Catatan Popular

Khamis, 9 Ogos 2012

KEMANA ARAH TUJU MELAYU


Dunia pasca selepas Pilihanraya Umum Ke-12 memperlihatkan pelbagai ketidakpastian timbul dek pertelagahan diantara parti politik yang memerintah negara dan juga parti politik yang berjaya memerintah lima negeri pada masa kini.

Perjuangan parti politik berdasarkan kaum dianggap sudah tidak releven lagi pada masa kini, tapi hakikat yang 

berlaku ialah setiap isu yang melibatkan kaum masih lagi dianggap diantara isu pilihan untuk diperkatakan ramai. Setiap tindak-tanduk pemerintah dan parti-parti yang bersekutu diantara satu sama lain apabila memperlihatkan kecondongan kepada satu pihak sahaja maka akan timbullah suara-suara halus dan kasar bagi menyokong serta mengkritik keputusan tersebut tidak kiralah samada kuputusan tersebut datangnya dari satu bumbung atau sebaliknya.

Melayu masa kini kian terhimpit ditengah-tengah pergolakan politik yang tidak kesudahan. Pelbagai isu seperti isu perlantikan orang melayu sebagai Menteri Besar, kouta pelajar melayu di UITM, hasrat pengurangan pemilikan 30 peratus ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat senaraian awam, perlantikan kaum cina sebagai Pengurus Besar PKNS, pertikaian hak dan kedudukan keistimewaan orang melayu dalam perlembagaan, kontrak sosial, dasar ekonomi baru dan banyak lagi jika mahu dihuraikan satu persatu disini memperlihatkan bahawa melayu pada masa kini jelas telah mengalami keretakan yang ketara disebabkan ideologi politik melayu itu sendiri yang berbeza.

Berdasarkan kepada Buletin Perangkaan Malaysia (terbitan Jun 2006), jumlah penduduk di Malaysia ialah seramai 26.64 juta orang. 24.8 juta orang merupakan warganegara Malaysia manakala bakinya 1.84 juta orang merupakan bukan warganegara Malaysia. Kaum Melayu mewakili 54 % dari populasi penduduk iaitu seramai 13.48 juta orang. Kaum bumiputera (selain daripada Melayu) seramai 2.93 juta orang mewakili 11.8 %. Justeru itu kaum Bumiputera mewakili 65.8 % dari jumlah keseluruhan warganegara Malaysia.

Walaupun melayu merupakan penduduk asal dan majoriti di negara ini, namum perpecahan yang berlaku amat jelas dan nyata. Saya tidak menyalahkan masyarakat melayu secara total yang menyebabkan perkara ini berlaku tetapi tidak boleh dinafikan bahawa para pemimpin parti politik dan politikus yang bermatlamatkan kepentingan diri mengatasi segalanya yang sebenarnya telah menjadi penyebab kepada berlakunya perpecahan kaum melayu sepertimana yang berlaku pada hari ini. Alangkah buruk dan jijiknya mereka ini kerana menjual maruah kepada orang lain tanpa memikirkan kesan yang bakal diperolehi kaum keluarga, kerabat dan bangsanya sendiri.

Pelajarilah bagaimana kaum lain yang dahulunya datang mencari rezeki dan berhijrah ke negara kita bertujuan mempermudahkan penjajah inggeris mengaut kekayaan negara telah bersatu padu menongkah arus meninggikan taraf hidup dan kini telah berjaya dalam banyak bidang mengatasi penduduk asal di bumi itu sendiri. Tidak malukah kita kepada kaum itu yang kini mulai berkuasa dan telah mula tawar manawar dalam perkara yang pada hakikinya adalah milik kita sebelum ini.

Orang melayu memang pandai, tapi kepandaian itu telah disalahgunakan bagi menjatuhkan kaumnya sendiri. Dunia politik memang kotor, menghalalkan segalanya bagi mencapai matlamat telah banyak mengadai maruah kaum melayu bagi membolehkan segelintir pemimpin politikus yang kononnya diagung-agungkan bagi memartabatkan bangsa melayu tetapi hakikat sebenarnya ialah banyak memperjudikan nasib orang melayu secara tidak langsung.

Bilakah agaknya perkara ini akan berakhir...
Melayu itu satu kaum yang sama agamanya iaitu Islam, berlandaskan adat resam serta tutur kata yang senada. Kemanakah hilangnya tatasusila dan semangat kepahlawanan yang diwarisi daripada darah yang mengalir di badan masing-masing. Fikir-fikirkanlah, selagi kita lemah dan tidak bersatu, selagi itulah orang lain akan mengambil kesempatan diatas kelemahan kita itu. Jangan salahkan orang lain jika suatu hari nanti kesemua apa yang dimiliki kita pada hari ini hanya boleh diketahui oleh anak cucu kita apabila mereka membuka buku sejarah. Pada masa tersebut mereka akan berkata: "kenapa bangang betul tok nenek aku dulu..." I|I

Tiada ulasan:

Catat Ulasan