Catatan Popular

Khamis, 9 Ogos 2012

DETIK SATU PERJALANAN


Kekadang hati seseorang yang sudah meningkat umur iaitu meniti saat tuanya hanya suka bersendirian duduk termenung di sesuatu tempat yang selalu menjadi tempat santainya.Tujuannya adalah mencari ketenangan di samping mengimbau kenangan lalunya untuk dikenang.Masa silam yang tidak mungkin bertandang untuk dirasakan semula.

Adakalanya seorang tua itu suka memandang dan 

melihat keindahan alam yang tiap detik mengumpamakan pergerakan zamannya.Mereka mampu mentafsirkan waktu pagi, tengahari, petang yang mereka lalui dapat mengimbau sejarah diri mereka yang pernah ditempuh dahulu samada peristiwa itu indah, manis, buruk dan pahit.

Orang tua juga ada masa sukar difahami perasaan mereka.Adakala mereka bahagia, suka, gembira dan ada tikanya hati dilanda resah, kecewa dan duka.Selalunya perasaan mereka terusik akan sesuatu perkara yang tidak disukainya.Kebiasaannya mereka selalu menegur kesalahan orang yang lebih muda darinya.

Maka ketika itulah hatinya mula menaruh perasaan hiba dan membenci seandainya tegurannya tidak diterima.Orang tua banyak makan asam garam terlebih dahulu, salahkah mereka menegur untuk kebaikan supaya orang yang lebih muda tidak mengikut kata hati sendiri yang boleh membawa tersalah langkah menduga kehidupan di dunia.

Dalam keadaan tertentu kata bicara orang tua ini mungkin tidak sesuai dan tidak boleh diterima bulat, adakala perlu dibuat pertimbangan wajar dan bijaksana, janganlah terus menyanggah pandangan mereka kerana pendapat mereka sedikit sebanyak boleh dijadikan panduan.Sekurang-kurangnya hormatilah pada pandangan dan kedudukan usianya.

Janganlah sampai mencemuh orang tua kerana pandangannya tidak dipersetujui, sehingga sanggup mencerca dan menghina mereka.Walaupun mereka berpandangan sempit tidak seperti orang muda yang berpelajaran tinggi namun orang tua amat kaya dengan pengalaman yang tidak diajar dimana-mana institusi di dunia ini.

Usahlah kita hanya pandai mengata dan mencemuh pandangan orang tua kerana suatu hari kita akan terjerumus juga ke usia itu.Belum tentu diri itu sempurna selamanya dan belum tentu kebijakan di zaman muda sentiasa terserlah, entah-entah lebih buruk kerana pelupa dan nyanyok sebelum sempat sampai ke usia yang lebih tua.

Kesombongan diri orang muda terhadap orang tua selalu mendapat pembalasan dari Tuhan Yang Maha Adil.Bongkak dan ego sekarang, belum tentu berterusan setelah rambut beruban dan kulit sudah mengendur nanti.Barulah ketika itu kita baru memahami erti dan makna hati dan perasaan seorang tua yang meniti senja...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan