Catatan Popular

Rabu, 28 Mac 2012




PEPATAH Arab menyebut, 'Masa adalah ibarat pedang, jika kita tidak memotongnya , maka ia akan memotong kita.' Ini menggambarkan kepada kita bahawa masa itu sesuatu yang sangat penting dan amat berharga. Sehinggakan dalam kehidupan kita ada ungkapan masa itu ibarat emas.
Masa sebenarnya adalah nyawa kerana apabila kita diberikan peluang untuk terus bernafas, kita sebenarnya mempunyai masa untuk memperbanyakkan sumbangan dalam kehidupan, memperbaiki kesilapan dan sebagainya.
Di dalam al-Quran, apabila Allah bersumpah dengan sesuatu, maka ia antara lain untuk menggambarkan perkara tersebut sangat penting dan perlu diberi perhatian.
Masa adalah antara banyak perkara yang Allah bersumpah dengannya. Ini membuktikan bahawa masa adalah perkara yang sangat penting. (rujuk al-'Ashr: 1-3)
Malah bukan itu sahaja, sekiranya kita membuka lembaran al-Quran, kita akan dapati di sana terdapat banyak ayat yang menunjukkan Allah SWT bersumpah dengan masa. Antaranya rujuk surah al-Lail: 1-2, adh-Dhuha: 1-2, al-Fajr: 1-2 dan asy-Syams: 1-2.
Namun, apa yang menyedihkan, walaupun telah diperingatkan dengan kepentingan menguruskan masa, berapa ramai di kalangan kita yang lalai dan leka dalam menjaga masanya.
Masa berlalu dengan sia-sia tanpa dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Akhirnya, apabila sudah terlewat, barulah mereka menyesal sehingga meminta untuk diundurkan masa, ibarat kata pepatah 'Sudah terhantuk baru hendak terngadah.'
Sayangnya, semua itu adalah mustahil. Ibarat kata pepatah 'nasi sudah menjadi bubur.' Penyesalan dan rintihan mereka yang mengabaikan masa di dunia telah dimuatkan oleh Allah SWT dalam al-Quran sebagai pengiktibaran kepada kita semua supaya benar-benar menghargai masa yang ada. (rujuk al-Munafiqun: 10)
Nabi SAW juga banyak mengingatkan kita supaya sentiasa menjaga masa. Orang yang tidak mementingkan masa dan tidak menguruskannya dengan baik, pasti akan rugi di dunia dan di Akhirat.
Rasulullah SAW bersabda: Dua jenis nikmat yang kebanyakan manusia menerima kerugian yang besar iaitu kesihatan dan kelapangan. (riwayat al-Bukhari)
Peringatan yang diberikan oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW ini sebenarnya memberikan penekanan tentang bagaimana kita dapat menguruskan masa dengan lebih efisien dan berdisiplin.
Biasanya, kita akan dapat melihat orang yang paling baik dalam menguruskan masa ialah orang yang paling sibuk. Ini dibuktikan melalui pemerhatian kita kepada kehidupan Rasulullah SAW yang terlalu sibuk menguruskan agenda dakwah serta perjuangannya, menjadi pemimpin di negara Islam Madinah, menjadi ketua turus angkatan tentera, menjadi suami kepada isteri-isteri, menjadi ayah kepada anak-anak, menjadi teman kepada sahabat-sahabat dan sebagainya.
Akan tetapi, Baginda dapat menguruskan masa dengan cemerlang untuk melaksanakan urusan dan amanahnya sehingga semua manusia berpuas hati.
Setiap orang ditunaikan haknya dan tiada yang diabaikan oleh Rasulullah SAW. Lalu, persoalan yang perlu ditanya, adakah kita lebih sibuk daripada Rasulullah SAW sehingga kita mengabaikan sebahagian tanggungjawab kita?
Penulis ingin berkongsi di sini bagaimana menguruskan masa secara efisien dan efektif.
Mudah-mudahan dengan beberapa tip ini akan memberikan garis panduan kepada pembaca untuk menjadikan masa yang digunakan lebih berkualiti.
Semoga kita menjadi orang yang lebih berdisiplin dalam menggunakan masa kerana seperti yang diwasiatkan oleh Al Syahid Hassan Albanna bahawa, "Kewajipan kita adalah lebih banyak daripada waktu yang kita ada. Oleh itu, bantulah saudaramu tentang cara-cara bagaimana hendak menggunakan masa dengan berfaedah dan jika saudara mempunyai tugas sendiri, maka ringkaskanlah pelaksanaannya." Amar makruf nahi mungkar ...

Selasa, 27 Mac 2012

Doa Bala Utk Najib

APA KAU ORANG SAKIT HATI SANGAT DENGAN DSN INI, 

APA KESALAHAN YANG TELAH DILAKUKAN OLIH BELIAU TERHADAP KAU...!!! 
APA APA PUN KAU PATUT BERSYUKUR DIATAS APA YANG TELAH DIKURNIAKAN KEPADA KAU ...!!! 
YANG MANA ALLAH SWT TELAH MEMBEKALKAN AKAL DAN FIKIRAN SUPAYA KAU BERFIKIR, TAHU KAH KAU...!!!
APA YANG AKAN BERLAKU, DALAM MASA YANG TERDEKAT INI...??? TAHU KAH KAU NEGARA KITA TIDAK AKAN AMAN LAGI, DIATAS SIKAP BANGSA KAU SENDIRI, KERNA MEREKA SUDAH LUPA AGAMA APA YANG MEREKA ANUTI, DUNIA SUDAH KEMBALI KE ZAMAN JAHILIAH, LAGI JAHIL DARI ZAMAN KEBANGKITAN ISLAM DAHULU... DAN SAYA JUGA BERHARAP KERAJAAN MALAYSIA AKAN MELULUSKAN HUKUMAN HUDUD DIJALANKAN TANPA MENGIRA KAU ISLAM KE KAFIR, INSYAALLAH... PERNAH KAH TERFIKIR OLIH KAU ...!!! BANGSA MEREKA BERLUMBA LUMBA UNTUK MENDAFTAR SEBAGAI PEMILIH, SUPAYA SENANG MEREKA UNTUK MENGAMBIL ALIH KAWASAN YANG BAKAL MEREKA PENUHI, DAN BANGSA MELAYU YANG TIDAK SEDAR DIRI PUN IKUT SERTA BAGI MENJAYAKAN RANCANGAN MEREKA ??? TAHU KAH KAU...!!! DARI ITU JIKA KAU ORANG MELAYU YANG BELUM MENDAFTAR SEBAGAI PEMILIH MENDAFTAR LAH UNTUK BERSAING DENGAN MEREKA, CUKUP LAH DENGAN APA YANG TELAH KAU LEMPARKAN KEPADA BANGSA KAU AKAN KEBURUKAN DAN FITNAH FITNAH KAU !!! BERFIKIR LAH SEBAGAI MANUSIA YANG SENTIASA INGAT AKAN KEBESARAN ALLAH SWT ... MASYALLAH, NAUZUBILLAHHIMIMZALIK... ALLAH HUAKBARRR...

Ahad, 25 Mac 2012

SOLAT KHUSYUK CEGAH KEMUNGKARAN




ALLAH mengurniakan hamba-Nya al-Quran dan sunnah iaitu dua pusaka penting yang ditinggalkan Nabi kepada umat Islam.
Al-Quran dan hadis melahirkan peraturan hidup yang dinamakan syariat.
Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Aku tinggalkan kepadamu dua perkara, jika kamu berpegang teguh padanya kamu tidak sesat selamanya iaitu kitab Allah dan sunnahku.”

Untuk berada di landasan hidup yang betul, kita perlu ilmu dan menjadi individu celik syariat iaitu tahu apa bentuk suruhan serta larangan Allah, kenal ibadat, prihatin apa yang terbaik baginya sebagai seorang Muslim. 
Allah berfirman bermaksud: “Jika datang kepadamu petunjuk dari-Ku (Allah), sesiapa yang mengikut petunjuk-Ku, dia tidak sesat dan tidak celaka. Sesiapa yang berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempit dan Kami menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.” (Surah Thoha ayat 123). 
Bagi mencapai kejayaan cemerlang, umat Islam perlu beribadat malah dalam perancangan hidup, ibadat wajib diberikan keutamaan.

Ibadat adalah latihan merangkumi minda, hati dan jasad manusia. Disiplin yang ada dalam ibadat menjadikan seseorang itu cemerlang dalam hidupnya.

Antara ibadat penting dalam kehidupan seharian umat Islam adalah solat. Untuk berjaya dalam hidup, solat tidak boleh diabaikan sama sekali.

Ibadat solat adalah ibarat ‘tiang’ dalam Islam. Malah ketika dalam peperangan sekalipun solat tidak boleh ditinggalkan.

Solat perlu ditunaikan dengan berdiri dan jika tidak mampu berdiri, boleh duduk dan jika tidak mampu duduk, boleh dengan cara baring.

Jika tidak mampu lagi, terlentang dan tidak mampu lagi, boleh mengiring.
Sekiranya masih tiada daya juga dengan isyarat mata dan masih tidak boleh juga, lakukan dengan isyarat hati.

Hari ini ramai orang memperkecilkan solat. Tidak hairanlah terjadinya pelbagai masalah sosial. Gejala seperti terbabit dengan penyalahgunaan dadah, meminum arak, seks bebas, derhaka kepada ibu bapa, menculik, ponteng sekolah, pembunuhan, ragut, pecah rumah dan sebagainya.

Semua itu berpunca daripada tidak solat. Jika solat pun tidak tahu sah atau batal. Itu belum lagi masuk perkara khusyuk dalam solat atau mengenai bacaan dan tajwid.

Apabila solat tidak sempurna, tidak sempurnalah akhlak dan perangai. Firman Allah dalam surah Maryam, ayat 59, maksudnya: “Maka datanglah selepas mereka yang mensia-siakan solat dan mengikut hawa nafsu, maka kelak mereka menjadi sesat.”

Abdullah bin Abbas menyatakan, maksud mencuaikan solat bukannya meninggalkan solat tetapi juga melewatkan dari waktunya.

Solat bukan saja menghapuskan dosa sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud: “Solat menghapuskan dosa antara satu solat dengan satu solat yang lain kecuali dosa besar.”

Imam Abu Aaliayah berkata: “Solat mempunyai tiga keistimewaan dan jika tidak ada ketiga-tiga ini maka solat itu tidak sempurna dan tidak boleh mencegah dosa. Keistimewaan itu adalah ikhlas, khusyuk serta zikrullah.

Keikhlasan membuatkan seseorang melakukan perkara baik, khusyuk mencegah perbuatan jahat, sementara zikrullah (ingat Allah) pula mencegah mungkar (kejahatan) dan menanam makruf (kebaikan).

Ada sesetengah ulama dulu apabila tiba saat hendak menghembuskan nafas terakhir, masih sempat meminta pertolongan orang mengambilkan wuduk untuknya supaya dapat mengerjakan solat.

Malah, ada yang minta diusung ke masjid kerana hendak mati di tempat solat.
Justeru, janganlah kita mengabaikan perintah dan kewajipan solat yang menjadi rutin hidup kita.

Setiap kali solat, anggaplah itu mungkin solat yang terakhir buat kita.

Isnin, 19 Mac 2012

ALLAH SAHAJA YANG MENGETAHUI SEGALA YANG GHAIB




ALLAH SWT memerintahkan kepada Rasul-Nya supaya mengatakan kepada manusia bahawa baginda tidak mengetahui bila akan berlakunya hari Kiamat sama ada waktunya sudah hampir atau masih jauh.
Baginda juga tidak mengetahui sedikit pun daripada yang ghaib, kecuali jika baginda diberitahu oleh Allah SWT. Dia sangat mengetahui para Rasul telah menyampaikan risalah Tuhan mereka sama ada secara umum mahupun yang terperinci.
Firman Allah SWT: (Kalau ditanya bilakah azab itu? Maka) katakanlah: Aku tidak mengetahui, apakah azab yang diancamkan kepadamu itu dekat ataukah Tuhanku menjadikan bagi (kedatangan) azab itu masa yang panjang? (Dia adalah Tuhan) yang mengetahui yang ghaib, maka dia tidak memperlihatkan kepada seorangpun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada Rasul yang diredai-Nya, maka sesungguhnya dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya. (al-Jin: 25-27)
Al-Mawardi berkata: Perkataan yang mengetahui yang ghaib ada empat pendapat;
* Mengetahui yang rahsia seperti pendapat Ibn Abbas.
* Apa yang kamu tidak nampak yang menjadi ghaib bagimu seperti pendapat al-Hasan.
* Iaitu yang ghaib adalah al-Quran seperti pendapat Ibn Zaid
* Yang ghaib adalah hari Kiamat dan peristiwa yang akan berlaku seperti pendapat Ibn Abi Hatim.
Ibnu Kathir berkata: Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya supaya mengatakan kepada mereka dia tidak mengetahui tentang hari Kiamat, begitu juga waktu ketika mana ia berlaku.
Al-Maraghi berkata: Dia mengetahui apa yang ghaib daripada penglihatan makhluk-Nya sehingga mereka tidak melihatnya. Dan yang demikian ini tidak diketahui oleh seorang pun kecuali para rasul AS yang diredai-Nya. Dia memberitahu kepada mereka apa yang dikehendaki-Nya daripada yang ghaib itu.
Ayat ini menunjukkan perbuatan melakukan ramalan, nujum dan sihir adalah sesuatu yang batil.
Ar-Razi berkata: Ayat yang mulia ini bermaksud, Dia tidak memberitahu kesediaan peristiwa ghaib yang diketahui-Nya tentang kedatangan hari Kiamat. Terdapat beberapa alasan yang menunjukkan perkara itu;
* Para penganut agama dan kepercayaan telah membuktikan kebenaran ilmu takwil dan tafsir mimpi. Orang yang mentafsirkan mimpi itu kadang-kadang memberitakan peristiwa-peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang dan pentafsirannya itupun kadang-kadang benar.
* Tukang tilik dari negara Baghdad ini telah dipindahkan oleh Sultan Sinjar Ibnu Malik Shah dari Baghdad ke Khurasan dan telah ditanya tentang sesuatu perkara yang akan datang, lalu dia telah menyebut beberapa perkara yang kemudiannya berlaku bersesuaian dengan pembicaraannya.
* Kita menyaksikan di antara ahli mimpi (perkara itu tidak dikhususkan kepada para wali, tetapi kadang-kadang didapatkan juga oleh tukang-tukang sihir), dan orang yang benar dalam perkhabarannya. Termasuk juga ilmu yang berdasarkan bintang, seringkali sesuai dengan apa yang berlaku. Apabila perkara itu dapat disaksikan dan dialami, maka pendapat yang mendakwa al-Quran menunjukkan yang sebaliknya dapat menimbulkan celaan terhadap al-Quran al-Karim.
Ad-Dahak berkata: Tidak diutus seorang Nabi pun kecuali dia disertai oleh para malaikat yang menjaganya daripada syaitan-syaitan yang menyamar dalam bentuk malaikat. Apabila datang seorang syaitan dalam bentuk malaikat, maka para malaikat mengatakan kepada Nabi, berwaspadalah, ini adalah syaitan dan apabila datang kepada Nabi itu seorang malaikat, maka para malaikat penjaga mengatakan: "Ini adalah utusan Tuhanmu!"
Hamka berkata: Rasul-rasul yang diredai oleh-Nya akan dijagai dan dipelihara daripada sebarang ancaman musuh.
Al-Qasyani berkata: Penjagaan itu di sisi Allah SWT yang selalu menghadap wajah kepadanya sesudah itu ialah Ruhul Qudus dan berbagai Nur (cahaya) Malakut, iaitu alam Malaikat dan Rabbani. Ataupun penjagaan pada anggota tubuh dengan kesungguhan mengerjakan ibadah dan zikrullah, maka ia menjadi perisai dalam menghadapi apa sahaja cabaran dan rintangan dalam menyampaikan dakwah.
Firman Allah SWT: Supaya dia mengetahui, bahawa sesungguhnya rasul-rasul itu telah menyampaikan risalah-risalah Tuhannya, sedang (sebenarnya) ilmu-Nya meliputi apa yang ada pada mereka, dan dia menghitung segala sesuatu satu persatu. (al-Jin: 28)
Ahli tafsir berbeza pendapat mengenai dhamir (kata ganti) yang terdapat dalam firman-Nya, kepada siapa kembalinya? Ada yang berpendapat kata itu kembali kepada Nabi SAW.
Al-Mawardi menyebut lima pendapat;
* Supaya Muhammad mengetahui yang Jibril menyampaikan risalah Allah dan memeliharanya. Inilah pendapat Ibn Jubair.
* Supaya Muhammad mengetahui rasul-rasul sebelumnya telah menyampaikan risalah Allah. Inilah pendapat Qatadah.
* Supaya Muhammad mengetahui siapa yang mendustakan rasul-rasul yang telah menyampaikan perintah Tuhan-Nya. Inilah pendapat Mujahid.
* Supaya jin mengetahui bahawa rasul-rasul telah menyampaikan wahyu Allah dan mereka bukanlah mencuri maklumat seperti pendapat Ibnu Qutaibah.
* Supaya Allah mengetahui yang rasul-rasul-Nya telah menyampaikan risalah daripada-Nya seperti pendapat al-Zajjaj.
Abdul Razaq mengatakan dari Ma'mar daripada Qatadah: Nabi mengetahui para Rasul menyampaikan tugas daripada Allah dan para Malaikat menjaganya.
Ibnu Jauzi dalam kitab Zadul Masir berkata: Allah SWT sentiasa menjaga rasul-rasul-Nya melalui para malaikat agar mereka boleh menyebarkan risalah-Nya serta menjaga wahyu yang diturunkan agar Dia mengetahui mereka telah menyampaikan risalah Tuhan.
Sayid Qutub berkata: Rasul-rasul yang dipilih dan diredai Allah SWT akan dibuka pengetahuan ghaib-Nya iaitu mengenai semua yang berkaitan dengan wahyu yang tidak diketahui oleh sesiapa pun. Serentak itu juga Allah menjaga para rasul-Nya daripada godaan dan bisikan syaitan. Gambaran kawalan dan pengawasan yang sempurna terhadap Rasullullah SAW sangat jelas dalam ayat tersebut. Allah SWT mengetahui semuanya untuk menjelaskan bahawa penyampaian dakwah sudah terlaksana kepada manusia di muka bumi.
Surah ini membincangkan dua perkara utama;
n Menceritakan ungkapan-ungkapan yang keluar daripada kalangan bangsa jin ketika mendengar bacaan al-Quran. Di kalangan jin itu ada yang berkata al-Quran dianggap sebuah kitab yang menunjukkan kepada jalan yang lurus.
Maha Suci Allah SWT daripada mempunyai isteri dan anak, mereka menyangka bahawa tidak ada seorang pun yang mendustakan Allah SWT. Terdapat juga di kalangan manusia yang meminta pertolongan daripada golongan jin untuk menghilangkan kesempitan hidup mereka, para jin mencari berita dari alam atas tetapi mereka dihalang.
Dalam pada itu, para jin tidak mengetahui apa yang berlaku di bumi kerana halangan ini. Di kalangan jin pula ada yang baik dan ada yang jahat. Ada yang Islam dan ada yang kafir menyimpang daripada kebenaran.
n Perintah yang disampaikan kepada Nabi SAW agar disebarkan kepada makhluk. Antara dilarang menyekutukan sesuatu dengan Tuhannya. Baginda juga tidak mampu mendatangkan manfaat atau bahaya.
Baginda juga tidak mampu menghalang seseorang daripada menderhaka kepada Allah SWT, andainya orang tersebut ingin menderhakai-Nya. Baginda juga tidak mengetahui bilakah saat mereka akan diseksa kerana hanya Allah SWT sahaja Yang Mengetahui.
Semoga Allah menempatkan kita di kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh, sekali gus melayakkan kita untuk menghuni syurga-Nya. Amin.

Rabu, 14 Mac 2012

BERSAING LAH SECARA BERHEMAH DAN SIHAT




KEHIDUPAN ini adalah satu persaingan. Dalam dunia perniagaan, persaingan adalah rempah ratus yang hampir tidak dapat dielakkan. Mereka yang mahu terjun ke dunia perniagaan perlu sanggup bergelumang dengan realiti persaingan dalam industri atau pasaran semasa.
Bagi mereka yang bersifat negatif, persaingan adalah batu penghalang. Namun, bagi mereka yang bersifat positif dan berdaya saing, persaingan akan memberi kesan yang amat baik sama ada kepada diri atau orang lain. Persaingan yang sihat akan mencipta graf perkembangan yang baik terhadap kerjaya yang kita ceburi.
Dalam konteks pekerjaan, persaingan boleh wujud apabila pekerja-pekerja bersaing sesama sendiri untuk meraih kepercayaan majikan.
Apabila kepercayaan tersebut dapat diperoleh, maka biasanya pekerja akan mendapat habuan yang memuaskan sama ada dari segi peningkatan gaji, bonus atau kenaikan pangkat.
Dari sudut yang lain, persaingan boleh juga terjadi apabila terdapatnya dua atau lebih organisasi yang menceburi bidang yang sama.
Bagi mereka yang berfikiran sempit dan negatif, persaingan menjadi ancaman kepada diri dan boleh memberikan suasana yang sukar untuk meraih kejayaan yang disasarkan.
Pendirian dan sikap sebegini menjadikan seseorang itu akan menganggap pesaing itu sebagai musuh dalam pekerjaan.
Maka, mereka sedaya-upaya akan sentiasa memikirkan cara untuk memusnahkan pesaing-pesaing tersebut. Perasaan yang ditunjangi kebencian itu tentu tidak akan membuahkan persekitaran yang positif.
Sikap itu lebih menonjol apabila mereka ingin memenangi sesuatu persaingan dan tidak boleh atau tidak menerima kekalahan.
Bagi mereka tiada istilah tewas dalam kehidupan. Keperibadian sebegini tanpa disedari hanya mewujudkan sifat ego, sombong dan dengki dengan kejayaan orang lain.
Ia juga akan membuahkan gejala-gejala negatif yang lain seperti fitnah-menfitnah, tuduh-menuduh, gosip liar dan sebagainya.
Semuanya itu berlaku demi untuk memastikan musuh dalam perniagaannya tersungkur jatuh rebah ke bumi.
Sebagai orang Islam yang dikurniakan iman oleh Allah SWT, kita perlu melihat persaingan sebagai sesuatu yang positif demi mewujudkan sikap yang dinamik, progresif, proaktif serta berdaya saing.
Tujuan sebenar persaingan adalah untuk melihat kreativiti dan potensi diri seseorang.
Selain itu, ia adalah sebagai pemangkin semangat dan motivasi untuk meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.
Apabila wujud persaingan, maka sepatutnya kita akan menjadi lebih gigih, berdaya saing dan lebih komited. Sebaliknya, jika tiada persaingan, keadaan ini boleh menyebabkan kita alpa dan merasakan diri adalah yang terbaik kerana sentiasa berada dalam zon selesa.
Petua berjaya dalam saingan
Di sini dicadangkan beberapa petua untuk berhadapan dengan suasana persaingan:
Bersaing adalah ibadah
Di samping solat, puasa dan ibadah khusus yang lain, kerja yang kita laksanakan juga sebenarnya adalah ibadah. Ini bermakna, apabila wujudnya persaingan dalam bekerja, ia menunjukkan masing-masing sedang berusaha dan berlumba-lumba untuk melakukan ibadah yang terbaik. Ini selaras dengan dorongan daripada firman Aallh SWT: "..Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."(Surah Al-Baqarah : 148)
Minda yang betul
Kejayaan adalah satu permainan minda. Ungkapan ini menggambarkan betapa perlunya kita memiliki minda yang betul.
Kita perlu membuat penetapan dan kelaziman minda bahawa pesaing adalah rakan yang akan membantu kita untuk lebih menyerlahkan potensi dan kekutan diri untuk menjadi lebih cemerlang. Budaya minda betul ini mudah untuk diucapkan. Tetapi untuk mencetuskan pemikiran yang positif melalui tindakan memerlukan ikhtiar berterusan.
Lalu setiap kegagalan perlu diubah sebagai peluang untuk memperbaiki kelemahan diri seperti kata pujangga 'kita tidak pernah kalah cuma apa yang kita alami sekarang adalah satu kemenangan yang tertangguh'.
Lihatlah dan belajarlah dari kehebatan pesaing, bukannya kelemahan yang ada kepada mereka. Ini untuk bangunkan potensi diri serta organisasi agar lebih hebat dari pesaing-pesaing yang ada. Hikmah atau kebijaksanaan itu perlu dipelajari, walaupun dari musuh kita sendiri.
Nabi SAW bersabda:
"Hikmah itu laksana barang tercicir kepunyaan orang beriman, maka dialah yang berhak mengambilnya." (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Pesaing bukannya musuh
Bersaing dengan orang lain perlu dilihat dalam konteks menjadikan mereka sebagai rakan dan bukannya lawan dalam erti kata sebenar. Sebagai contoh, cuba kita perhatikan pelumba-pelumba dalam arena olahraga. Mereka melihat pesaing-pesaing sebagai pendorong untuk meningkatkan prestasi pecutan. Semakin kuat larian pelumba-pelumba lain, maka semakin pantas pecutan dibuat dengan sepenuh tenaga. Situasi ini dapat diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita. Kehebatan yang ada kepada pesaing dianggap sebagai pendorong untuk meningkatkan potensi diri agar menjadi lebih hebat.
Diri sebagai pesaing utama
Kegagalan yang sebenar ialah apabila kita tewas untuk bersaing dengan diri sendiri. Pesaing sebenar adalah diri kita sendiri. Ukuran sebuah kemenangan adalah apabila kita mampu meningkatkan kualiti diri lebih baik daripada semalam.
Kita seharusnya tidak perlu iri hati atau cemburu terhadap kejayaan orang lain. Kalah sekali tidak bererti kalah untuk selama-lamanya. Asalkan kita mempunyai iltizam untuk berjaya dan memperbaiki kelemahan diri, kejayaan pasti diperoleh. Seharusnya, kita perlu menerima kekalahan dengan hati yang terbuka. Jadikannya pendorong untuk terus berusaha dan menonjolkan kemampuan anda bagi tugasan yang berikutnya.
Perancangan yang strategik
Untuk menguruskan sesuatu persaingan, kita memerlukan kepada perancangan yang strategik dengan memilih tindakan yang terbaik untuk respons kepada persekitaran yang dinamik.
Kita perlu bijak untuk mencari peluang baru dalam perniagaan. Belajarlah daripada pesaing-pesaing untuk mencipta idea baru dan unik yang mungkin belum diketengahkan lagi. Apabila kita gagal untuk merancang, sebenarnya, kita merancang untuk gagal.
Demikianlah beberapa petua untuk berhadapan dengan pesaing-pesaing. Walau apa pun tindakan yang kita ambil, pastikan kita benar-benar mengetahui kekuatan dan kelemahan yang ada pada diri dan organisasi.
Wujudkan suasana persaingan yang sihat. Ketahuilah, orang yang benar-benar berjaya ialah orang yang boleh membawa orang lain untuk berjaya bersama-samanya.

Isnin, 12 Mac 2012

FAHAMI DOA MINTA ALLAH TUNJUKAN JALAN YANG LURUS



DOA kadang-kadang minta lain tapi buat lain malah ada juga bertentangan dengan apa yang kita minta tapi kita sebut ‘aamiin’.

Bila imam baca doa kita di belakang main sebut saja, aamiin tapi tak tahu dan tak faham apa yang imam baca. 
Doa sebenarnya permintaan, kalau kita meminta sesuatu kita mesti faham, barulah masuk ke hati dan sedar apa yang kita minta.

Bila faham semasa berdoa sangat menolong kita mencarinya selepas berdoa dalam kehidupan seharian.

Kalau main minta atau main angkat tangan saja sedangkan tak faham apa-apa boleh dianggap bermain-main dengan doa.

Sudah puluhan tahun kita meminta perkara sama tapi tak dapat-dapat. Sebenarnya bukan Allah tak perkenankan tapi kita sendiri yang hanya pandai minta tetapi tak pandai cari.

Minta tapi tak cari sama seperti berangan-angan. Antara yang kita mesti minta setiap hari sebanyak 17 kali sehari semalam ialah ‘ihdinassiratal mustaqim’ ataupun maksudnya ‘ tunjukilah kami jalan yang lurus.’

Besarnya doa ini, kita diwajibkan membacanya setiap kali di dalam sembahyang sebanyak 17 kali sehari.

Doa ini tidak didahulukan melainkan selepas kita memuji Allah dahulu bahawa segala pujian itu meliputi pada-Nya dan Dia adalah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Besarnya juga doa ini ia tidak didahulukan melainkan kita berikrar mengaku sebenar-benarnya hanya Allah, Tuhan yang kita sembah dan tempat kita meminta pertolongan.

Setiap hari minta ‘jalan yang lurus’.

Tahukah kita apa jalan yang lurus itu? kalau tak tahu kena belajarlah sebab jalan yang lurus itu sangat penting.

Sesetengah remaja hanya tahu jalan betul, jumpa jalan betul terus merempit.
Orang Palestin mati di jalan Allah kita mati jalan raya.

Kalau kita perhatikan sebaik sahaja kita meminta jalan yang lurus, ‘ihdinassiratal mustaqim’ Allah mentafsirkan jalan lurus itu Tuhan terangkan jalan yang Allah sudah berikan nikmat-Nya kepada orang-orang yang terdahulu.

Siapakah orang-orang ini? Mereka adalah rasul, nabi, sahabat-sahabat dan aulia’. Mereka kekasih Allah, Tuhan yang menganugerahkan nikmat besar kepada mereka.

Nikmat pula ialah nikmat iman, Islam dan ihsan. Hanya dengan jalan iman, Islam dan ihsan, barulah kita dapat mengikut jalan yang lurus, jalan yang sama dilalui oleh kekasih Allah iaitu rasul, nabi dan wali Allah.

Mereka melalui jalan itu dan Allah tunjukkan jalannya. Maka yang kita minta itu adalah untuk mengikut jalan seperti mereka supaya kita benar-benar sampai kepada Allah.

Jalan yang lurus itulah yang akan sampai kepada Allah. Selain itu, ada juga jalan tetapi tidak sampai kepada Allah.

Allah terangkan lagi dalam surah Al-Fatihah, minta dijauhkan kita daripada dua jalan yang tidak sampai kepada Allah iaitu jalan orang yang Allah murkai dan jalan orang-orang yang sesat.

Jalan orang yang Allah murkai adalah jalan orang-orang yang tidak percaya Tuhan seperti Namrud dan Firaun.

Mereka menolak Allah dan mereka adalah orang yang mendapat laknat Allah.

Jalan orang yang sesat pula ialah seperti Yahudi dan Nasrani (kristian).
Walaupun mereka percaya Tuhan, tetapi jalan yang mereka lalui bertentangan
dengan kehendak Tuhan.

Justeru, mereka tidak akan sampai kepada Tuhan. Orang yang boleh sampai kepada Tuhan adalah orang yang mengikuti jalan lurus.

Jalan itu ditempuh oleh rasul, nabi, sahabat, tabiin dan wali Allah sebelum ini. Maka, kita mengharapkan belas kasihan supaya Allah tunjukkan kita jalan
yang sampai kepada-Nya.

Dinyatakan tadi jalan itu adalah iman, Islam dan ihsan. Ketiga-tiganya adalah nikmat besar Tuhan kepada kita jika kita mendapatkannya.

Namun, ketiga-tiganya mestilah difahami dan dihayati seterusnya menjadi amalan dan perjuangan hidup kita.

Barulah kita mendapat jalan yang lurus.

Kalau sekadar slogan atau cakap-cakap saja, itu dikira belum dapat lagi.
Cubalah muhasabah diri kita sejauh mana kita bersungguh-sungguh ketika berkomunikasi dengan Allah. Paling kurang ayat al-Fatihah yang kita baca seharian, antara faham, kehendak dan realiti biarlah selari seiring dan sejalan.

Fahamilah, hayatilah, amalkanlah serta perjuangkanlah!!!

PRASANGKA BURUK MAKAN DIRI



HATI manusia tidak dapat dikawal untuk mereka fikir, kata dan tuduh apa saja. Itu semua di luar jangkaan kita. Ilmu dan kehendak mereka itu kemudian akan menghasilkan tindakan dan pelbagai tindak-tanduk.

Jika baik hati mereka, maka baiklah cakap mereka, baiklah layanan dan sangkaan mereka. Tetapi jika hati kotor, apa lagi tindakan akan diterjemahkan segala hitam yang bersarang di hati itu. 
Sebenarnya yang mengukur baik dan buruk seseorang bukannya manusia kerana mereka tidak mempunyai kuasa melakukannya. 

Yang paling mengetahui apa yang ada dalam hati kita ialah Allah. Dialah yang menilai kebaikan kita, memberi rezeki serta memberi kehidupan kepada kita.

Manusia memang suka bersangka-sangka. Apa lagi sangkaan yang buruk. Hati, akal dan mata selalunya tidak seiring.

Mata melihat, otak memproses manakala hati mentafsir. Contohnya, jika hati yang berbaur dosa dan dengki akan mentafsir kecantikan seseorang, dia akan kata perempuan itu memakai susuk. 

Demikian juga apabila bercakap banyak dikata hendak tunjuk pandai. Apabila diam tidak bercakap pula dikatanya sombong. 

Memang manusia punya hak untuk bersangka. Jika yang baik punya sangka empunya diri yang untung. Hati tenang, minda damai, jiwa harmoni, disenangi dan mudah mendapat kawan. 

Jika sangkaan itu buruk, jiwa pastinya akan sengsara. Banyak fikir mengenai orang, darah pun naik. Pendek kata semua tidak kena. 

Sebab semua hal orang dia hendak fikir dan tafsir, sedangkan diri sendiri tidak difikirkan. Tabiat bersangka buruk terkena pada semua golongan tidak kira orang tua dengan cara dan kepakarannya manakala orang muda dengan kehangatannya. 

Jika kita hendak layan semua sangka buruk orang dan semua hati kita hendak jaga, alamatnya makan hatilah kita. 

Lihatlah kisah dan sejarah Luqman al-Hakim dengan anaknya yang menaiki seekor keldai. Dalam perjalanan orang kata: “Ada ke patut dua beranak naik keldai, kesian keldai tu.” Selepas itu, Luqman duduk di atas keldai dan anaknya tarik dari bawah. Orang kata juga: “Ada ke patut bapa biarkan anaknya menarik dari bawah.” 

Kemudian mereka bertukar posisi lain pula, anak naik keldai manakala Luqman pula yang tarik dari bawah. 

Orang mengata juga, anak macam itu buat ayahnya macam hamba. Justeru, cara terbaik ialah merawat kembali penyakit buruk sangka. 

Berubahlah dengan memperbaiki diri sendiri. Membaiki diri bersungguh-sungguh dengan membersihkan hati daripada sifat keji (mazmumah) kepada sifat terpuji (mahmudah). 

Perhatikan juga siapa kawan di sekeliling kita. Adakah kawan kita itu mendorong ke arah kebaikan atau keburukan? 

Jika kita dapat menewaskan nafsu jahat dalam diri sendiri, nescaya kemenangan hidup pasti berpihak kepada diri kita. 

Proses berubah jadi baik mungkin tidak semudah disangka, namun sekiranya hati dan akal sudah bertekad dan ada kesungguhan, Allah pasti permudahkan jalannya. 

Ruang untuk perbaiki diri sentiasa ada dan terbuka. Justeru, tepuk dada tanya diri. Mahu berubah atau tidak? 

Beberapa cadangan diutarakan, antaranya: 

Berbaik sangka dengan semua orang. Tafsirkan segala yang kita lihat secara positif. 

Tanamkan rasa takut pada kemurkaan dan azab Allah apabila anda berprasangka buruk. 

Sucikan hati dengan banyakkan berzikir. 

Bersyukurlah dengan nikmat yang Allah kurniakan kepada kita. 

Luangkan masa untuk banyak melakukan muhasabah diri.

Jumaat, 9 Mac 2012

Ritemail: Gestures in different Countries

Ritemail: Gestures in different Countries: Traveling to another country can be difficult. You might be surprised, but if you show a typical American or European gesture of "goat" or «...

Rabu, 7 Mac 2012

Umat Islam enggan bertahalul






SETELAH berjaya menyejukkan hati Umar Al Khattab yang tidak berpuas hati mengenai Perjanjian Hudaibiah, Rasulullah SAW pun terpaksa membatalkan ibadat umrah dan haji yang hendak mereka lakukan di Kota Mekah.
Lalu baginda memerintahkan agar semua rombongan umrah dan haji dari Madinah itu supaya bertahalul (mencukur kepala atau menggunting rambut), sebagai tanda mereka tidak perlu lagi memakai ihram.
Mereka juga diperintahkan menyembelih unta-unta yang telah disediakan untuk tujuan korban.
Sebanyak tiga kali baginda menyeru kepada seluruh ahli rombongan supaya melaksanakan perintah tersebut.
Tetapi alangkah terkejutnya baginda apabila tiada sesiapa yang patuh kepada perintah itu. Mereka tidak mahu bangun untuk bertahalul apatah lagi menyembelih korban.
Kali ini bukan sahaja Umar yang tidak berpuas hati malah rupa-rupanya seluruh ahli rombongan baginda masih merasa tidak puas hati dan gelisah terhadap isi perjanjian damai dengan Quraisy yang mereka sangkakan begitu merugikan umat Islam.
Malah mereka sebenarnya menuntut supaya perjanjian tersebut dibatalkan atau dihapuskan sahaja dan tetap ingin masuk ke Kota Mekah tanpa mengira apa yang bakal terjadi.
Malah ramai juga yang keliru bahawa bertahalul dan melakukan korban lazimnya apabila telah selesai melakukan ibadat umrah atau haji. Tetapi kini Rasulullah memerintahkan supaya melakukan semua itu sedangkan mereka belum seinci pun berada di Kota Mekah untuk melakukan ibadat yang sangat mereka rindukan selama ini.
Namun melihatkan keengganan para pengikut Islam untuk melaksanakan perintah tersebut, baginda kehilangan kata-kata.
Baginda merasa sangat sedih kerana itulah buat pertama kalinya para pengikut baginda sendiri enggan mematuhi arahan.
Tetapi itu bukan bermakna para penganut Islam sudah tidak taat kepada baginda. Tetapi apa yang dibimbangkan Rasulullah jika Allah akan menurunkan seksaan terhadap pengikutnya kerana dengan sengaja tidak mahu melaksanakan perintah bercukur dan menyembelih korban itu.
Lalu baginda pun membawa diri ke dalam khemah dengan keadaan bermuram durja. Kebetulan isteri baginda, iaitu Ummu Salamah ada dalam khemah tersebut maka kepada isterinya itulah baginda mengadu mengenai umat Islam yang tidak mendengar arahan untuk bertahalul dan melakukan korban.
Sebagai isteri, Ummu Salamah sangat memahami apa yang terjadi. Bagi beliau umat Islam bukanlah ingkar atau secara sengaja tidak mahu mematuhi arahan baginda itu.
Bahkan mereka masih menaruh keyakinan masih boleh melakukan ibadat umrah dan haji itu setelah bersusah payah datang dari jauh dan Mekah kini hadapan mata.
Terlalu berat untuk mereka meninggalkan Mekah begitu sahaja tanpa langsung berpeluang untuk beribadat.
Bagi mententeramkan baginda, Ummu Salamah pun memujuk akan suaminya itu: "Ya Rasulullah, maafkanlah para pengikut mu itu. Perjanjian ini mungkin terlalu besar dan terlalu berat untuk diterima oleh mereka dengan mudah.
"Jika panjang umur dapatlah kita mengerjakan umrah dan haji pada tahun hadapan sebagaimana mengikut isi perjanjian itu. Tetapi bagaimana jika ada yang tidak panjang umur sedangkan peluang untuk beribadat itu telah ada di hadapan mata?
"Walaupun begitu wahai tuan, jika kita perlu membatalkan niat kali ini cuba tuan sendiri yang melakukan tahalul dan menyembelih korban itu. Moga-moga dengan cara seperti itu apabila mereka tuan mengerjakannya, pasti mereka akan mengikut tuan."
Mendengarkan nasihat isterinya itu, baginda pun tidak teragak-agak lagi lalu keluar dari khemah terus melakukan tahalul dan menyembelih unta dengan disaksikan umat Islam yang lain.
Melihatkan baginda melakukan semua itu, mereka pun akhirnya seorang demi seorang bangun melakukan tahalul dan menyembelih korban.
Baginda sungguh gembira melihat umat Islam kembali bersatu dan melaksanakan apa yang diperintahkan yang tentunya bukanlah dari kepentingan peribadi baginda tetapi sebagaimana yang menjadi syariat dalam Islam.
Apabila semuanya telah selesai bertahalul dan melakukan korban, seluruh ahli rombongan kemudiannya bersiap-siap dan mereka pun pulang semula ke Madinah.
Walaupun kesedihan dan perasaan hampa masih menyelubungi, tetapi mereka tetap memberikan lambaian ke arah Kaabah dan seolah-olah berjanji akan datang kembali pada tahun hadapannya.
Berikutan itu, maka turunlah Surah Al Fath (Pembukaan) sebagai surah terbaik bagi menceritakan peristiwa dan hikmah disebalik Perjanjian Hudaibiah yang membawa kepada peristiwa besar, pembukaan Kota Mekah.
Surah itu diturunkan ketika Rasulullah dan para pengikutnya dalam perjalanan pulang meninggalkan Hudaibiah menuju ke Madinah dan kemudian mereka singgah di sebuah desa bernama Qura'ul Ghamim (suatu lembah terletak di Asfan).
Diturunkan dalam satu surah yang lengkap mengandungi 29 ayat sebagai pengubat kehampaan dan kekecewaan umat Islam yang terpaksa pulang dengan 'tangan kosong'.
Sesudah dibacakan surat tersebut oleh Rasulullah kepada para ahli rombongan, mereka semua merasa sangat gembira terutamanya Umar Al Khattab.

Sabtu, 3 Mac 2012

MENGUKUH KEYAKINAN KEPADA ALLAH




SETIAP hari kita memohon doa ke hadrat Allah SWT sama ada pada waktu malam atau pun siang. Namun doa yang kita baca, lafaz yang dipohon kepada-Nya itu adakah dilakukan dengan penuh kesungguhan dan keyakinan?
Soalan ini perlu kita tanya pada diri sendiri dan perlu dijawab dengan penuh jujur dan keikhlasan. Ini kerana kita mesti meyakinkan Allah dengan keyakinan yang sekuat-kuatnya tanpa batasan.
Keyakinan dengan penuh tulus dan keikhlasan tanpa kepentingan-kepentingan tertentu. Sebagai seorang Islam kita wajib meyakini di atas segala kekuasaan Allah SWT, Yang Maha Menguasai dan Maha Mengetahui.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka: "Inilah yang telah dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada Kami dan benarlah (Apa yang telah dijanjikan) Allah dan Rasul-Nya" dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah. (al-Ahzab: 22)
Pada umumnya kehidupan manusia bergantung kepada suasana keadaan sekeliling. Namun bagi mukmin yang bertakwa kepada Allah SWT perlu meyakini bahawa kehidupan ini adalah ketentuan dan ketetapan Allah di samping usaha yang dilakukan dan tawakal kepada Allah SWT.
Ini diperkukuh lagi dengan doa atau kata-kata yang sentiasa terucap di bibir, "Ya Allah aku sambut panggilan-Mu, aku menerima perintah-Mu dan aku reda atas kehendak-Mu."
Allah SWT juga berkuasa menentukan dan menetapkan segala sesuatu dengan hukum dan peraturan tertentu. Ini seperti ketentuan pergerakan bulan dan matahari dan juga yang lain.
Sesungguhnya Allah SWT melakukan segala sesuatu sesuai dengan kehendak-Nya yang mencipta keselamatan dan kemakmuran.
Dalam al-Quran terdapat kisah Nabi Ibrahim yang ditangkap oleh kaum kafir dan mencampakkan Nabi Ibrahim ke dalam api.
Kisah ini difirmankan oleh Allah SWT yang bermaksud: ...(setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata: "Bakarlah Dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak membelanya! (al-Anbiya': 68).
Selanjutnya Allah berfirman yang bermaksud: Kami berfirman: "Hai api, Jadilah Engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim. Dan mereka (dengan perbuatan membakarnya itu) hendak melakukan angkara yang menyakitinya, lalu Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi, (kalah dengan hinanya). (al-Anbiya': 69-70)
Mengapakah Allah, tidak menyelamatkan Nabi Ibrahim terlebih dahulu sebelum dicampak ke dalam api? Tentunya kita meyakini bahawa Allah SWT Maha berkuasa dan Maha Mengetahui.
Siapakah yang dapat berkomunikasi dengan api dan mengubah sifatnya yang membakar dan panas itu selain daripada Allah SWT?
Contoh lain yang dapat meningkatkan lagi keyakinan kita kepada Allah SWT ialah tentang kelahiran Nabi Musa dalam lingkungan orang-orang kafir.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Setelah itu Dia dipungut oleh orang-orang Firaun; kesudahannya Dia akan menjadi musuh dan menyebabkan dukacita bagi mereka; Sesungguhnya Firaun dan Hamman serta orang-orangnya adalah golongan yang bersalah.(al-Qasas: 8)
Begitulah kekuasaan Allah SWT yang boleh melakukan sesuatu di luar pemikiran dan kemampuan manusia. Keyakinan dan kepercayaan kepada Allah SWT perlu dibina sejak dari kecil lagi khususnya mulai zaman kanak-kanak.
Pembinaan ini penting bagi memastikan keimanan dan keyakinan mereka kepada Allah SWT tidak akan pudar walaupun menghadapi pelbagai cabaran dan godaan.
Rasulullah SAW pernah memberi nasihat kepada Ibnu Abbas yang ketika itu masih kecil dengan sabdanya yang bermaksud: "Engkau perlu tahu sekiranya terdapat manusia yang hendak merosakkan kamu, mereka tidak akan dapat melakukan kecuali jika telah tertulis dan ketetapan Allah sebagai takdir engkau." (riwayat Tirmidzi: 2516)
Yakin pada Allah
Berdasarkan kisah tersebut, Rasulullah telah memberikan pendidikan tentang perlunya keyakinan yang tinggi kepada Allah di kalangan kanak-kanak.
Sesungguhnya Allah SWT Maha berkuasa, Allah dapat mengubah hukum alam dengan mudah dan cepat, memberikan keselamatan dalam keadaan bahaya, melahirkan seorang nabi di kalangan orang kafir, mengeluarkan air dari celah-celah batu dan juga mampu menghidupkan manusia atau haiwan yang telah mati.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan (ingatlah), ketika kamu membunuh seorang manusia, kemudian kamu tuduh-menuduh sesama sendiri tentang pembunuhan itu, padahal Allah tetap melahirkan apa yang kamu sembunyikan. Maka Kami (Allah) berfirman: "Pukullah si mati Dengan sebahagian anggota lembu yang kamu sembelih itu" (Mereka pun memukulnya dan ia kembali hidup). Demikianlah Allah menghidupkan orang-orang yang telah mati, dan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaan-Nya, supaya kamu memahaminya. (al-Baqarah: 72-73).
Peristiwa di atas menjelaskan tentang satu kejadian bunuh telah berlaku, namun tidak diketahui pembunuhnya "Pukullah mayat itu dengan sebahagian anggota lembu betina yang telah disembelih".
Dengan izin Allah orang itu akan hidup kembali dan memberitahu pembunuhnya. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu.
Bukan itu sahaja, tetapi banyak lagi peristiwa yang menggambarkan dan membuktikan kekuasaan Allah SWT dan amat bermakna bagi orang yang berfikir.
Peristiwa yang berlaku kepada Nabi Allah Ismail a.s, pisau tajam yang sepatutnya menyembelih leher Nabi Ismail tidak boleh menyembelih leher Nabi Allah Ismail, api yang membakar Nabi Ibrahim sepatutnya panas tetapi berubah menjadi sejuk, Allah SWT memerintahkan ikan yu supaya menelan Nabi Yunus a.s, Allah membelah laut yang luas demi menyelamatkan Nabi Musa dan pelbagai peristiwa lain yang menggambarkan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT.
Sebagai seorang Muslim, kita wajib meyakini bahawa Allah SWT berkuasa atas segala sesuatu. Sesungguhnya Allah jua yang akan menyelamatkan umat Islam dan Islam daripada musuh-musuh-Nya.
Jika keyakinan kita kepada Allah SWT benar-benar mantap dalam diri dan jiwa, sudah tentu kita akan terus meyakini Allah SWT dalam apa jua keadaan yang mendatang.

RAHSIA LANGIT DIKAWAL KETAT


FIRMAN Allah SWT: Dan sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barang siapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya). (al-Jin: 8-9)
Kumpulan jin meneruskan cerita mereka tentang pengalaman dan pengetahuan mereka mengenai kedudukan dan kerasulan di alam ini, seluruh pelosok langit dan bumi.
Ia bagi membersihkan diri mereka dan segala yang tidak sesuai dengan kehendak Allah SWT yang menurunkan risalah dan menolak segala dakwaan yang mengaku mengetahui segala urusan ghaib.
Berkenaan dengan mukadimah ayat ini yang bermaksud kami telah mencuba mengetahui rahsia langit dengan maksud:
n Menuntut dan mendapatkannya seperti ibarat orang Arab.
n Kami menghampiri langit.
Ibn Kathir berkata: Allah SWT mengkhabarkan tentang jin ketika Dia mengutus Rasul-Nya, Muhammad SAW dan menurunkan al-Quran kepadanya.
Antara bentuk pemeliharaan Allah terhadap al-Quran adalah di langit dipenuhi penjaga yang bengis yang akan mengusir semua syaitan sebelum mereka dapat mengintip dan disampaikan melalui dukun sehingga terjadi campur aduk yang tidak diketahui kebenarannya.
Hal tersebut adalah salah satu kelembutan Allah terhadap makhluk-Nya, rahmat bagi hamba-Nya serta penjagaan terhadap kitab-Nya yang mulia.
Al-Maraghi berkata: "Maknanya adalah al-Quran al-Karim yang mengandungi dalil-dalil aqli dan dalil alamiahnya itu merupakan para penjaga terhadap sesuatu keraguan yang dibisikkan oleh syaitan-syaitan ke dalam hati orang yang ragu."
Kemudian keraguan itu dihembuskan ke dalam hati orang yang sesat untuk menghalang mereka daripada menerima agama dan petunjuknya. Apabila timbulnya keraguan dan waham dalam jiwa manusia, lalu mereka akan mendapatkan bukti yang akan membasmi keraguan tersebut.
Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka. (al-Jin: 10)
Al-Maraghi berkata: "Langit itu dijaga rapi kerana dua sebab."
Sebab-sebab tersebut ialah:
n Azab yang akan diturunkan Allah SWT kepada penghuni bumi dengan segera.
n Atau disebabkan seorang Nabi yang mursyid (memberi petunjuk) dan muslih (memperbaiki keadaan orang lain).
Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza.
Al-Mawardi berkata: "Orang soleh adalah orang yang beriman dan selain daripada itu adalah orang musyrikin. Boleh jadi dengan maksud mereka ahli kebaikan bagi orang soleh dan sepihak lagi ahli kejahatan."
Seterusnya tafsiran jalan yang berbeza-beza dengan maksud:
n Banyaknya puak seperti pendapat as-Suddi.
n Pelbagai agama seperti pendapat ad-Dahak.
n Hawa nafsu yang pelbagai.
Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT berkuasa ke atas kami di mana sahaja kami berada, sehingga kami tidak akan terlepas daripada kekuasaan-Nya itu dengan cara melarikan diri."
Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya kami mengetahui bahawa kami sekali-kali tidak akan dapat melepaskan diri (dari kekuasaan) Allah di muka bumi dan sekali-kali tidak (pula) dapat melepaskan diri (daripada)-Nya dengan lari. Dan sesungguhnya kami tatkala mendengar petunjuk (al-Quran), kami beriman kepadanya. Barang siapa beriman kepada Tuhannya, maka ia tidak takut akan pengurangan pahala dan tidak (takut pula) akan penambahan dosa dan kesalahan. Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang taat dan ada (pula) orang-orang yang menyimpang dari kebenaran. (al-Jin: 11-14)
Ini adalah perkhabaran daripada jin berkenaan dengan hal mereka ada yang beriman dan ada yang fasiq. Begitu juga yang zalim, menyimpang daripada kebenaran.
Perkataan qasitin memberi maksud:
n Golongan yang rugi seperti kata Qatadah.
n Golongan yang derhaka seperti pendapat Ibn Zaid.
n Golongan yang amat lemah seperti kata ad-Dahak.
Firman Allah SWT: Barang siapa yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus. Adapun orang-orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahanam. (al-Jin: 15)
Istiqamah dalam ayat ini ada dua tafsiran:
n Mereka memilih jalan kufur dan sesat seperti kata Muhammad bin Zaid, Abu Mujliz dan lainnya.
n Istiqamah atau petunjuk dan ketaatan seperti pendapat Ibn Abbas, as-Suddi, Qatadah dan Mujahid.
Al-Maraghi berkata: "Kesuburan dan kelapangan rezeki itu akan terwujud, jika wujudnya ketenteraman, keadilan dan tidak berlakunya kezaliman."
Hamka berkata: "Inilah keinsafan dari jin Islam yang mengakui nubuwwah Rasulullah SAW. Mereka mengakui bahawa setelah mendapat petunjuk yang terdapat dalam surah Fatihah yang dibacakan oleh Nabi SAW ketika solat Subuh."
Firman Allah SWT: Dan bahawasanya: Jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak). (al-Jin: 16)
Al-Mawardi menyebut dua pendapat berkenaan dengan tafsiran ayat kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar:
n Dengan kami kurniakan banyaknya air sehingga membinasakan mereka seperti dibinasakan kaum Nuh dengan lemas dalam air. Inilah pendapat Muhammad bin Ka'ab.
n Kami kurniakan kepada mereka banyak air yang menyebabkan tanaman mereka subur dan harta mereka banyak.
Al-Maraghi berkata: "Rahsia perkara ini telah kita kemukakan lebih dari sekali. Sesungguhnya kemajuan dan kesenangan hanya akan wujud jika adanya ketenteraman dan keadilan serta tiada kezaliman."
Dengan demikian manusia akan menerima keadilan yang sama tanpa sebarang kezaliman pilih bulu atau melakukan rasuah dalam membuat sesuatu keputusan.
Firman Allah SWT: Untuk kami beri cubaan kepada mereka padanya. Dan barang siapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya, nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat berat. (al-Jin: 17)
Sayid Qutub berkata: " Allah SWT mengesahkan pandangan jin terhadap manusia iaitu andainya manusia beriman nescaya Kami kurniakan kepada mereka bekalan yang mencukupi untuk menguji mereka sama ada bersyukur atau tidak."
Peralihan daripada menceritakan perkataan jin kepada menyebut isi cerita untuk menambah kekuatan pengertian dan janji kepada Allah SWT.
Tarikan seperti ini banyak dalam uslub Quran untuk menghidup dan menguatkan pengertian serta pandangan ini mengandungi beberapa hakikat dan unsur penting dalam pembentukan akidah dan kefahaman seseorang mukmin.
Hakikat yang pertama wujudnya hubungan kelurusan iman umat dan sekelompok manusia mengikuti jalan Allah dengan kemewahan rezeki. Faktor yang pertama adalah kemewahan bekalan air yang cukup. Ia selama-lamanya penting untuk pembangunan dan kelangsungan hidup.
Hubungan antara keduanya sangat kukuh. Contohnya orang Arab di Padang Sahara. Mereka hidup dengan segala kepayahan dan kesulitan tetapi mereka beriman maka dikurniakan segala kemewahan dan rezeki yang melimpah ruah.
Kemudian mereka kufur maka segalanya ditarik kembali sehingga kembali pada keadaan asal dan itulah tanda kekuasaan Allah SWT yang menentukan segalanya.
Al-Maraghi berkata: "Barang siapa yang berpaling dari al-Quran dan menolak nasihatnya, tidak menunaikan segala perintahnya serta tidak meninggalkan larangan-larangannya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam seksaan yang berat akan menguasainya sehingga dia tidak sanggup lagi untuk memikulnya."
Andainya di sana terdapat umat yang tidak berjalan di atas jalan Allah SWT kemudian mereka mendapat kemewahan dan kekayaan, maka mereka akan diseksa dengan pelbagai penyakit dan mala petaka yang merosakkan sifat insaniah mereka atau mengugat keamanan dan kehormatan hidup sebagai manusia.
Semuanya itu menjadikan kemewahan dan kekayaan mereka tiada ertinya (sebagaimana yang diterangkan dalam surah Nuh).


Semoga Allah menjadikan kita dari kalangan hamba-Nya yang mentaati perintah-Nya.