Catatan Popular

Khamis, 15 Disember 2011

RUKUN-RUKUN AGAMA (IMAN, ISLAM DAN IHSAN)




Firman Allah Taala, maksudnya: "Sebenarnya orang-orang yang beriman dan beramal salih, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya." (30, Al-Kahf).
"Bahkan sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintah-Nya) sedang ia pula berusaha memperbaiki amalnya maka ia akan beroleh pahala disisi Tuhannya .." (112, Al-Baqarah).
"Untuk orang-orang yang berusaha memperbaiki amalnya, dikurniakan segalakebaikan serta satu tambahan yang mulia .." (26, Yunus).
Hadis Ketiga Belas
13- عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ قَالَ بَيْنَمَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ طَلَعَ عَلَيْنَا رَجُلٌ شَدِيدُ بَيَاضِ الثِّيَابِ شَدِيدُ سَوَادِ الشَّعَرِ لَا يُرَى عَلَيْهِ أَثَرُ السَّفَرِ وَلَا يَعْرِفُهُ مِنَّا أَحَدٌ حَتَّى جَلَسَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَسْنَدَ رُكْبَتَيْهِ إِلَى رُكْبَتَيْهِ وَوَضَعَ كَفَّيْهِ عَلَى فَخِذَيْهِ وَقَالَ يَا مُحَمَّدُ أَخْبِرْنِي عَنْ الْإِسْلَامِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِسْلَامُ أَنْ تَشْهَدَ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَتُقِيمَ الصَّلَاةَ وَتُؤْتِيَ الزَّكَاةَ وَتَصُومَ رَمَضَانَ وَتَحُجَّ الْبَيْتَ إِنْ اسْتَطَعْتَ إِلَيْهِ سَبِيلًا قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَعَجِبْنَا لَهُ يَسْأَلُهُ وَيُصَدِّقُهُ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِيمَانِ قَالَ أَنْ تُؤْمِنَ بِاللَّهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَتُؤْمِنَ بِالْقَدَرِ خَيْرِهِ وَشَرِّهِ قَالَ صَدَقْتَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ الْإِحْسَانِ قَالَ أَنْ تَعْبُدَ اللَّهَ كَأَنَّكَ تَرَاهُ فَإِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَإِنَّهُ يَرَاكَ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ السَّاعَةِ قَالَ مَا الْمَسْئُولُ عَنْهَا بِأَعْلَمَ مِنْ السَّائِلِ قَالَ فَأَخْبِرْنِي عَنْ أَمَارَتِهَا قَالَ أَنْ تَلِدَ الْأَمَةُ رَبَّتَهَا وَأَنْ تَرَى الْحُفَاةَ الْعُرَاةَ الْعَالَةَ رِعَاءَ الشَّاءِ يَتَطَاوَلُونَ فِي الْبُنْيَانِ قَالَ ثُمَّ انْطَلَقَ فَلَبِثْتُ مَلِيًّا ثُمَّ قَالَ لِي يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ قُلْتُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ قَالَ فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ. (مسلم)
13 - Dari Umar bin Al Khattab r.a., katanya: Pada suatu hari, dalam masa kami sedang duduk di sisi Rasulullah s.a.w, tiba-tiba muncul kepada kami seoranglelaki:  Putih melepak pakaiannya, hitam legam rambutnya, tidak kelihatan padanya tanda-tanda perjalanan (sebagai seorang pengembara), dantidak ada seorang pun dari kami yang mengenalinya; (demikianlah halnya) sehinggalah ia duduk mengadap Nabi s.a.w. lalu ia menemukan kedua lututnya kepada kedua lutut Baginda sambil meletakkan kedua tapak tangannya atas kedua pahanya serta berkata:  "Wahai Muhammad! Beritahulah kepada ku tentang (dasar-dasar) Islam(1)?" Maka Rasulullah s.a.w. menerangkan:  "(Dasar-dasar) Islam itu ialah engkau melafazkan kalimah syahadat (meyakini serta menerangkan kebenaran) bahawa sesungguhnya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah dan engkaumendirikan sembahyang dan memberi zakat serta berpuasa pada bulanRamadan dan juga engkau mengerjakan Haji ke Baitullah jika engkau mampu sampai kepadanya." (Mendengarkan penerangan Baginda yang demikian) iaberkata:  "Benarlah apa yang tuan katakan itu!" Kata Umar: Maka kami merasa hairan terhadap orang itu - ia bertanya kepada Baginda dan ia jugamengesahkan benarnya (sebagai seorang yang mengetahui perkara yang ditanyakannya itu). Kemudian ia bertanya lagi: "Beritahulah kepada ku tentang iman(2)?" Nabi s.a.w. menerangkan:  "(Iman itu ialah) engkauberiman kepada Allah,  Malaikat MalaikatNya, Kitab-kitabNya, Rasul-rasulNya, serta Hari Akhirat; dan engkau beriman kepada takdir (yang ditentukan oleh Allah) - baiknya dan buruknya." (Mendengarkan yang demikian) ia berkata: "Benarlah apa yang tuan katakan itu." Kemudian ia bertanya lagi: "Beritahulah kepada ku tentang ihsan(3)?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Ihsan itu ialah) engkau mengerjakanibadat kepada Allah Taala seolah-olah engkau melihatNya (memerhatikan keadaanmu)(4), kiranya engkau tidak dapat melakukan yang demikian maka ingatlah bahawa Allah Taala tetap memerhatikan keadaan mu." Kemudian orang itu bertanya lagi: "(Selain itu) maka beritahulah kepada ku tentang (masa berlakunya) hari qiamat?" Nabi s.a.w. menjawab:  "Orang yang ditanyakan mengenai hal itu bukanlah seorang yang lebih mengetahui dan yang bertanya." Orang itu bertanya lagi: "Jika demikian maka beritahulah kepada ku tentang tanda-tanda kedatangan hari qiamat itu?" Nabi s.a.w. menerangkan: "(Tanda-tanda itu ialah engkau akan dapati) adanya hamba perempuan yang melahirkan anak yang menjadi tuannya dan engkau akan melihat orang-orang (penduduk desa) yang berkaki ayam, yang tidak berpakaian sempurna,  yang miskin menderita, yang menjadi gembala kambing bermegah-megah dan berlawan-lawan antara satu dengan yang lain dalam perkara membina bangunan-bangunan yang tinggi. " Umar berkata: Kemudian orang itu pun pergilah, maka tinggallah aku beberapa hari (memikirkan halnya dan hendak mengetahui siapa dia).
Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepadaku, sabdanya: "Wahai Umar! Tahukah engkau siapa orang yang bertanya itu?" Aku menjawab:  "Allah dan RasulNya jualah yang mengetahui. "
(Pada saat itu) Rasulullah s.a.w. menerangkan: "Orang itu ialah Jibril, iadatang untuk mengajar kamu akan agama kamu."
(Muslim)
________________________________
(1) "Islam" di sini ialah dengan pengertian yang kedua yang telah diterangkan pada bab yang ketiga.
(2) "Iman" bererti:
Pertama - Percayakan benarnya sesuatu yang tertentu serta sanggup mematuhi apa yang dikehendaki oleh 
kepercayaan itu.
Kedua - Segala 
jenis amalan taat - hasil dari kepercayaan dan kesanggupan itu.
Ketiga - Perkara-perkara yang diimankan itu; dan iman dengan erti inilah yang dikehendaki di sini.
(3) "Ihsan" di sini maksudnya: Cara mengerjakan sesuatu taat - terutama amalibadat - dengan sebaik-baiknya, lengkap segala peraturannya serta denganikhlas kepada Allah Taala.
(4) Yakni hendaklah engkau lakukan amal ibadat atau taatmu kepada Allah s.w.t. dengan keadaan seolah-olah engkau nampak Ia melihat dan memerhatikanzahir batinmu. kiranya engkau tidak dapat mencapai keadaan itu maka hadirkanlah keyakinanmu bahawa Allah Taala tetap melihat dan memerhatikan mu kerana sesungguhnya Ia sentiasa melihat dan memerhatikan segala keadaanmu.
Hadis yang ketiga belas ini menerangkan:
(1) Ada kalanya Malaikat pembawa Wahyu - Menyamar diri sebagai seorang manusia.
(2) Iman,  Islam dan Ihsan.
(3) Tanda-tanda kedatangan Qiamat.
Huraiannya:
Pertama - Malaikat Jibril (a.s) ada kalanya menyamar sebagai seorang manusia:
Pada suatu hari, sedang Rasulullah s.a.w dihadapi oleh sahabat-sahabatnya, tiba-tiba datanglah seorang lelaki seperti yang diterangkan dalam hadis ini, lalu bertanya tentang perkara-perkara agama.  Apabila Baginda menjawab pertanyaannya, ia segera mengesahkan benarnya. Ini menjadikan sahabat-sahabat Baginda hairan memikirkan halnya, dia bertanya dan dia pula mengesahkankebenaran jawapan Baginda.
Kehairanan sahabat-sahabat Nabi itu hilang apabila Baginda sendiri menerangkan pada akhirnya bahawa yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril (as.).
Soal Wahyu:
Wahyu adalah satu perkara pokok yang menjadi dasar bagi segala perkaraagama.  Orang yang tidak mempercayai wahyu,  sudah tentutidak ada kepercayaannya kepada Rasul-rasul utusan Allah, Kitab-kitabNya dan lain-lain lagi yang berhubung dengan iman. Ada orang yang percaya, bahawa junjungan kita Muhammad s.a.w.  seorang pemimpin yang bijak. Jika setakat itu sahaja kepercayaannya terhadap Baginda maka itu belum cukup, selagi dia tidakmempercayai bahawa kebijaksanaan Baginda itu - selain daripada sifat semula jadinya yang istimewa, Baginda pula mendapat wahyu dan pimpinan dan AllahAzza wa Jalla. 
Kedua - Iman,  Islam dan Ihsan berkaitan satu sama lain:
Di antara perkara-perkara yang ditanyakan kepada Rasulullah s.a.w. ialah soal Iman, Islam dan Ihsan, lalu dijawab oleh Baginda satu persatu. Walau pun pertanyaan itu dibuat satu-satu dengan berasingan, tetapi ketiga-tiganya merupakan satu hakikat jua, iaitu "Agama". Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. pada akhir hadis ini bahawa yang bertanya itu ialah Malaikat Jibril, datangnya untuk mengajar mereka akan "Agama" mereka.
Jelasnya, "Agama" itu jika dipandang dan segi amalan-amalan zahir disebut dengan nama "Islam"; jika dipandangi dari segi kepercayaan dan keyakinan hati disebut dengan nama "Iman"; dan jika dipandang dan segi kesempurnaancara pelaksanaan dua perkara itu disebut dengan nama "Ihsan".
Tiga perkara yang dipandang dari segi-segi yang berlainan itu tidak harus berpisah antara satu dengan yang lain.
"Agama" itu adalah ibarat sebatang pohon, - Akar umbinya serta usul asalnya bahkan benihnya ialah "Iman"; dan seluruh pohon itu meliputi batangnya, dahannya, rantingnya, daunnya, bunganya dan buahnya ialah "Islam"; manakala kesuburannya, keharumannya, kemanisannya dan seluruh keindahannya ialah "Ihsan".
Dengan huraian ini nyatalah salahnya orang yang menganggap bahawa Iman, Islam dan Ihsan boleh berasingan antara satu dengan yang lain; dan lebih-lebih lagi salahnya orang yang menganggap bahawa Ihsan itu boleh ada atau dapat dilaksanakan dengan ketiadaan Iman dan Islam, kerana ihsan itu ialah sifat bagi keduanya dan sememang maklum bahawa "Sifat" tidak boleh ada denganketiadaan "Mausuf" (perkara yang disifatkan).
Islam dan Asasnya yang lima:
Sebagaimana yang telah diterangkan bahawa salah satu dan pengertian "Islam" itu ialah hukum-hukum dan keterangan-keterangan yang dibawa oleh NabiMuhammad s.a.w.  dan Allah `Azza wa Jalla.
Hukum-hukum dan peraturan yang tersebut, yang terdiri dari suruh dan tegah,  meliputi segala bidang hidup umat manusia.
Islam yang demikian sifatnya, berasaskan lima perkara - sebagaimana yang diterangkan oleh Baginda dalam hadis mi.
Dari lima asas inilah terbit dan kembali kepadanya segala hukum dalam setiap keadaan umat manusia - dalam alam kehidupan ini.
Asas-asas Islam yang lima itu ialah:
Pertama - Mengakui kebenaran tiap-tiap perkara yang benar dan melafazkan "Kalimah At-Taqwa":
Di antara syarat-syarat bagi mencapai keselamatan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat ialah menghormati kebenaran setiap perkara yang benar,  denganjalan mengakui dan mengamalkannya. Ini dengan sendirinya mewajibkan menolakkesalahan tiap-tiap perkara yang salah.
Oleh kerana sebenar-benar perkara yang benar ialah keesaan Allah TaalaTuhan yang wajib Al-Wujud dan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., maka mengucap dua kalimah syahadat: 
أَشْهَدُ أَنْ لا إِلَهَ إِلا الله وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَسُوْلُ الله
- Yang ertinya: "Aku meyakini serta menerangkan kebenaran,  bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesuruh Allah" adalah menjadi asas atau "Rukun Islam" yang pertama bahkan menjadi anak kunci bagi seseorang masuk Islam.
Tiap-tiap orang Islam dituntut melafazkan "Kalimah Al-Taqwa" dalam kehidupan sehari-hari.
"Kalimah Al-Taqwa" itu ialah tiap-tiap tutur kata yang memelihara danmenyelamatkan seseorang dan tiap-tiap perkara yang membahayakannya serta mendatangkan manfaat dan kebahagiaan, sama ada di dunia mahu pun di akhirat dan semulia-mulia "Kalimah At-Taqwa" itu ialah:
لا إِلَهَ إِلا الله مُحَمَّدٌ رَسُوْلُ الله

Kedua - Menggunakan segala anggota berusaha dan mengerjakan dengan cara yang teratur akan amal-amal bakti sama ada yang diwajibkan atau yang digalakkan untuk diri dan masyarakat, bagi mengenang budi dan mensyukuri nikmat-nikmat,  dengan harapan mencapai kebaikan dan menjauhkan perkara-perkara yang merosakkan, serta dengan sepenuh-penuh kesedaran mengingati Allah dan berdoa kepadaNva memohon taufik dan hidayah-Nya ke jalan yang diredhai-Nya.
Semuanya itu terdapat dalam "Sembahyang", dan dengan ini nyatalah hikmatnya sembahyang itu menjadi asas atau "Rukun Islam" yang kedua, dan dengan ini juga nyatalah tepatnya sabda Nabi s.a.w. yang maksudnya: "Sembahyang itutiang agama,  sesiapa yang meninggalkannya maka sesungguhnya ia telah meruntuhkan agama."
(Untuk penjelasan yang lebih lanjut mengenai sembahyang, lihatlah lampiran "B", pada akhir bab ini).
Ketiga - Berkorban dengan Harta Benda:
Harta benda adalah merupakan asas bagi segala urusan hidup dalam dunia ini.  Oleh itu maka sebahagian besar dan daya usaha manusia dicurahkan untuk mencari dan memiliki harta benda dan kekayaan.  Tetapi bukan semuanya berhasil mencapai kesenangan dan kemewahan itu dengan sepenuhnya, bahkan bukansedikit - dari setiap bangsa di dunia ini - yang hidup miskin dan menderita.
Dengan yang demikian, maka membelanjakan harta benda untuk menolong orang-orang yang fakir miskin dan yang memerlukan bantuan, dan juga untuk kebajikan Islam - sebagaimana yang terdapat dalam amalan "Zakat" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman makmur
Oleh itu, maka nyatalah hikmatnya kewajipan mengeluarkan zakat itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".
Keempat - Membendung kemahuan hawa nafsu: 
Sebahagian besar dari kejadian kacau bilau yang berlaku dalam sesebuah masyarakat adalah akibat dari runtunan hawa nafsu yang buas liar danmelampaui batas,  sehingga ada yang melupai kehormatan din dan rumahtangga,mencuaikan tugas dan kewajipan,  mengkhianati amanah dan berbagai-bagai perkara jenayah lagi.
Oleh itu, maka kewajipan menyekat hawa nafsu dan menentang runtunan liarnya, serta melarih diri mengingati pengawasan Allah Taala akan segala yang zahir dan yang batin - sebagaimana yang terdapat dalam amalan "Puasa" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman sentosa. 
Dengan yang demikian, maka nyatalah hikmatnya ibadat puasa itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".
Kelima - Menghadiri tempat-tempat perhimpunan untuk kebajikan:
Manusia tidak seharusnya memencilkan atau mengasingkan dirinya dari sebarang perhubungan dengan sesama manusia.
Banyak perkara yang bersangkut paut dengan hidupnya, dengan agamanya, dengan pentadbiran negara dan masyarakatnya tak dapat diselesaikan melainkan dengan jalan perjumpaan dan perundingan, lebih-lebih lagi melalui persidangan antarabangsa.
Oleh itu, bagi mencapai kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat, maka menghadiri tempat-tempat perhimpunan untuk kebajikan sekadar yang mampu, bagi melahirkan sikap memperhambakan diri kepada Allah `Azza wa Jalla, danbersyukur akan nikmat-nikmatNya, serta melaksanakan dasar bersatu padu dan bersefahaman antara sesama umat Islam dan juga untuk mendapat berbagai-bagaifaedah dan manfaat dari segi rohani, akhlak,  kemasyarakatan dan ekonomi - sebagaimana yang terdapat dalam "Ibadat Haji" - adalah menjadi satu cara hidup yang aman damai dan bahagia.
Dengan yang demikian, maka nyatalah hikmatnya ibadat haji itu menjadi salah satu dari asas atau "Rukun Islam".
Iman dan Asasnya yang enam:
Sebagaimana yang diketahui bahawa Islam yang diterangkan dalam hadis ini bererti: "Mematuhi apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w maka sudah tentu Islam yang bererti: "Kepatuhan yang sebenar-benarnya tidak akan wujud dengan ketiadaan iman atau kepercayaan yang tertentu, kerana: Islam itu adalah ibarat "Pokok", manakala iman pula adalah ibarat !`Benih"; Dan bahawa sebarang gerak-geri yang disengajakan oleh manusia adalah timbulnya dan sesuatu kepercayaan yang tertentu.
Dengan yang demikian, maka salah satu di antara rukun-rukun agama ialah iman atau kepercayaan,  yang berasaskan enam perkara.
Wujudnya Allah Pencipta Seluruh Alam: 
Sebagaimana yang sedia maklum, manusia yang waras akal fikirannya memang sedar bahawa wujudnya adalah diciptakan oleh Allah Maha Pencipta dan sebagaimana Ia sedar bahawa segala keadaan dan perjalanan dirinya tertakluk kepada undang-undang dan peraturan yang ditetapkan oleh Maha Pencipta itu, ia juga sedar bahawa dirinya tersusun dan jisim dan roh. 
Undang-undang dan peraturan yang disedarinya menguasai keadaan dan perjalanan dirinya itu hanyalah untuk keselamatan jisimnya apabila ia mematuhinya dengan sempurna,  maka sudah tentu bagi rohnya pula wajiblah ia mematuhi dengan sempurna akan undang-undang dan peraturan yang dikhaskan oleh Maha Pencipta untuk keselamatan roh. 
Dengan yang demikian, ia sudah tentu mempercayai adanya Maha Pencipta - iaitu Allah Taala - yang menciptakan diri manusia dan menciptakan undang-undang serta peraturan jasmani dan rohaninya
Adanya Malaikat:
Undang-undang dan ilmu-ilmu jasmani boleh dicari dan dikaji oleh manusia,  tetapi undang-undang dan peraturan rohani iaitu "Hukum-hukum Syarak" tidak akan dapat diketahui melainkan dengan jalan diterima dari Allah Taala dengan perantaraan Malaikat Wahyu,  kerana menurut keadaan semula jadinya, manusia tidak dapat menerima hukum secara langsung dari Allah S.W.T. kecuali Rasul-rasul pilihan,  itupun pada keadaan yang tertentu.
Adanya Kitab-kitab Allah: 
Hukum-hukum dan peraturan yang disampaikan oleh Malaikat Wahyu itu ditulis sebagai sebuah kitab untuk dibaca dan dipelajari serta diamalkan oleh umat manusia.
Adanya Rasul-rasul Allah: 
Sememang maklum bahawa undang-undang dan peraturan-peraturan itu tidak dapat difahami sebagaimana yang semestinya oleh kebanyakan manusia,  maka Allah Taala yang Amat Bijaksana telah memilih orang yang diketahuiNya layak menjadi penyampai dan pensyarah yang menerangkan undang-undang itu satu persatu dan pensyarah itu ialah Rasul-rasulNya.
Adanya Alam Akhirat: 
Sesuatu undang-undang atau perlembagaan tidak akan ada nilainya kalaulah tidak dihormati dan dipatuhi.
Kebanyakan manusia tidak menghormati sesuatu undang-undang atau perlembagaan melainkan setelah mengetahui balasan baik bagi orang yang menghormati dan mematuhinya dan balasan buruk bagi orang yang mencabuli dan mencuaikannya.
Oleh sebab hidup manusia dalam alam dunia ini adalah untuk sementarawaktu sahaja maka balasan yang sepenuh-penuh kesempurnaannya dan seadil-adil keadaannya tentulah tidak difikir layak diberikan seseorang menerimanya dalam alam sementara ini, bahkan bagi melayakkan yang tersebut, diakui benar adanya satu alam yang berpanjangan lagi kekal iaitulah "Alam Akhirat" - Alam yang bermula dan masa berakhir hidup manusia dalam alam dunia ini. 
Tambahan pula manusia dijadikan Allah tersusun dari jisim dan roh yang tidak akan habis atau binasa dengan berakhirnya alam dunia ini sekalipun jisimnya menjadi debu atau abu, bahkan roh itu tetap wujudnya berpindah dari satu keadaan ke satu keadaan hingga bercantum dengan tubuhnya yang dibangkitkan hidup semula untuk masa yang kekal itu.
Adanya Qadar dan Taqdir Allah:
Dari huraian-huraian yang tersebut, nyatalah bahawa Allah S.W.T. ialah pencipta seluruh alam meliputi manusia dan makhluk-makhluk yang lain dan Dialah yang menyusun, mengatur dan menentukan hukum-hukum, undang-undang dan peraturan,  bagi segala keadaan makhluk seluruhnya, sama adayang baik atau yang buruk. 
Maka susunan dan penentuan ada nya dan berlakunya baik dan buruk itu ialah "Qadar Taqdir" tuhan yang azali,  yang menjadi "Rukun Iman" yang akhir.
Ihsan dan Peringkat-peringkatnya:
Sebagaimana yang sedia diketahui bahawa "Ihsan" ialah cara mengerjakan sesuatu taat dengan sebaik-baiknya, lengkap segala peraturannya, serta denganikhlas kepada Allah Taala, iaitu bersih dari syirik dan sikap munafik sertabersih dan perasaan riak,  ujub dan lain-lainnya.
Yang demikian ini ialah hakikat Ihsan yang menjadi salah satu dari "Rukun-rukun Agama" yang tiga, yang dengan ketiadaannya maka yang dua lagi - Iman atau Islam - tidak diterima,  kerana taat yang dikerjakan dengan ketiadaan Ihsan adalah ibarat patung yang tidak bernyawa.
Ini ialah peringkat Ihsan yang pertama, yang mesti diusahakan oleh tiap-tiap seorang.
Selain dari itu, ada dua peringkat lagi iaitu yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis ini.
Tanda-tanda kedatangan hari Qiamat:
Oleh kerana hikmatnya Allah Taala menjadikan jin dan manusia serta makhluk-makhluk yang lain ialah untuk masing-masing membuktikan taat setianya dan penghormatannya dengan mengerjakan amal ibadat kepadaNya, maka untuk membicarakan dan membalas ketaatan dan kederhakaan tiap-tiap makhluk,  sudah tentu adanya satu masa yang ditetapkan untuk tujuan yang demikian, iaitu "Hari Qiamat".
Oleh sebab itulah si penanya bertanya kepada Baginda tentang waktu kedatangan hari Qiamat itu, akan tetapi oleh kerana soal waktu kedatangan hari Qiamat itu adalah satu dari lima perkara yang pengetahuannya tertentu bagi Allah jua, maka Rasulullah s.a.w. menjawab dengan sabdanya yang bermaksud:  "Orang yang ditanyakan soal itu samalah sahaja dengan orang yang bertanya, tetapi aku akan menerangkan tanda-anda kedatangannya", lalu Baginda menerangkan seperti yang tersebut dalam hadis ini.
Selain dari yang diterangkan dalam hadis ini, ada didapati dalam kitab-kitab hadis yang lain banyak lagi tanda-tanda tentang hampirnya kedatangan hari Qiamat, di antaranya:
Pertama - Apabila susut dan kurang ilmu pengetahuan agama dengan kematian seseorang alim yang ahli dalam sesuatu cawangan ilmu yang tertentu dan tidak dapat diganti
Kedua - Apabila merebaknya kejahilan mengenai ilmu agama dengan sebab kurangnya orang-orang yang suka mempelajarinya.
Ketiga - Apabila diserahkan sesuatu urusan agama seperti jawatan ketua negara,mufti,  kadhi dan sebagainya, untuk dikendalikan oleh orang yang bukan ahlinya.
Keempat - Apabila sesuatu masyarakat dipimpin oleh seseorang ketua yangfasik yang suka menggalakkan maksiat dan perbuatan yang durjana.
Kelima - Apabila orang yang benar dikatakan pendusta, pendusta dikatakanorang yang benar;  orang yang khianat disifatkan amanah,  orang yangamanah dikatakan khianat;  orang yang adil disifatkan zalim,  orang yangzalim disifatkan adil dan orang-orang yang jahil berpengaruh danbermaharajalela dengan berlagak pandai dalam ilmu agama sehinggaorang alim terpaksa mendiamkan diri (setelah tugasnya tidak lagi dihargai).
Keenam - Apabila arak menjadi adat diminum berterang-terang di sana sini, dengan digalakkan pula oleh pemimpin-pemimpin dan ketua. 
Ketujuh - Apabila perbuatan lucah dan cabul dilakukan dengan berterang-terang di merata-rata tempat dengan tidak mendapat sebarang teguran keranakelemahan iman,  sehingga kalaulah ada yang menegur maka orang yangmenegur itu boleh dikatakan imannya pada masa itu sekuat iman Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Umar pada zaman sahabat-sahabat Nabi s.a.w.
Lampiran (B):
Soal Sembahyang:
Mengenai sembahyang, Sayidina Umar r.a., berkata - Sebagaimana yang tersebut dalam kitab Al-Muwatta': Sesiapa memelihara sembahyang dantetap mengerjakannya, bererti ia memelihara agamanya dan sebaliknya sesiapa yang mensia-siakannya maka ia lebih-lebih lagi akan mensia-siakan kewajipan-kewajipan agama yang lain".
Sebenarnya sembahyang itu tiang agama dan semulia-mulia asas Islam yang lima sesudah Dua Kalimah Syahadat. 
Kedudukan sembahyang dalam agama menyamai kedudukan kepala pada tubuh badan; oleh itu, sebagaimana seseorang yang tidak berkepala tidak akan hidup, maka demikian juga tidak ada agama bagi orang yang tidak mengerjakan sembahyang.
Dalam kitab At-Tanwir, Sidi Ahmad bin Ata'illah berkata:  Sembahyang amatlahbesar kemuliaannya dan keadaannya di sisi Allah amatlah berat;  dan kerana itulahAllah Taala berfirman, maksudnya; "Sesungguhnya sembahyang itu mencegahperbuatan yang keji dan mungkar" dan Rasulullah s.a.w. pula ketika ditanyakan tentang amal yang semulia-mulianya, Baginda menjawab,  maksudnya: "(Semulia-mulia amal) ialah sembahyang yang dikerjakan pada waktunya".
Baginda juga bersabda maksudnya: "Orang yang mengerjakan sembahyang adalah ia bermunajat (mengadap dan merayu) kepada Tuhannya."
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sehampir-hampir seseorang hamba itu kepada Tuhannya ialah semasa ia sujud."
Sebagaimana yang dapat disaksikan,  bahawa dalam sembahyang terhimpun berbagai-bagai jenis ibadat yang tidak ada pada lainnya. Di antara ibadat-ibadat yang terhimpun dalam sembahyang ialah: Bersuci, berdiam diri, mengadapkiblat,  membaca doa iftitah, membaca Al-Qur'an, berdiri rukuk,  sujud, bertasbih dalam rukuk dan sujud,  berdoa dalam sujud dan lain-lainnya, yang merupakan himpunan ibadat yang berbilang-bilang; kerana zikir sahaja adalah ibadat dan bacaan Al-Qur'an sahaja adalah ibadat;  demikian juga halnya Tasbih,doa,  rukuk dan sujud; tiap-tiap satunya adalah menjadi ibadat. " Demikian kata Ibnu 'Ata'illah dalam "At-Tanwir."
Perintah-perintah mengenai sembahyang, memeliharanya dan keadaannya menjadisifat dan syi'ar orang-orang yang beriman,  banyak sekali diterangkan di dalam Al-Qur'an al-Karim. Di antaranya firman Allah Taala, maksudnya:
"Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembah yang fardu,  khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembah yang kamu) dengan taat dan khusyuk. " (238, Al-Baqarah).
"Hendaklah kamu sentiasa rujuk kembali kepada Allah (dengan mengerjakan amal-amal bakti) serta bertaqwalah kamu kepadaNya dan kerjakanlah sembahyang dengan betul sempurna dan janganlah kamu menjadi dari mana-managolongan orang musyrik." (33, Ar-Rum).
"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,  iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya. " (1-2, Al-Mu'minun).
"Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji danmungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) ..." (45, Al-'Ankabut).
"Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atasorang-orang yang beriman,  yang tertentu waktunya." (103, An-Nisa).
Sembahyang yang lima waktu ini yang dikerjakan sehari semalam, tidak bolehsama sekali bagi seseorang yang mengakui dirinya Islam dan menghitung dirinya dalam barisan umat Islam meninggalkan satu waktu pun, dalam segala keadaan,  selagi ia masih sempurna akalnya, sekalipun ia sakit tenat. Kalau ia tak dapatberdiri sembahyang kerana uzur, ia boleh sembahyang duduk;  jika tidak dapat, ia boleh sembahyang dengan berbaring - dengan mengiring ke sebelah kanan atau ke kiri atau pun dengan terlentang.
Di dalam Al-Qur'an al-Karim diberi amaran mengenai orang-orang yangmencuaikan sembahyang. Tentang ini Allah Taala berfirman, maksudnya:
"Kemudian mereka (yang taat) digantikan oleh keturunan-keturunan yangmencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab dalam neraka,  - "Kecuali orang-orang yangbertaubat dan beriman serta beramal salih .." (59-60, Maryam).
Dalam huraiannya, Ibnu Abbas berkata - seperti yang disebutkan oleh al-Syams al-Zahabi dalam kitabnya al-Kabair: Bahawa "Mencuaikan sembahyang" yang tersebut dalam ayat ini bukan maknanya merekameninggalkan sembahyang sama sekali, tetapi maksudnya mereka mentakhirkan (melengahkan) sembahyang sehingga keluar waktunya.
Hal ini dijelaskan oleh Said bin Al-Musayib, dengan menyatakan bahawa maksudnya: Orang itu tidak sembahyang Zuhur melainkan setelahmasuk waktu Asar, (dan seterusnya tentang waktu-waktu yang lain). Maka sesiapa yang mati dalam keadaan yang demikian dan ia tidak bertaubat,  makabalasan yang ditetapkan baginya ialah azab seksa di dalam neraka.
Firman Allah lagi, maksudnya: "Maka kecelakaan besar bagi orang-orangahli sembahyang yang keadaan mereka lalai daripadamenyempurnakan sembahyangnya" (4-5, Al-Ma'uun).
Yakni yang lalai dari mengerjakannya pada waktunya, lalu dijanjikan kepada mereka dengan balasan yang seburuk-buruknya di dalam neraka,  kecuali orang yang bersifat demikian segera bertaubat dan menyesal terhadap perbuatannya itu.
Dan firmannya lagi, maksudnya: "Wahai orang-Orang yang beriman!  Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak pinak kamu daripadamengingati Allah (dengan menjalankan perintahnya). Dan (ingatlah!) sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang yang rugi. " (9, Al-Munafiqun).
Menurut sebahagian dan ahli tafsir,  "Mengingati Allah" (zikir Allah) di sini ialah "Sembahyang yang lima waktu"; maka sesiapa yang mencuaikannya kerana dilalaikan oleh harta bendanya, anak pinaknya dan segala urusan hidupnya, menjadilah ia dan orang-orang yang rugi serugi-ruginya.
Di dalam hadis-hadis pula ada diterangkan tentang setakat mana beratnyakewajipan sembahyang itu. Di antaranya Baginda bersabda, maksudnya: "Jaminan berbaik-baik di antara kita dengan mereka yang mendakwa dirinya orang Islam ialah mengenakan sembahyang, oleh itu sesiapa yang tidak sembahyang maka sesungguhnya termasuklah ia dalam hukum orang kafir. "
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Perkara yang menghubungkan seseorang dengan kufur ialah meninggalkan sembahyang. "
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sesiapa yang cuai sehingga ia terlepas dari mengerjakan sembah yang Asar pada waktunya, maka sesungguhnya telah binasalah amalnya."
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sesiapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja,  maka sesungguhnya terlepaslah ia dari jaminan Allah menyelamatkannya."
Dan sabdanya lagi, maksudnya: "Sesiapa yang memelihara sembahyang dengan sebaik-baiknya, nescaya sembahyang itu menjadi cahaya baginya dan menjadibukti serta penyelamat baginya pada hari Qiamat; dan sesiapa yang mencuaikannya, maka semuanya itu tidak akan diperolehinya, dan ia akan dihimpunkan pada hari Qiamat bersama-sama dengan Fir'aun, Qarun, Haman dan Ubai bin Khalaf."
Menurut penjelasan setengah ulama, bahawa sebabnya orang yang tersebut dihimpunkan bersama-sama empat orang (jaguh kekufuran) itu ialah: Kerana yang melalaikannya dan menunaikan sembahyang tidak lain melainkan hartanya, atau kerajaannya (jika Ia seorang pemegang teraju pemerintahan), atau jawatannya sebagai menteri, atau pun perniagaannya. Kalau hartanya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Qarun; kalau kerajaannya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Fir'aun; kalau pula jawatannya sebagai menteri yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Haman (menteri Fir'aun); dan kalau pula perniagaannya yang melalaikannya maka ia akan dihimpunkan bersama-sama Ubai bin Khalaf (saudagar kaum Musyrik Mekah).
Dalam satu hadis lagi, bahawa Sayidina Umar, r.a., berkata:  Seseoranglelaki telah datang mengadap Rasulullah s.a.w. lalu bertanya, katanya: "YaRasulullah,  apakah satu-satunya amal dalam Islam yang lebih diperkenankan oleh Allah Taala?" Baginda menjawab:  "Ialah sembahyang yang dikerjakan pada waktunya, dan sesiapa yang meninggalkan sembahyang maka tidak ada agama baginya, kerana sembahyang itu tiang agama. "
Dalam satu hadis yang lain, Baginda bersabda, maksudnya: "Apabila seseorang mengerjakan sembahyang pada awal waktunya, naiklah sembahyang itu kelangit serta ia bercahaya sehingga ia sampai kepada `Arasy lalu iameminta ampun bagi orang yang mengerjakannya. (Demikianlah hal sembahyang itu) hingga hari Qiamat sambil ia berkata: "Semoga Allah memelihara mu sebagaimana engkau memelihara ku"; dan apabila seseorang mengerjakan sembahyang pada luar waktunya, naiklah sembahyang itu ke langit dengan diselubungi oleh gelap gelita, setelah sampai di langit lalu digulung seperti tergulungnya baju buruk dan dipukulkan ke muka orang yang mengerjakannya sambil sembahyang itu berkata (kepada tuannya): "Semoga Allah mensia-siakan mu sebagaimana engkau mensia-siakan aku"

Orang yang mengerjakan sembahyang dengan tidak sempurna amatlahburuk balasannya:
Dalam satu hadis yang diterangkan bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seorang yang tidak menyempurnakan rukuknya dan mematuk (seperti ayam) semasa ia sujud, lalu Baginda bersabda, maksudnya: "Kalau orang itu mati dalam keadaannya yang demikian, nescaya ia mati dengan ketiadaan Islam...."
Dalam satu hadis lagi ada diterangkan, maksudnya: "Seseorang itu tidak akan beroleh pahala dari sembahyangnya melainkan mana-mana yang dikerjakannya dengan penuh kesedaran.  Setengah orang yang mengerjakan sembahyang ada kalanya tidak mendapat seperenam dari pahala sembahyangnya dan tidak sepersepuluh." Yakni ia hanya mendapat pahala bagi bahagian sembahyang yang tertentu yang dikerjakannya dengan penuh kesedaran serta khusyuk.  Orang yang penuh sedar dan khusyuk di sepanjang-panjang sembahyangnya maka ia beroleh pahala bagi seluruh sembahyangnya itu dan sebaliknya orang yang lalai di sepanjang-panjang sembahyangnya hampalah dia dari mendapat sebarang pahala mengenainya.
Orang mukmin yang menaruh belas kasihan kepada dirinya sendiri dan mencintai agamanya, adalah bertanggungjawab mengambil berat menyuruh dan mengajar ahli rumah dan anak pinaknya supaya mereka tetap memelihara dan mengerjakan sembahyang.
Kewajipan ini ditegaskan oleh Allah Taala di dalam Al-Qur'an al-Karim dengan firmanNya yang bermaksud: 
"Dan perintahkanlah keluarga mu mengeriakan sembahyang dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya...." (132, Taha).
Dan firmannya lagi; maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala) (6, At-Tahrim).
Nabi s.a.w. sendiri setelah ayat ini turun,  sentiasa mengambil berat mengingatkan dan mengawasi keluarganya mengenai sembahyang. Bahkan Baginda dan keluarganya apabila menghadapi apa-apa kesukaran,  lazimnya Baginda dan keluarganya mengerjakan sembahyang banyak-banyak.
Cara yang demikian ini juga menjadi amalan Nabi-nabi yang telah lalu - (as.).
Kerana tidak syak lagi, sembahyang itu menjadi sebab yang membawa rahmat,  murah rezeki dan menolak bala' bencana. 

Sabtu, 10 Disember 2011

KAABAH MUSNAH TANDA KIAMAT ???






AGAK tertarik apabila dicatatkan bahawa buku yang ditulis oleh pendakwah muda dari Indonesia ini diulang cetak sebanyak tiga kali walaupun baru diterbitkan pada tahun ini.

Buku ini telah dicetak 10,000 naskhah bagi memenuhi permintaan dan minat pembaca di negara ini.
Persoalannya, mengapa minat pembaca yang agak luar biasa ke arah untuk mengetahui mengenai Bencana Akhir Zaman yang bermakna akan berlakunya kiamat itu?
Tidak dinafikan sedikit sebanyak kerana terdapatnya ramalan demi ramalan oleh pelbagai pihak yang menyatakan pendapat mereka bahawa kiamat pasti akan berlaku pada tahun 2012, iaitu hanya beberapa hari sahaja lagi mulai sekarang.
Ini termasuk kesan dari propaganda yang ditinggalkan oleh filem 2012, kisah dunia dilanda kiamat dengan dahsyatnya yang digarap atau diadaptasi pembikinan filem tersebut daripada buku terlaris, Fingerprints of God oleh Graham Hancock.
Sehinggakan Kaabah di Mekah yang menjadi kiblat umat Islam turut hanyut dan hilang dilanda bah besar dalam filem tersebut.
Walaupun ia merupakan peristiwa kiamat mengikut propaganda Yahudi, namun bukan sedikit kesan yang ditinggalkan oleh filem tersebut kepada kita semua.
Maka kehadiran tahun 2012 dinanti dengan penuh debaran.
Namun sebagai umat Islam, mengapa perlu bimbang bahawa kiamat itu pasti akan berlaku pada tahun hadapan? Ini kerana berlakunya kiamat itu adalah rahsia Allah.
Malah junjungan besar Nabi Muhammad SAW juga tidak mengetahui dengan pasti akan bila akan berlakunya bencana akhir zaman itu.
Bagaimanapun, Rasulullah SAW meninggalkan kepada kita satu ajaran dari Allah yang cukup besar dan wajib diketahui dan dihayati oleh umat Islam, iaitu tanda-tanda kiamat, sama ada tanda-tanda kecil mahupun besar.
Jika kita percaya dan mengimani kepada apa yang ditinggalkan Rasulullah itu, wajarkah kita bimbang bahawa kiamat akan berlaku pada 2012?
Jika melalui filem 2012 digambarkan Kaabah juga akhirnya hancur ditelan kiamat tetapi jika dilihat daripada perspektif Islam sendiri, bagaimana 'nasib' Kaabah itu sendiri?
Menurut penulis yang juga Pengarah di Madrasah Diniyah Islamiah di Surakarta, Indonesia, memang berlakunya kehancuran kaabah sebagai salah satu yang termasuk dalam tanda-tanda besar berlakunya kiamat.
Diceritakan saat itu kaabah sudah tidak mempunyai apa-apa makna. Tiada yang menjaga dan menjadikannya sebagai rumah ibadat utama umat Islam dari seluruh dunia.
Sehingga datang seorang lelaki berkulit hitam yang botak kepalanya dari Habsyah (Ethopia) bernama Dzu Suwaiqatain yang terus menghancurkan Kaabah. Dia merosakkan segala yang ada pada Kaabah. Mengoyak dan menjatuhkan kelambu (kiswah) dan mengambil batu-batu dinding dengan pencedok dan cangkul.
Ini sebagaimana yang diambil dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah dan direkodkan oleh Bukhari dan Muslim, iaitu bererti sebuah hadis sahih.
Melihatkan pada keadaan cuaca panas, sejuk, hujan, ribut dan banjir yang kebelakangan ini yang tidak diduga dan menentu berlakunya di seluruh dunia, maka dikatakan juga termasuk sebagai tanda-tanda akhir zaman.
Sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: "Tidak berlaku kiamat selagi hujan tidak mencurah-curah di atas manusia sehingga rumah-rumah dan tembok tidak lagi dapat bertahan. Tiada yang dapat berlindung daripadanya kecuali khemah-khemah yang berada di padang pasir."
Mengandungi lima bab, buku ini sebenarnya tidak sekadar menghuraikan mengenai rukun iman yang kelima, iaitu percaya kepada hari kiamat. Tetapi kehadiran buku ini sangat tepat pada masa manusia yang ramai mendabik dada bahawa tidak takut mati. Namun, buku ini meminta kita agar sekurang-kurangnya takut pada kehadiran hari kiamat.
Jika kita meletakkan iman dan kepercayaan yang cukup tinggi kepada hari kiamat maka tentulah tiap manusia akan sedar akan janji Allah bahawa setiap kita akan tetap mati.
Maka kita akan melakukan persediaan untuk menghadapi detik-detik kematian dan kiamat itu sendiri.
Agak menarik apabila penulis dapat menyenaraikan hampir 16 tanda-tanda walaupun disifatkan sebagai kecil tetapi semua ini memberi peringatan kepada kita semua.
Ini termasuklah riba yang bermaharajalela, meluasnya perbuatan seks luar nikah, minum arak dianggap perkara biasa, berlumba-lumba meninggikan bangunan, manusia bermegah-megah membangunkan masjid, pasar-pasar semakin dekat jaraknya, meniru tingkah laku mereka yang bukan Islam, muncul-munculnya wanita-wanita yang berpakaian tetapi telanjang, orang tua menyerupai orang muda, banyaknya pembohongan dan kesaksian palsu.
Malah tersebarnya buku dan hasil karya juga dikatakan termasuk dalam tanda-tanda ke arah berlakunya hari kiamat yang Allah sahaja mengetahui bila akan berlaku.
Mungkin kita sudah biasa mendengarkan semua ini dan kita menyedari perkara tersebut telah banyak pun berlaku di sekeliling kita pada hari ini. Tetapi sudah begitupun adakah kita menyedari akan natijah yang menanti?
Jawapannya, tidak! Manusia tidak pernah mengambil pengajaran dari apa yang terjadi. Tetapi masih percayakan hari kiamat hanya jika ditunjukkan bukti-bukti atau tanda-tanda yang besar?
Sehingga di saat itu, adakah manusia itu sendiri mempunyai umur yang panjang yang penuh diberkati?
Maka percayakan sahaja pada buku ini kerana ia berdasarkan dalil-dalil sahih yang diambil daripada al-Quran dan hadis.
Jangan percaya kepada propaganda Yahudi dan Nasrani sama ada melalui filem mahupun buku-buku mereka walaupun mereka juga mempunyai mempercayai akan berlakunya Kiamat itu mengikut dogma dan perspektif mereka sendiri.
Bagi mereka, kiamat itu bererti musnahnya semua agama di muka bumi ini (maka ia menjadi sedutan dalam filem pemimpin spiritual Buddha, Dalai Lama turut hanyut dalam ombak besar yang menghampiri pergunungan Tibet dalam filem 2012) dan anda tahu siapa sebenarnya yang terselamat ketika kiamat itu berlaku, bukan Islam tetapi mereka!

AZABNYA SEKSAAN NERAKA




Setelah Allah SWT menyebut perihal orang yang berbahagia memperoleh kegembiraan setelah menerima lembaran amalan perbuatan mereka, kemudian Dia menjelaskan pula keadaan mereka yang baik dalam kehidupan dan tempat tinggal.

Kemudian Allah SWT menambahkan lagi dengan menyebut kedukaan dan kesedihan orang yang celaka dan kafir dengan diletakkannya belenggu dan ikatan pada leher serta tangan mereka dan diberinya kepada mereka ghislin sebagai makanan.
Kemudian Allah SWT pun menyebut faktor berlakunya semua itu kerana pada ketika dahulu tidak beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat. Mereka juga tidak mahu memberikan bantuan kepada orang yang memerlukan dan orang yang ditimpa nasib malang.
Firman Allah SWT: Adapun orang yang diberi kepadanya kitabnya dari sebelah kirinya, maka dia berkata: Wahai alangkah baiknya kiranya tidak diberikan kepadaku kitabku (ini). (al-Haqqah: 25)
Muqatil berkata: Ayat ini diturunkan kepada al-Aswad bin Abd al-Asad yang telah dibunuh oleh Hamzah dalam peperangan Badar. Beliau adalah saudara kepada Abi Salamah. Sedangkan pendapat yang lain pula ia diturunkan kepada Abu Jahal.
Ibn Kathir berkata: Ia merupakan perkhabaran yang tegas daripada Allah berkenaan golongan yang mendapat kecelakaan. Apabila diberi catatan amalannya pada hari kiamat dengan tangan kirinya, maka mereka amat menyesal.
Firman Allah SWT: Dan Aku tidak mengetahui apa hisab terhadap diriku. Wahai kiranya kematian itulah yang menyelesaikan segala sesuatu. Hartaku sekali-kali tidak memberi manfaat kepadaku. Telah hilang kekuasaanku daripadaku. (al-Haaqah: 26-28)
Al-Sobuni berkata: Seolah-olah dia berkata bahawa dia tidak mengetahui betapa dahsyatnya perhitungan dan persoalan yang ditanya.
Ini untuk menggambarkan kehebatan dan gerun yang amat sangat sehingga mereka bercita-cita harapan supaya kematian yang telah berlaku di dunia dulu bersifat kekal dan tidak ada lagi kebangkitan untuk dikenakan azab.
Qatadah berkata: Dia bercita-cita mati sedangkan tiada suatu pun perkara yang dibenci lebih dari kematian. Ini kerana dia telah melihat keadaan yang menakutkan, pahit dan memedihkan melebihi daripada kematian yang pernah dirasainya.
Syed Qutub berkata: Dia berdiri lama. Dia menyesal dan merintih panjang dan mengeluarkan keluhan putus asa yang tidak habis. Itulah keindahan gaya penerangan al-Quran.
Ia memanjang atau memendekkan cerita sesuatu peristiwa mengikut saranan yang mahu diterapkan ke dalam jiwa manusia.
Di sini ia mahu menerapkan sikap menyesal dan sedih di sebalik pemandangan yang sayu itu kerana itulah ceritanya dipanjangkan. Si malang itu bercita-cita agar dia tidak berdepan dengan keadaan ini tidak diserahkan buku amalannya dan tidak tahu hisabnya.
Seterusnya dia berangan-angan agar kiamat menamatkan riwayat hidupnya buat selama-lamanya tidak dibangkitkan kembali.
Kemudian dia merintih kerana kini tiada apa pun dari harta kekayaan yang disayangi dan dikumpulkannya di dunia itu berguna kepadanya.
Firman Allah SWT: (Allah berfirman): "Peganglah dia lalu belenggulah tangannya ke lehernya. Kemudian masukkanlah dia ke dalam api neraka yang menyala-nyala. Kemudian belitlah dia dengan rantai yang panjangnya tujuh puluh. (al-Haaqah: 29-32)
Ibn Kathir berkata: Allah perintahkan malaikat Zabaniah supaya mengambil dan mengganyang mereka dengan keras dibawa ke mahsyar dalam keadaan dirantai pada lehernya kemudian diseret ke neraka jahanam seterusnya dibakar di dalamnya.
Berkenaan dengan rantaian sebanyak 70 rantai dikatakan bahawa ia mengikut hasta para malaikat seperti kata Ibn Abbas: Seorang ulama bernama Nauf al-Syami berkata: Setiap hasta jaraknya seperti 70 depa yang jumlahnya cukup jauh. Dikatakan semua ahli neraka dirantaikan.
Firman Allah SWT: Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah yang Maha besar. Dan juga dia tidak mendorong (orang lain) untuk memberi makan orang miskin. (al-Haaqah: 33-34)
Ibn Jauzi berkata: Mereka tidak pernah benarkan dengan ke-Esaan dan keagungan Allah. Tambahan lagi tidak pernah menjamu dan memberi makan orang miskin bahkan lebih parah dari itu tidak menyuruh supaya diberi makan kepada orang miskin.
Syed Qutub berkata: Kerana hatinya kosong dengan keimanan kepada Allah dan kosong dari rahmat kasihan belas kepada manusia. Oleh itu, hati ini tidak layak melainkan api neraka.
Hatinya kosong daripada iman kerana ia laksana bumi gersang, tanah runtuhan dan tanah kesang. Dia tidak mempunyai nur.
Dia adalah makhluk ganjil yang tidak menyerupai makhluk yang hidup dan tidak pula menyerupai kejadian yang tidak bernyawa.
Ini kerana seluruh makhluk beriman dan bertasbih memuji Tuhannya serta menjalinkan hubungan dengan sumber kewujudannya tetapi dia putus hubungannya dengan Allah dan putus hubungannya dengan makhluk yang beriman kepada Allah.

Khamis, 8 Disember 2011

HIJRAH MERANCANG PENGHIDUPAN YANG LEBIH BAIK




SETIAP kali memasuki tahun baharu Islam, umat Islam sepatutnya memiliki semangat baharu untuk merancang dan melaksanakan hidup ini secara yang lebih baik dan terancang.

Ingatlah apa yang diucapkan oleh sahabat Rasulullah SAW, Sa'ad bin Rabi': "Aku adalah penduduk Madinah (Ansar) yang kaya raya."
Ucapan itu ditujukan kepada Abdul Rahman bin 'Auf (Muhajirin). Sa'ad tidak bermaksud menyombongkan dirinya, tetapi hendak meyakinkan Abdul Rahman agar mahu menerima tawarannya.
"Silakan pilih separuh hartaku dan ambillah," tegas Sa'ad. "Semoga Allah memberkati harta anda. Tunjukkan lokasi pasar agar aku dapat berniaga," ujar Abdul Rahman.
Rakaman peristiwa dan dialog antara Sa'ad dan Abdul Rahman itu sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik, ketika Rasulullah SAW mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar di Madinah.
Sa'ad adalah penduduk Madinah, sedangkan Abdul Rahman termasuk kaum Muhajirin. Sa'ad bukan sahaja seorang kaum Ansar yang menjadi penolong kaum Muhajirin tetapi ramai lagi.
Dengan semangat penghayatan persaudaraan Islam, ketika umat Islam Mekah berhijrah ke Madinah bersama Rasulullah, umat Islam Madinah dengan sukacita menyambut kedatangan mereka, memberi bantuan dan bersama-sama membangun negeri Islam Madinah.
Keindahan ukhuwah Islamiah kaum Muslimin generasi awal itu, antara Ansar dan Muhajirin, seakan-akan nampak di hadapan mata kita ketika memasuki tahun baharu Hijrah 1433 ini.
Kitapun sayugia bermuhasabah diri menghayati kembali hikmah di sebalik peristiwa hijrah yang dijadikan momentum awal perhitungan tahun hijriah.
Tahun hijriah mulai berlaku pada masa khalifah Umar bin al-Khattab di mana saidina Ali bin Abu Talib yang mencadangkannya, kemudian disetujui oleh para sahabat.
Sebelumnya dipergunakan tarikh tahun Masihi yang diambil dari gelaran Nabi Isa al-Maseh atau messiah ibrani.
Penetapan nama Tahun Hijrah (al-sanah al-hijriah) merupakan kebijaksanaan khalifah Umar.
Seandainya beliau bercita-cita mengabadikan namanya dengan menamakan tarikh itu dengan 'Tahun Umar' sangatlah mudah baginya melakukan hal itu.
Namun Umar tidak mementingkan keharuman namanya atau membangga diri sebagai pencetus idea sistem pentarikhan Islam tersebut.
Sebaliknya, beliau menjadikan pentarikhan itu sebagai zaman baharu pengembangan Islam.
Sebabnya, tarikh itu mengandung makna batiniah dan nilai-nilai sejarah yang amat tinggi harganya bagi agama dan umat Islam.
Dalam buku Kebangkitan Islam dalam Pembahasan (1979), Sidi Gazalba, cendekiawan Islam Malaysia menuliskan: "Dipandang daripada ilmu strategi, hijrah merupakan taktik. Strategi yang hendak dicapai adalah mengembangkan iman dan mempertahankan kaum mukminin."
Hijrah adalah momentum perjalanan menuju daulah islamiah yang membentuk tatanan masyarakat Islam, yang diawali dengan eratnya jalinan solidariti sesama Muslim (ukhuwah Islamiah) antara kaum Muhajirin dan kaum Ansar.
Jalinan ukhuwah yang menciptakan integrasi umat Islam yang sangat kukuh itu membawa Islam mencapai kejayaan dan mengembangkan sayapnya ke berbagai penjuru bumi.
Kaum Muhajirin-Ansar membuktikan ukhuwah Islamiah boleh membawa umat Islam berjaya dan disegani.
Dapat difahami, umat Islam sekarang yang tidak disegani oleh musuh-musuhnya, menjadi umat yang tertindas, serta menjadi bahan permainan umat lain, antaranya adalah akibat jalinan ukhuwah Islamiah yang tidak seerat kaum Muhajirin-Ansar.
Daripada situlah mengapa konsep dan hikmah hijrah perlu diulang kaji dan diamalkan oleh umat Islam.
Setiap pergantian waktu, hari demi hari, hingga tahun demi tahun, biasanya mewujudkan harapan baharu akan keadaan yang lebih baik.
Membaiki diri
Setiap Muslim dituntut menjadi umat yang lebih baik daripada hari ke hari.
Hadis Rasulullah yang sangat popular menyatakan maksud: "Barang siapa yang hari ini lebih baik dari kelmarin, adalah orang yang beruntung. Bila mana hari ini sama dengan kelmarin, bererti orang yang merugi, dan jika hari ini lebih buruk dari kelmarin, adalah orang yang celaka."
Firman Allah SWT bermaksud: Hendaklah setiap diri memperhatikan (melakukan muhasabah diri) tentang apa-apa yang telah diperbuatnya untuk menghadapi hari esok (akhirat). (al-Hasyr: 18).
Tahun baharu hijriah umat Islam boleh merancang hidup agar lebih baik iaitu mengubah perbuatan dan tingkah laku buruk menjadi baik, melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya.
"Muhajir adalah orang yang meninggalkan segala larangan Allah," sabda Rasulullah. Bermakna kita mengubah dan mengambil berat terhadap kaum yang lemah dengan semangat zakat, infak, membantu saudara kita, bersedakah dan sebagainya.
Selain itu juga mengubah permusuhan dan konflik sesama Islam menjadi persaudaraan dan kerjasama serta perpaduan ummah. Menolong umat Islam di bumi Palestin, Somalia dan lain-lainnya.
Mengubah pola hidup yang malas menjadi rajin bekerja, mengelak penipuan dan rasuah, mengubah hidup pengangguran menjadi pekerja, dan tidak bergantung pada belas kasihan orang lain.
Lihat bagaimana teladan yang ditunjukkan oleh Abdul Rahman bin 'Auf, dengan semangat usahanya, ia memilih untuk mencari nafkah hidupnya dengan usahawan niaga di pasar daripada menerima tawaran dan belas kasihan orang lain (Sa'ad bin Rabi'), walaupun ditawar dengan harta kekayaan dan wanita untuk dijadikan isteri.
Hikmah hijrah harus menjadi titik perubahan bagi umat Islam, dari permusuhan menjadi persaudaraan dan persahabatan serta perpaduan bangsa dan negara.
Semangat hijrah harus menjadi titik peralihan pilihan dalam era politik dan pemerintahan yang tidak baik kepada yang lebih baik.
Dengan kekuatan iman dan persaudaraan ukhuwah Islamiah seperti kaum Muhajirin dan Ansar, umat Islam boleh menjadi ummatan wasata yang menjadi saksi kepada seluruh umat manusia.
Oleh sebab itu, Allah dan Rasul-Nya serta umat muslimin menjadi saksi atas segala perbuatan kita.

Mendidik anak berdoa dalam hidup




UMUM mengetahui bahawa doa adalah salah satu bentuk ibadah. Doa dapat difahami sebagai permohonan atau permintaan yang baik kepada Tuhan.

Doa yang dipinta adalah kebaikan yang dipinta dengan restu daripada Tuhan. Mendidik anak-anak supaya sentiasa berdoa dalam kehidupan sangat penting.
Pada hakikatnya, kita sebagai manusia sering mengalami pelbagai masalah dan kita semua berhajat kepada Tuhan untuk menyelesaikan masalah. Kita semua adalah orang-orang fakir akan rahmat Tuhan.
Tidak seorang pun daripada kita di dunia ini yang tidak mempunyai impian yang ingin dicapai. Siapa di antara kita yang tidak pernah berbuat maksiat atau kesalahan dan mengharap Allah mengampunkan semuanya.
Oleh itu hanya melalui doa, iaitu permintaan kepada Allah sahaja yang dapat menyelesaikan segala masalah. Justeru, doa merupakan ubat yang paling bermanfaat.
Doa juga penolak penyakit dan musibah. Doa akan menolak, mengatasi, mencegah kedatangan, menghilangkan atau meringankan penyakit jika sudah menimpa. Doa adalah senjata seorang mukmin.
Dalam hal itu, al-Hakim meriwayatkan dalam kitab sahihnya daripada sahabat Ali bin Abu Talib r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Doa adalah senjata seorang mukmin, tiang penyangga agama, serta lentera (lampu) langit dan bumi".
Selain itu, dalam usaha mengatasi bala atau mara bahaya, doa memiliki tiga keadaan, iaitu:
Pertama, doa lebih kuat daripada bala sehingga mampu mengalahkannya.
Kedua, doa lebih lemah daripada bala sehingga doa dikalahkan dan akibatnya seorang hamba ditimpa musibah atau penyakit, akan tetapi isi kandung doa dalam hal ini meringankan penyakit, meskipun kadarnya lemah.
Ketiga, doa dan bala sama-sama kuat sehingga terjadi saling mengalahkan.
Doa yang bermanfaat mestilah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, meminta kepada Allah dengan sepenuh hati. Dalam berdoa jangan sedikit sesekali berputus asa dan lemah dalam berdoa, kerana seseorang itu tidak akan binasa selagi ia mampu berdoa.
Salah satu penghalang termakbulnya doa adalah sifat tergesa-gesa dalam berdoa, hingga jika keinginannya tidak dikabulkan ia mengeluh dan meninggalkan doa dan tidak yakin akan termakbulnya doanya.
Telah diajarkan doa memohon keampunan antaranya: Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami daripada azab neraka. (ali-'Imran: 16).
Keterangan ayat di atas "kami telah beriman" bermaksud kami telah membenarkan seruan Islam, "memohon keampunan" pula ertinya memohon agar ditutup semua keburukan dan dilepaskan daripada kiraan dosa-dosa. (Tafsir al-Khazin).
Dalam ayat berikutnya, Allah SWT menyenaraikan golongan yang sentiasa berdoa kepada Allah tergolong dalam golongan yang sabar, golongan yang membenarkan (al-Sidiqqin), golongan yang taat kepada Allah (al-Qanitin), golongan yang bersedekah pada jalan Allah (al-Munfiqin) serta yang sering beristighfar dan bangkit berqiamullail pada sebelah malamnya (al- Murstaghfirin bil ashar).
Khasiat dan kaifiat beramal dengan doa ini mudah-mudahan iman kita akan meningkat kepada iman golongan yang mulia.
Waktu yang
mustajab berdoa
Antara waktu-waktu doa mustajab dilakukan secara khusyuk dan konsentrasi sepenuh hati terhadap apa yang diinginkan adalah enam pilihan waktu iaitu sepertinya malam terakhir, ketika azan, waktu antara azan dan iqamat, sesudah solat wajib, ketika imam naik mimbar di hari Jumaat hingga selesai solat jemaah Jumaat, serta waktu-waktu terakhir sesudah solat asar di hari Jumaat.
Antara lafaz doa yang ampuh telah diriwayatkan dalam kitab-kitab al-Sunan dalam sahihnya daripada Abdullah bin Yazid daripada ayahnya, Rasulullah SAW pernah mendengar seorang hamba Allah berdoa yang ertinya; "Ya Allah, aku meminta kepada-Mu, aku bersaksi bahawa Engkau adlah Allah, tiada tuhan melainkan Engkau Yang Maha Esa, tempat bergantung, yang tidak melahirkan dan juga tidak dilahirkan, yang tidak ada sesuatu pun yang menyamai".
Rasulullah SAW kemudiannya bersabda, "Sesungguhnya dia telah meminta kepada Allah dengan Allah dengan nama-Nya yang Maha Agung". (riwayat at-Tirmizi).
Ada juga diriwayatkan oleh Abu Hatim dan Ibnu Hibban daripada Anas bin Malik, bahawa ia bersama Rasulullah SAW sedang duduk-duduk, sementara ada seorang lelaki sedang melakukan solat, kemudian berdoa, yang ertinya; "Ya Allah, aku meminta kepada-MU, segala puji bagi-Mu, tiada tuhan melainkan Engkau, Maha Pemberi, Pencipta langit dan bumi, wahai Yang Memiliki Keagungan dan Kemuliaan, wahai yang Maha Hidup dan Maha Penegak".
Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh dia telah berdoa kepada Allah dengan nama-Nya yang Maha Agung, yang apabila dia berdoa dengannya maka Allah kabulkan dan jika doa meminta dengan-Nya, maka Dia akan memberi". (riwayat Imam Ahmad).
Antara sebab doa dikabulkan Allah adalah kerana direstui dengan keadaan terdesak daripada orang yang berdoa, kekhusyukan kepada Allah dan kerana kebajikan yang pernah dilakukannya sehingga Allah membalasnya sebagai tanda terima kasih atas amal kebajikan.
Di samping itu juga, kerana doa tersebut dilakukan pada waktu-waktu mustajab, selain lafaz dan keyakinan yang penuh kepada Allah.
Oleh itu, sesiapa yang diberikan kekuatan berdoa, ini bererti bahawa doanya akan dikabulkan. Allah SWT berfirman, yang maksudnya; Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Ku perkenankan bagimu… (al-Mukmin: 60).
Allah SWT juga berfirman yang bermaksud: Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengkabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. (al-Baqarah: 186).
Dalam Sunan Ibn Majah, diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa yang tidak meminta kepada Allah, ia marah kepada-Ku". (riwayat at-Tirmizi).
Hadis ini menunjukkan bahawa keredaan Allah bergantung pada apabila seseorang meminta kepada-Nya dan taat kepada-Nya. Jika Allah meredai, semua kebaikan terletak pada keredaan-Nya. Sebaliknya semua bala dan bencana terdapat pada kemurkaan-Nya.
Sesungguhnya doa sebagai ibadah amat penting di amalkan dalam kehidupan. Kesibukan dan kelalaian kita menyebabkan kita lupa berdoa dan sentiasa tergesa-gesa semasa berdoa. Hal ini menyebabkan kita tidak dimakbulkan oleh Allah.
Semangat untuk berdoa juga amat penting dilakukan pada waktu-waktu mustajab yang disebutkan bagi mendapatkan kejayaan dan termakbulnya sesuatu doa.