:Umat Islam sendiri telah berpecahbelah mengikut kumpulan tertentu, Kedua:Sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama kerana kepentingan  diri dan kumpulan dan Ketiga:Terdapat umat Islam bersyubahat dengan pihak tertentu untuk mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi di negara ini atas alasan untuk  mempertahankan hak asasi pihak lain. Oleh itu, mimbar ini ingin mengingatkan sekali lagi bahawa jika umat Islam berterusan berpecahbelah, hilang integriti dan diperalatkan pihak lain, maka lambat laun kekebalan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan akan terhakis, umat Islam di negara ini akan menerima nasib yang malang seperti yang berlaku di sesetengah negara di mana rakyatnya diburu dan dihalau daripada tanah air mereka sendiri.
Muslimin Yang di Rahmati Allah sekalian,
Mengadakan hubungan baik dengan orang bukan Islam bukanlah bermakna kita melupakan tanggungjawab kita kepada Islam. Agama Islam telah mengatur prinsip-prinsip toleransi dan hubungannya dengan penganut agama lain. Namun di dalam persoalan agama dan akidah, kita sebagai  umat Islam tidak boleh sama sekali berkompromi dengan kesyirikan. Mimbar mengingatkan kepada semua pihak janganlah mempertikaikan apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama sejak kemerdekaan lagi. Jangan cuba menyemarakkan api perpecahan kerana ia akan menghancurkan sesebuah negara. Ingatlah kepada pepatah orang Melayu: Dimana bumi dipijak, disitu langgit di junjung. Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah sekalian apabila kita ditekan dan dituntut oleh pihak tertentu untuk memenuhi tuntutan mereka, maka hendaklah kita berpegang teguh kepada ajaran Islam supaya kita tidak hilang  pedoman. Firman Allah SWT dalam Surah Al-An’aam ayat 153:
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.

Bersempena dengan Sambutan Hari Pahlawan tahun 2011  pada 31 Julai ini, maka  mimbar menyeru marilah kita memperkukuhkan cinta kepada Allah dengan ikhlas berjuang menegakkan agama Allah SWT, syariat Allah dan memperbanyakkan amal soleh supaya kita terus kekal menjadi seorang pahlawan negara dan dimasukkan dalam golongan yang berjuang fi sabilillah. Marilah sama-sama kita mempertahankan kesucian agama Islam dengan menjaga dan mendaulatkan  kekebalan agama Islam yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.Teruskanlah perjuangan yang telah ditinggalkan oleh datuk-nenek kita agar kesinambungan ini dapat menjamin kedudukan agama Islam sentiasa dimartabatkan. Ingatlah usaha kita ini merupakan  sebahagian  daripada jihad yang akan diberi ganjaran syurga oleh Allah SWT di akhirat nanti. Muaz bin Jabal ra telah meriwayatkan sabda Rasulullah SAW:    Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar memerah susu unta, maka wajib baginya mendapat pahala syurga. Dan barang siapa yang memohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad, kemudian ia mati atau dibunuh, maka baginya balasan syahid. Dan barang siapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka ia datang pada hari akhirat sederas darah yang mengalir ketika luka warnanya seperti za’ faran dan baunya bagaikan kasturi” (Riwayat: An-nasa’i)
Mimbar juga ingin mengambil kesempatan dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini, menyeru seluruh umat Islam sekalian untuk sama-sama kita memanafaatkannya dengan melakukan amal ibadat yang berlipat ganda, melakukan kebajikan dan sebagainya. Ingatlah bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan yang penuh kerahmatan, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. Mengakhiri khutbah marilah sama-sama kita  mengambil iktibar  firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 20 :

Maksudnya: Orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah; dan mereka itulah orang yang berjaya .




Tiada ulasan:

Catat Ulasan