Catatan Popular

Khamis, 20 Oktober 2011

Pertahan kedudukan istimewa Islam





HIMPITAN dan asakan terhadap umat Islam di Malaysia sudah mula dirasai oleh orang Islam. Dalam era pasca kemerdekaan sahaja memang banyak cabaran yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia.

Begitu juga kisahnya semasa sebelum mencapai kemerdekaan. Menyorot kembali kisah-kisah duka yang terbaru seperti kes Asihah Bukhari, Jamaludin Othman dan Azlina Jailani @ Lina Joy yang begitu menghiris perasaan umat Islam kerana kemurtadan mereka.

Ditambah dengan gerakan Interfaith Commission (IFC), Article 11 dan Gerakan Pluralisme Agama sudah pasti menjadi ancaman kepada keutuhan kedudukan istimewa agama Islam di Malaysia.

Terbaru kemelut siasatan yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor terhadap sebuah premis yang dimiliki oleh Damansara Utama Methodist Centre (DUMC) juga menjadi isu yang hangat diperkatakan.

Unsur-unsur penyebaran agama Kristian kepada orang Islam memang ada menurut Sultan Selangor tetapi bukti tersebut tidak cukup untuk membuat pendakwaan.

Dalam masa yang sama adalah lebih baik bagi mengambil pendekatan mendidik berbanding menghukum dalam kes tersebut seperti yang dititahkan oleh Sultan Selangor.

Di mahkamah pula terdapat banyak cabaran yang telah dikemukakan terhadap institusi agama Islam seluruh negara.

Umpamanya dalam kes Sulaiman Takrib lawan Kerajaan Negeri Terengganu keesahan fatwa mufti telah dicabar.

Dalam kes Muhammad Abdullah @ Moorthy pula,jenazah seorang mualaf pula menjadi bahan pertaruhan di mahkamah bagaimana ia akan dikebumikan.

Dalam kes Subahsini lawan Saravanan pengislaman anak kecil dipertikaikan oleh pihak yang bukan Islam.

Semua perkara di atas dan banyak lagi yang tidak disenaraikan di sini menjurus kepada mempersoalkan kedudukan istimewa Islam di Malaysia.

Di Malaysia, agama Islam tidak boleh disamakan dengan agama-agama lain kerana ia satu-satunya agama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

Nama agama lain langsung tidak disebut di dalam Perlembagaan melainkan hanya dinyatakan agama lain boleh dianuti dan diamal dengan aman dan harmoni.

Namun begitu ketiadaan sebutan nama agama lain itu tidaklah menggambarkan penindasan terhadap agama lain kerana Islam itu sendiri adalah agama yang adil dan saksama. Perlembagaan juga menjamin orang bukan Islam menganut dan mengamalkan agamanya selaras dengan semangat Perlembagaan itu sendiri.

Berbalik kepada kegusaran umat Islam di atas, suatu inisiatif yang digerakkan oleh Pembela untuk menghimpun umat Islam pada 22 Oktober 2011 di Stadium Shah Alam sedang digerakkan.

Pembela adalah gagasan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam arus perdana yang bernaung dan membentuk wadah yang lebih besar bagi menzahirkan kesatuan umat Islam tanpa mengira ideologi politik dan takhasus persatuan.

Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) adalah salah sebuah NGO yang instrumental kepada penubuhan Pembela.

Perhimpunan yang dinamakan Himpunan Sejuta Umat (Himpun) ini akan menzahirkan ekspresi umat Islam arus perdana menolak gejala murtad di kalangan orang Islam.

Manifestasi kesatuan umat Islam ini amat penting bagi memperlihatkan umat Islam amat prihatin terhadap umat Islam yang lain. Pembela tidak reda walaupun seorang umat Islam dimurtadkan.

Namun perjuangan menegakkan kebenaran ini bukanlah suatu perkara yang mudah, ada yang sudah mula sinis mempersoalkan sama ada Pembela mampu mengumpul sejuta umat Islam untuk tujuan ini.

Orang sebegini sebenarnya tidak faham maksud dan laras bahasa Melayu, sejuta tersebut bukanlah angka yang dipentingkan, sejuta tersebut bermakna ramai.

Ada juga yang mempersoalkan jika diadakan Himpunan ini adakah ia dapat menjamin tidak ada orang Islam akan murtad?

Persoalan sebegini seolah-olah meletakkan kesemua perkara kepada qada dan qadar sahaja tanpa membuat sebarang usaha bagi melakukan sesuatu.

Memang mudah mempersoalkan tindakan orang lain tetapi melakukan sesuatu itu adalah perkara yang agak sukar...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan