Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Selari dengan
bulan Ramadhan yang berkat ini saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya
sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan
pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini
menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat
pada hari ialah “ BULAN RAMADHAN BULAN AL-QURAN”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Tarikh 17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang
selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan
ceramah Nuzul al-Quran dan media massa, surat khabar serta televisyen tidak
akan terlepas menyiarkan berita serta rancangan atau kuliah sempena
memperingati Nuzul al-Quran. Memang benar bahawa setiap muslim sepatutnya memperingati
tarikh penurunan al-Quran. Al-Quran merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh
Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada umat manusia. Firman
Allah SWT dalam
surah al-Baqarah ayat 185:Maksudnya:
“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan
Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi
keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang
benar dan yang salah”
Imam
al-Qurthubi menjelaskan, bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk
dan penjelasan bagi umat manusia. Menjelaskan kepada mereka yang halal dan
haram, peringatan dan hukum-hakam, serta pembeza antara yang haq dan yang
batil. Dengan demikian al- Quranlah yang seharusnya memandu dan memimpin kehidupan
umat manusia.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Sempena
bulan Ramadhan sebagai bulan Nuzul Al-Quran ini, marilah kita dengan penuh iman
dan takwa bermuhasabah diri kita, apakah kita selama ini telah mengambil al-Quran
sebagaimana yang Allah SWT perintahkan atau selama ini kita hanya beriman
dengan sebahagian dari al-Quran atau telah mengabaikan al-Quran? Apakah selama
ini al-Quran telah benar-benar kita jadikan petunjuk, sumber hukum sekaligus
sebagai penyelesai kepada segala masalah kehidupan kita? ataukah sebaliknya.
Berdasarkan pemerhatian mimbar, kebanyakkan kita
berusaha menjaga jasad al-Quran. Kita tidak akan meletakkan al-Quran di lantai
atau di kerusi atau lain-lain tempat yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan
marah jika mendapati sesiapa sahaja yang tidak menjaga al-Quran. Kita turut
sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat al-Quran dipijak, dikoyak,
dibakar atau dibuang di tempat yang jijik. Kita juga tidak akan berdiam diri
jika al-Quran dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa bentuk sekalipun.
Kita memang akan menjaga kemurnian dan kesucian al-Quran dari segala bentuk penodaan
dan pemalsuan. Sebenarnya segala usaha ini sangat baik dan memang sudah menjadi
tugas dan kewajiban kita yang harus kita tunaikan. Bagaimanapun kita amat
merasa kesal terdapat umat Islam berusaha untuk menjaga jasad al-Quran, tetapi
tidak berusaha untuk menghayati isi kandungannya dan menerapkan segala perintah
dan larangannya. Umat Islam marah apabila al-Quran dihina, tetapi mereka sendiri seolah-olah
seperti ‘menghina atau mengenepikan’ al-Quran dengan tidak mengamalkan apa yang
terdapat di dalamnya.
Mimbar juga amat bimbang terdapat dikalangan umat Islam
yang hanya menjadikan al-Quran sebagai perhiasan, disimpan baik-baik di rumah
dan hanya digunakan untuk hal-hal yang berunsurkan mistik, misalnya
menjadikannya sebagai azimat, tangkal, pelaris, penolak bala, pengusir syaitan
dan sebagainya. Mereka juga lebih suka mengambil al-Quran sebagai sebuah ‘kitab
magik’ yang boleh menguntungkan jualan, memurahkan rezeki, berubat, menghalau
hantu dan pelbagai kepentingan peribadi lainnya.
Muslimin
Yang di Rahmati Allah,
Mimbar ingin mengingatkan kita semua bahawa Allah SWT
menurunkan al- Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah lebih dari itu. Membaca al-Quran
adalah ibadah (sunat) dan InsyaAllah kita akan beroleh pahala kerananya, tetapi
mengamalkan isi kandungannya adalah WAJIB dan sesiapa sahaja mengabaikannya maka ia
telah melakukan kesalahan dan boleh
sampai ke tahap berdosa besar. Siapa sahaja yang yang tidak mengamal dengan apa
yang Allah telah perintahkan, maka azab Allah akan diturunkan atau menantinya
di akhirat! Bagi mereka yang tidak memikul amanat Allah SWT yang telah diturunkan-Nya
melalui al-Quran, maka Allah telah membuat satu perumpamaan yang hina ke atas
mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat ayat 5:
Maksudnya:
“Bandingan orang yang dipikulkan
kepadanya Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya, samalah seperti
keldai yang memikul Kitab-kitab besar. Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan
ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi petunjuk kepada
kaum yang zalim”.
Melalui ayat ini, Allah SWT menghina kaum yang
tidak memikul tanggungjawab melalui wahyu yang diturunkan-Nya dengan perumpamaan
seperti keldaiBayangkanlah
jika ada orang yang mengatakan kepada kita, “Anda ini seperti keldai!” Apakah
perasaan kita? Apalagi yang menyatakan seperti itu ialah Allah SWT yang kita harapkan keredhaan dan keampunan-Nya.
Orang yang benar-benar beriman, bertakwa dan mengharapkan redha Allah sudah
tentu akan merasa takut dan gementar akan perumpamaan tersebut.
Mimbar suka mengingatkan bahawa
sesungguhnya peluang untuk menghayati al-Quran serta mengambil pedoman di
dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Persoalan besar di sini ialah
apakah jawapan kita apabila Allah SWT melontarkan soalan kepada mereka yang
membaca al-Quran seperti di dalam ayat 101 surah Ali-Imran:
Maksudnya: “Dan
bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah
(Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w.)? Dan
sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah
beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)”.
Ayat ini menunjukkan
kepada kita terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran
dan Sunnah berada di sisinya. Ini adalah disebabkan mereka tidak dapat menerima
petunjuk Allah, justeru mereka ingkar kepada ayat Allah akan menjadi kafir.
Sesungguhnya
Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia dengan kemuliaan-Nya,
agar kita menjadi golongan yang mulia. Salah satu pendekatan yang mengangkat
martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh
dengan menjadikan al-Quran sebagai acuan kehidupan. Oleh itu, mimbar menyeru
semua pihak di dalam keberkatan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama
mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan
buruk dengan mengamalkan segala isi kandung al-Quran agar kehidupan kita lebih
diredhai Allah SWT. Mimbar
juga mengambil kesempatan sempena dengan Sambutan Hari Asean yang ke 44 pada 8
ogos tahun ini, menyeru seluruh jemaah dan umat Islam sekalian marilah
sama-sama kita mempertingkatkan serta mengekalkan keamanan, keselamatan dan
kestabilan di negara kita dan secara amnya dirantau Asia Tenggara. Marilah
sama-sama kita memupuk perpaduan sepertimana yang dianjurkan dalam kitab suci
al-Quran dengan tanpa mengira bangsa, agama dan negara kerana perpaduan yang
terjalin antara kita akan memudahkan segala urusan dan membolehkan sesuatu
kejayaan dihasilkan. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita
menghayati firman Allah SWT dalam surah faatir ayat 10:
Maksudnya: “Sesiapa
yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada-Nyalah
naik segala perkataan yang baik dan amal yang soleh pula di angkat-Nya naik.
Dan orang yang merancang kejahatan, adalah bagi mereka azab seksa yang berat;
dan rancangan jahat mereka akan rosak binasa”.