Catatan Popular

Khamis, 2 Februari 2012

SIRAH NABI JADI IKTIBAR HIDUP


MEMPELAJARI serta menghayati sejarah adalah perkara yang cukup penting bagi kita tidak kira sama ada sejarah peribadi individu ulung, bangsa, kelompok masyarakat serta peradaban manusia.


Pengajaran yang diambil bukan hanya sekadar mengetahui mengenai perjalanan atau riwayat hidup manusia namun paling penting ialah mengambil panduan, iktibar dan pengajaran daripada perjalanan hidup generasi terdahulu. 
Menyelidiki sejarah boleh membuatkan seseorang itu berubah menjadi lebih cemerlang dan positif. Malah ia dapat mendidik manusia supaya tidak sombong sekiranya dapat mengecapi nikmat kejayaan kerana mereka tahu ada yang lebih baik daripadanya.

Begitu juga jika ditimpa derita atau musibah mereka dapat menghadapinya kerana memikirkan pasti ada golongan manusia yang lebih malang daripada mereka sebelum ini.

Dalam kisah Nabi Ismail a.s, ketika bapanya Nabi Ibrahim a.s menerima perintah Allah supaya menyembelihnya, baginda Nabi Ismail menjawab, Insya-Allah dirinya akan termasuk dalam golongan orang yang sabar dengan perintah itu kerana baginda tahu ada orang terdahulu yang lebih lagi kesabarannya dengan ujian Allah sebelum ini.

Maka sekiranya kita mahu menjadi manusia baik, positif dan cemerlang seperti nabi junjungan besar kita Muhammad SAW caranya tentulah dengan mempelajari sirah serta sejarah baginda iaitu dari lahirnya hingga hari kewafatannya.

Banyak manfaatnya mempelajari sirah nabi antaranya kita akan lebih banyak memahami peribadi Rasulullah. Semakin banyak kita mengenal peribadi Rasulullah, semakin kita menyedari kekurangan diri, juga semakin banyak teladan yang dapat diambil daripadanya.

Bagi yang mengambil iktibar, mereka akan berusaha mendekatkan jurang perbezaan itu. Siapalah kita jika dibandingkan dengan peribadi Rasulullah.

Mari kita renungi contoh ini: Satu hari isteri baginda Aisyah menunggu kepulangan baginda untuk membukakan pintu sehinggalah lewat malam.

Kerana lama menunggu, Aisyah tertidur. Rasulullah pulang lalu memberi salam serta mengetuk pintu hingga tiga kali tetapi Aisyah tidak tersedar, lalu Rasulullah tidur di luar rumahnya.

Menjelang fajar Aisyah, terbangun daripada tidurnya lalu merasa hairan kerana Rasulullah masih belum pulang. Tetapi apabila membawa pintu, alangkah terkejutnya Aisyah apabila melihat Rasulullah tidur di luar rumah.

Aisyah terus meminta maaf tetapi Rasulullah ternyata tidak marah dan tidak menyalahkan Aisyah atas kejadian itu. Begitulah perihal kehidupan Rasulullah.
Bayangkan, jika ada antara kita yang sampai sanggup memukul isteri semata-mata kerana perkara kecil malah mendabik dada kerana merasakan diri mereka ‘berkuasa’.

Mempelajari sirah nabi memudahkan kita memahami hadis Rasulullah atau ayat suci al-Quran kerana ada sesetengah hadis dan ayat Quran menjadi jawapan kepada perkara yang berlaku pada zaman Rasulullah.

Dengan sirah nabi juga kita dapat memahami prinsip hidup dan hukum-hakam.
Antaranya prinsip ketaatan kepada Allah. Meskipun sesuatu perintah Allah itu berasa sukar dan berat untuk dilaksanakan tetapi ia perlu ditaati dan dilaksanakan tanpa alasan atau ditangguh-tangguh...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan