Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
“PAHLAWAN NEGARA TONGGAK KEKEBALAN ISLAM
DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN ”
(29 JULAI 2011 / 27 SYA,BAN 1432H)
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Di kesempatan berada pada hari Jumaat dalam bulan
Sya’ban yang mulia ini, saya berpesan
kepada diri saya sendiri dan kepada sidang Jumaat sekalian, marilah sama-sama
kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh
melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Mudah-mudahan
kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia
dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan menyampaikan khutbah bertajuk: “PAHLAWAN
NEGARA TONGGAK KEKEBALAN ISLAM DALAM PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN .”
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Tanggal 31 Julai pada setiap tahun negara kita akan
menyambut Hari Pahlawan. Sambutan tarikh keramat ini cukup melakar pengertian kepada kita sebagai anak bangsa yang cintakan
agama, bangsa dan negara. Pahlawan negara samada terdiri daripada warga Angkatan
Tentera Malaysia , Polis di Raja
Malaysia
dan lain-lain agensi keselamatan serta individu yang secara bersama
mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Oleh itu bersempena dengan
sambutan ini, marilah sama-sama kita menghargai jasa dan pengorbanan besar yang
antara lain ialah memperjuang kedudukan agama Islam di dalam Perlembagaan
Persekutuan sehingga kekal hingga kini.
Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 3(1) telah
memperuntukkan bahawa Islam adalah agama persekutuan. Bagaimanapun agama lain
boleh diamalkan dengan aman dan damai. Di dalam Perlembagaan juga dinyatakan
bahawa yang di Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi negeri yang tiada
raja seperti Pulau Pinang, Sarawak, Sabah, Melaka dan Wilayah Persekutuan.
Manakala di negeri-negeri lain ketua agama Islam ialah Sultan atau Raja di
negeri berkenaan. Justeru sebagai umat Islam kita hendaklah memberi taat setia
yang tidak berbelahbagi kepada pemerintah negara lebih-lebih lagi kita telah
diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di
dalam surah An-Nisa’ ayat 59:
Bermaksud: “Wahai orang yang beriman,
taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu.
Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia
kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari
akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula
kesudahannya”.
Persoalan besar timbul di sini ialah siapakah yang menjadi pahlawan
negara sebagai tonggak kekebalan Islam
di dalam Perlembagaan Persekutuan?. Mereka ini ialah Raja-Raja Melayu, pemimpin-pemimpin Melayu
serta umat Islam. Mereka telah mengubal dasar dan undang-undang yang
dilaksanakan dengan mengambil kira
kedudukan Islam sebagai agama negara di samping yang
sama menggubal undang-undang bagi menyekat pengembangan agama-agama lain di kalangan orang-orang
Islam. Memasukkan Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam dibawah kuasa Sultan. Bagi
menjamin kedaulatan negara mereka telah menunjukkan sikap toleransi yang amat
tinggi nilainya dengan menyerahkan sebahagian kuasa serta menerima bangsa lain
sebagai warganegara. Sikap toleransi ini telah diiktiraf oleh bangsa lain
dengan menyatakan kesyukuran dan terima kasih kepada orang Melayu di atas
pengorbanan ini. Seorang pemimpin bukan Islam di negara ini pernah berkata: Seperti
yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di
manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan santun dan
tertib selain dari bangsa Melayu. Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya
kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami?
Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira
di sini.
Daripada kenyataan ini,dapatlah
difahami bahawa negara kita adalah sebuah negara yang amat prihatin kepada
semua rakyat yang bermastautin di negara ini. Kita merasa bertuah dengan
kepimpinan terdahulu yang telah berjuang dan berkorban demi kemajuan anak
bangsanya agar duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa
lain di dunia ini.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Sungguhpun sejarah telah membuktikan bahawa agama Islam
telah diterima sebagai agama bagi Persekutuan dan Raja-Raja Melayu telah diberi
pengiktirafan yang sewajarnya, namun kedudukan agama Islam sering kali
mengundang pelbagai pentafsiran oleh masyarakat negara ini. Kedudukan Islam
terus dipertikaikan dan diperdebatkan oleh mereka yang enggan atau gagal
memahami kedudukan Islam. Suara-suara sumbang golongan tertentu terus
berkumandang dengan menyalahtafsirkan kedudukan agama Islam di bawah
Perlembagaan Persekutuan, sehinggalah berlaku kekeliruan umat Islam yang
menganggap agama Islam hanya digunakan untuk perkara-perkara ibadat sahaja. Mimbar
ingin menegaskan bahawa sekiranya salah tanggapan ini dibiarkan berterusan
adalah dikhuatiri bahawa agama Islam akan dipandang sebagai agama yang
mempunyai kedudukan yang sama rata dengan agama lain dan tidak mempunyai
keistimewaan tertentu.
Mutakhir ini juga kita kedengaran
terdapat beberapa pihak yang cuba memperlekehkan agama Islam dengan berbagai
cara dan helah. Mereka mencabar kesahan penguatkuasaan undang-ungang Syariah
dan kewibawaan institusi-institusi Islam seperti Jabatan Mufti dan Mahkamah
Syariah. Fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti telah berani dicabar dengan alasan
bercanggah dengan hak kebebasan beragama, undang-undang Syariah dituduh sebagai kolot
kerana bercanggah dengan kehendak konvensyen-konvensyen antarabangsa yang
mempromosikan demokrasi dan hak asasi manusia ala barat. Mereka juga menerapkan
fahaman liberal dan pluralisme serta yang terkini fahaman komunisme bentuk baru
yang bertujuan menggugat serta menghakis nilai-nilai dan pegangan umat Islam.
Lebih malang lagi kesempatan ini telah
diambil oleh musuh-musuh Islam untuk merendahkan martabat agama Islam. Mereka
menuntut pelaksanaan suruhanjaya antara agama yang bertentangan dengan
Perlembagaan Persekutuan. Mempertikaikan pelaksanaan hukuman Syariah, menyokong
kes murtad. Menuntut supaya golongan homoseksual, lesbian dan penukaran jantina
diberi hak kebebasan untuk mengamal kegiatan mereka. Mereka juga mempersoalkan
kedudukan Raja-Raja Melayu, keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Islam
sebagai agama Rasmi Persekutuan. Musuh Islam juga pernah mencemarkan nama Allah
dalam kitab-kitab karangan pemimpin agama mereka serta senantiasa
memperlekehkan Rasulullah SAW dan al Quran.
Sekali lagi
persoalan timbul disini kenapa perkara ini berlaku?. Berdasarkan pemerhatian mimbar, keadaan ini berlaku disebabkan beberapa
perkara: Pertama:Umat Islam sendiri telah
berpecahbelah mengikut kumpulan tertentu, Kedua:Sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama kerana kepentingan diri dan kumpulan dan Ketiga:Terdapat umat Islam bersyubahat dengan pihak tertentu untuk
mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi di negara ini atas alasan untuk mempertahankan hak asasi pihak lain. Oleh
itu, mimbar ini ingin mengingatkan sekali lagi bahawa jika umat Islam
berterusan berpecahbelah, hilang integriti dan diperalatkan pihak lain, maka
lambat laun kekebalan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan akan terhakis,
umat Islam di negara ini akan menerima nasib yang malang seperti yang berlaku
di sesetengah negara di mana rakyatnya diburu dan dihalau daripada tanah air
mereka sendiri.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah sekalian,
Mengadakan hubungan baik dengan orang bukan Islam bukanlah
bermakna kita melupakan tanggungjawab kita kepada Islam. Agama Islam telah
mengatur prinsip-prinsip toleransi dan hubungannya dengan penganut agama lain.
Namun di dalam persoalan agama dan akidah, kita sebagai umat Islam tidak boleh sama sekali berkompromi
dengan kesyirikan. Mimbar mengingatkan kepada semua pihak janganlah
mempertikaikan apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan
kontrak sosial yang telah dipersetujui bersama sejak kemerdekaan lagi. Jangan cuba
menyemarakkan api perpecahan kerana ia akan menghancurkan sesebuah negara.
Ingatlah kepada pepatah orang Melayu: Dimana bumi dipijak, disitu langgit di
junjung. Mimbar ingin menegaskan kepada jemaah sekalian apabila kita ditekan
dan dituntut oleh pihak tertentu untuk memenuhi tuntutan mereka, maka hendaklah
kita berpegang teguh kepada ajaran Islam supaya kita tidak hilang pedoman. Firman Allah SWT dalam Surah
Al-An’aam ayat 153:
Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku yang betul lurus, maka
hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (lain dari
Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan
Allah. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Bersempena
dengan Sambutan
Hari Pahlawan tahun 2011 pada 31 Julai ini, maka mimbar menyeru marilah kita memperkukuhkan
cinta kepada Allah dengan ikhlas berjuang menegakkan agama Allah SWT, syariat
Allah dan memperbanyakkan amal soleh supaya kita terus kekal menjadi seorang
pahlawan negara dan dimasukkan dalam golongan yang berjuang fi sabilillah. Marilah sama-sama kita mempertahankan kesucian agama Islam
dengan menjaga dan mendaulatkan kekebalan agama Islam yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.Teruskanlah
perjuangan yang telah ditinggalkan oleh datuk-nenek kita agar kesinambungan ini
dapat menjamin kedudukan agama Islam sentiasa dimartabatkan. Ingatlah usaha
kita ini merupakan sebahagian daripada jihad yang akan diberi
ganjaran syurga oleh Allah SWT di akhirat nanti. Muaz bin Jabal ra telah meriwayatkan
sabda Rasulullah SAW: “Barang
siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar memerah susu
unta, maka wajib baginya mendapat pahala syurga. Dan barang siapa yang memohon
kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad, kemudian ia mati
atau dibunuh, maka baginya balasan syahid. Dan barang siapa terluka di jalan
Allah atau ditimpa kemalangan, maka ia datang pada hari akhirat sederas darah
yang mengalir ketika luka warnanya seperti za’ faran dan baunya bagaikan
kasturi” (Riwayat:
An-nasa’i)
Mimbar juga ingin mengambil kesempatan
dengan kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini, menyeru seluruh umat Islam
sekalian untuk sama-sama kita memanafaatkannya dengan melakukan amal ibadat
yang berlipat ganda, melakukan kebajikan dan sebagainya. Ingatlah bahawa bulan
Ramadhan merupakan bulan yang penuh kerahmatan, dibuka pintu-pintu syurga,
ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. Mengakhiri khutbah
marilah sama-sama kita mengambil iktibar firman Allah
SWT dalam surah at-Taubah ayat 20 :
Maksudnya: “Orang yang beriman dan
berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka
adalah lebih besar darjatnya di sisi Allah; dan mereka itulah orang yang
berjaya .”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan