Catatan Popular

Rabu, 24 Ogos 2011

Pekida bukan gengster








JUASSEH – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah (Pekida) menafikan ahli pertubuhan itu mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster.
Penasihat Pekida Kuala Pilah, Abdul Razak Zainal berkata, seramai 4,000 ahli Pekida daerah Kuala Pilah tidak terlibat dengan perkara yang boleh merosakkan nama atau imej pertubuhan itu.
“Pekida bukan kumpulan gengster, kami berdaftar dan mempunyai kad keahlian tersendiri.
Beza ahli Pekida dengan bukan ahli Pekida berdasarkan kepada kad keahlian.
“Kami menjalankan amal kebajikan untuk mereka memerlukan di samping membantu mana yang perlu di samping menghulurkan tenaga untuk menjaga keamanan dan kesejahteraan masyarakat juga tidak pernah dilupakan,” katanya.
Abdul Razak ditemui di Masjid Kariah Pasir Ambor pada majlis berbuka puasa dan menghulurkan sumbangan kepada 10 ibu tunggal, dekat sini.
Dalam pada itu, Abdul Razak berkata, ahli Pekida berbeza dari segi pengenalan diri melalui salam kepada ahli lain.
“Jika mereka bukan ahli Pekida, sudah pasti mereka tidak tahu rahsianya dan penapisan untuk menjadi ahli juga akan dilakukan.
“Ada laporan diterima mengatakan bekas ahli Pekida yang telah dilucutkan keahliannya menyalahgunakan kad keahlian tersebut dengan menjaja dan mempergunakan kad keahlian bagi tujuan jenayah. Memang sukar untuk bezakan mereka itu ahli ataupun tidak melainkan mempunyai resit pembayaran yuran tahunan,” katanya yang kesal sesetengah pihak mengaitkan Pekida dengan kumpulan gengster.
Selain itu, Abdul Razak turut menjelaskan perjuangan Pekida sebenar dan kepentingannya kepada masyarakat awam sekali gus merungkaikan kekeliruan sesetengah pihak.
“Sebelum diiktiraf menjadi ahli Pekida, individu perlu melakukan sumpah baiah (ikrar taat setia) menjaga adat, keturunan, budaya, agama, bangsa dan negara. Gelaran ‘Kumpulan 30’ itu sebenarnya diambil daripada jumlah 30 juzuk al-Quran, membawa maksud kami berjuang berlandaskan agama.
“Selain menganjurkan kerja dan usaha amal kebajikan berfaedah untuk ahli dan masyarakat. Justeru itu, buat julung kalinya, Pekida daerah Kuala Pilah mengadakan majlis berbuka puasa bersama masyarakat kampung dalam usaha mendekati ahli Pekida dengan mereka,” katanya daripada kumpulan 30.
Katanya, pertambahan ahli Pekida bagi tahun 2011 sebanyak 200 orang termasuk lelaki dan perempuan.
“Biasanya Pekida Kumpulan 30 akan mengambil remaja 20 tahun dan ke atas kerana pada usia sebegini mereka sudah matang serta boleh berfikir secara matang.
“Mereka juga sudah tahu bezakan perkara buruk dan baik demi menjaga imej pertubuhan ini. Saya berharap ahli yang telah keluar dari pertubuhan, jangan mengambil kesempatan atas nama Pekida untuk melebarkan kuasa dan pengaruhnya. Ini boleh merosakkan imej Pekida itu sendiri,” katanya.
sumber:http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9439923.asp

Sabtu, 13 Ogos 2011

Kembara - Lagu Untuk Seorang Ibu

Ibarat sekuntum mawar merah dipupuk embun pagi lalu disinari suria indah bak pelangi, begitulah jiwa murni seseorang manusia...

Kemegahan Negaraku

Tersenyumlah kepada siapa saja nescaya anda akan mendapat cinta kasih mereka. Haluskan tutur kata anda nescaya mereka akan menyintaimu. Dan rendahkan hati kepada mereka, nescaya mereka akan menghormati anda...

Kemegahan Negaraku

http://www.rtm.gov.my/merdeka54/

MUSAFIR DIAIDIL FITRI - S. Jibeng (AUDIO ORIGINAL)

Enggan Sepakat Punca Umat Islam Ditindas Musuh...




Rasulullah buktikan hanya ketakwaan senjata paling berkesan pertahan agama, tanah air
Perubahan peradaban manusia berlaku amat pantas. Islam yang suatu ketika dulu begitu gemilang, kini jatuh tersungkur di tangan Barat yang mendominasi dunia terutama dari segi ekonomi.
Umat Islam dalam sejarah adalah kuat serta pernah menakluki dua pertiga dunia, tetapi pada hari ini mereka ditindas, dihina dan diusir dari tanah air sendiri selain dilabel dengan imej negatif atau pengganas. Berita keganasan, pembunuhan dan pencerobohan dilakukan kuasa besar Barat terhadap umat Islam bukan perkara baru kerana berlaku sejak lama dulu sehingga hari ini penindasan itu masih berleluasa.
Keganasan dan penindasan di Palestin, Lubnan, Kosovo, Chechnya, Bosnia dan paling hampir dengan negara kita seperti Thailand berlaku tanpa pembelaan sewajarnya. Sehingga kini entah berapa banyak nyawa terkorban, harta musnah dan air mata tumpah membasahi bumi. Peristiwa ini sungguh mengguris jiwa umat Islam.
Hari ini, ramai pemimpin negara Islam lantang menyeru umat Islam bersatu bagi menyelamatkan negara daripada penjajahan. Namun, usaha merealisasikannya bukan saja kabur, malah tidak bersungguh-sungguh serta tidak jelas dari segi matlamat dan kaedah yang mesti dilaksanakan.
Bagaimanakah negara Islam boleh bersatu jika segala ideologi yang menyesatkan seperti sekularis, komunis, sosialis dan kapitalis masih digunakan pemimpin Islam sendiri.
Ideologi bertentangan Islam patut ditolak oleh umat Islam. Jika kita lihat ketika ini kesatuan Islam masih lemah dan keadaan menjadi lebih buruk apabila umat Islam mengalami masalah dalaman sesama sendiri di samping masalah luaran dengan negara Islam lain.
Negara Islam hari ini, secara umum lemah dari pelbagai segi merangkumi politik, ekonomi dan kesatuan fikrah. Sehingga kini kesatuan dan kekuatan umat Islam secara keseluruhan masih belum pulih. Kelemahan ini juga menjadikan Barat semakin berani menekan dan melakukan pelbagai penindasan serta kekejaman terhadap umat Islam.
Pemimpin negara Islam masih gagal mencapai kata sepakat menangani masalah ini, sedangkan nyawa dan nasib umat Islam seperti di Palestin semakin terancam. Mereka juga tidak memahami perkaraawlawiyyat (keutamaan) sehingga menyebabkan kepentingan umat dan agama Islam terabai. Kegagalan ini juga mengakibatkan negara Islam terpaksa tunduk kepada kehendak Barat.
Kebanyakan kita mengaku sebagai umat Islam, namun setakat manakah peranan dan tanggungjawab sebagai saudara seagama dalam usaha membantu mereka yang ditindas dan apakah sumbangan kita untuk membantu mereka?
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu, nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar. (Surah al-Anfaal, ayat 73)
Kini sudah sampai masanya umat Islam insaf dan melakukan muhasabah diri serta mencari punca di manakah silapnya. Masyarakat Islam perlu membina kekuatan dalaman dan luaran seterusnya menjadi umat yang berkuasa dan disegani di seluruh dunia.
Pemimpin negara Islam harus bersatu dan memandang ke depan di samping mengatur strategi efektif ke arah mencari penyelesaiannya. Antara usaha yang mampu dilakukan ialah memperkukuhkan kuasa politik, ekonomi, ketenteraan, kesatuan fikrah, akidah, persaudaraan dan persenjataan supaya segala bentuk penjajahan, penindasan dan menghina umat Islam dapat dihindarkan.
Umat Islam juga perlu berperanan sebagai individu pengguna yang bijak dengan memboikot barang syarikat Barat yang mengaut keuntungan untuk menjatuhkan negara Islam.
Walaupun usaha ini kelihatan remeh, jika seluruh umat Islam bersatu hati natijahnya amat besar ke arah mengurangkan sumber ekonomi Barat yang nyata tujuannya untuk membeli senjata bagi meneruskan serangan terhadap umat Islam. Umat Islam perlu kembali kepada fitrah iaitu menghayati serta mengamalkan al-Quran dan hadis sepenuhnya.
Dalam dunia serba moden hari ini, walaupun ada umat Islam yang kuat imannya, tidak kurang juga yang jauh terpesong daripada landasan Islam.
Ada juga hanya Islam pada nama sedangkan segala kewajipan agama tidak pernah ditunaikan, malah cara hidup mereka juga seperti bukan Islam. Perkara ini perlu diambil perhatian supaya umat Islam dan generasi akan datang menjadi umat yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT serta mantap imannya seperti umat pada zaman Rasulullah SAW dan zaman sahabat Baginda. Firman Allah SWT bermaksud:
Kekuatan itu hanya bagi Allah, bagi Rasul-Nya dan bagi orang beriman. (Surah al-Munafiqun, ayat 8)
Jika perkara ini gagal ditangani pada peringkat akar umbinya lagi, maka tidak mustahil suatu masa nanti umat Islam menjadi umat termundur, dihina dan diperlekeh oleh bangsa asing seperti yang terjadi kepada saudara kita di negara disebutkan sebelum ini.
Oleh itu, sebagai manusia yang dimuliakan dengan akal fikiran dan khalifah di muka bumi ini, jawapannya tepuk dada tanya iman dan diri sendiri siapakah kita, apakah tujuan kita dijadikan dan ke manakah kita akan kembali suatu hari nanti.
Apa yang kita miliki hari ini seperti kuasa, pangkat, dan kekayaan harta benda di dunia ini adalah pinjaman dan ujian semata-mata, maka pergunakan dengan sebaiknya ke jalan diredai kerana tanpa bekalan secukupnya kita akan kembali kepada Allah SWT dengan keadaan papa dan hina.

MANISNYA KEMERDEKAAN...



Perjuangan untuk memerdekakan negara daripada belenggu penjajahan untuk kedamaian kemudian untuk mempertahankannya adalah sifat-sifat mulia yang perlu disanjung tinggi oleh generasi remaja. Oleh itu, dalam mengenang kembali sejarah kemerdekaan negara kita, generasi yang hidup  pada zaman ini khususnya golongan remaja janganlah melupakan pengorbanan para pejuang kemerdekaan yang telah membuka jalan ini kepada kita.

Hasil cetusan semangat para pejuang seperti tokoh-tokoh politik, cendekiawan dan juga para ulama’,  maka kita wajib menghormati dan mengenang kembali jasa pahlawan tanah air sama ada yang masih hidup ataupun yang telah meninggalkan dunia. 

Setakat ini negara kita sudah berhadapan dengan berbagai-bagai gejala sosial yang membimbangkan yang memerlukan generasi muda sama-sama insaf dan sedar serta bersungguh-sungguh untuk mengatasinya. Negara kita juga tidak wajar digemparkan dengan sebarang ancaman baru daripada mana-mana kumpulan sehingga ke tahap mengancam keamanan dan keselamatan negara.

Dalam kita berusaha meningkatkan kesedaran tentang peri pentingnya kemerdekaan dan  melahirkan kesyukuran ke atas manisnya kemerdekaan itu, sudah ada tanda-tanda di dalam masyarakat kewujudan golongan yang mulai cuai dan lupa diri sehingga menimbulkan masalah. Keadaan ini jika tidak dibanteras dengan segera akan membawa kita kembali dijajah, khususnya penjajahan minda, iaitu suatu penjajahan bentuk baru yang licik dan halus.

Masalah yang dimaksudkan ialah gejala sosial seperti  black metal, pergaulan bebas, samseng, vandalisme, penyalahgunaan dadah, lumba haram dan sebagainya di kalangan remaja. Oleh sebab terlalu merdeka maka mereka lupa dan alpa tentang soal-soal pengorbanan. disiplin, tanggungjawab dan jati diri. Masalah ini tidak wajar dipertanggungjawabkan keatas kerajaan sahaja.

Tanggungjawab untuk menyekat atau mengatasi masalah ini harus menjadi tanggungjawab seluruh remaja. Didik dan tanamkan disiplin dalam diri supaya terhindar daripada sebarang gejala yang boleh merosakkan masa depan diri, keluarga, masyarakat dan juga negara.



Para remaja merupakan waris kepada kepimpinan negara dan kejayaan bangsa pada masa hadapan. Untuk itu bersama-samalah kita menggembeleng bagi membentuk dan berusaha agar akhlak dan minda generasi remaja tetap utuh serta berdaya tahan. Usahlah kita membiarkan pintu masa depan kita  terbuka luas kepada anasir-anasir jahat menyelinap masuk. Sesungguhnya generasi remaja pada hari ini adalah pintu kepada kemakmuran negara pada masa hadapan.


Tidak ada negara yang mempunyai masyarakat majmuk yang dapat hidup dalam keadaan tenteram, harmoni, saling bantu membantu dan hormat menghormati antara satu sama lain seperti mana dinikmati oleh negara kita . Suasana dan amalan yang dinikmati oleh Malaysia ini merupakan cara hidup yang dituntut oleh Islam.

Justeru ,marilah kita memelihara kemerdekaan kita ini dengan mengekalkan perpaduan yang wujud  supaya tidak akan ada perasaan curiga mencurigai sesama kita. Kita kekalkanlah permuafakatan yang telah wujud sejak 54 yang lalu sebagai kunci kepada kecemerlangan negara kita di masa yang akan datang. Golongan remaja perlu hidup bersatu hati di bawah lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kebaikan bersama.


Generasi sesudah merdeka berkewajipan menggembleng tenaga dan bertekad untuk mempertahankan tanah air daripada sebarang ancaman  sama ada dalam bentuk fizikal seperti keselamatan negara mahupun spiritual seperti penyelewengan akidah dan penyongsangan akhlak. Generasi remaja hendaklah berusaha dan berkorban segala-galanya demi memerdekakan diri daripada cengkaman kebejatan dan perhambaan hawa nafsu.



Sebagai generasi pasca kemerdekaan, remaja perlu kembali untuk memahami sejarah dan perkembangan negara kita. Ini penting sebagai kayu pengukur dan pemangkin dalam menyumbangkan khidmat dan bakti kepada negara yang tercinta. Tanpa memahami akan perkembangan negara dan buta sejarah , kita mungkin akan hanyut dibawa arus kesenangan hidup yang melalaikan.



Di sinilah peranan golongan remaja sebagai agen yang menggerak dan mengisikan erti kemerdekaan negara. Untuk mewujudkan pencapaian yang cemerlang, negara memerlukan generasi muda yang tangkas, gigih dan sangat dedikasi dalam melaksanakan kerja dan tanggungjawab

Remaja perlu meningkatkan kemahiran  dan mendalam ilmu pengetahuan agar ia dapat digunakan untuk mencipta kemajuan yang lebih bermakna.Tiada ertinya menikmati kemerdekaan berpuluh tahun akan tetapi cara dan pemikiran masih dikongkong oleh kekalutan berfikir dan kesempitan idea.

Sehubungan dengan itu, kita tidak sepatutnya merasakan cukup sekadar apa yang ada. Kita perlu membuka ruang dan mencipta peluang seperti mewujudkan trend pemikiran yang lebih proaktif. Kemajuan dan perkembangan dunia sekeliling perlu dimanfaatkan dan dipergunakan sebagai sebahagian daripada bahan-bahan bagi  memajukan diri dan negara.

Semangat kenegaraan dan mencintainya mesti tumbuh subur di setiap sanubari golongan remaja. Perasaan seumpama ini sebagai bekalan terbaik dalam mengharungi liku-liku kehidupan bernegara. Ini penting agar setiap pengaruh dan cabaran yang datang melanda masyarakat dapat didepani dengan lebih berani dan berupaya. Justeru  remaja perlu memiliki minda merdeka yang dinamik, cemerlang dan bertenaga.

Dalam suasana aman dan sejahtera hasil kemerdekaan ini, sudah sampai masa dan mustahak bagi semua pihak untuk sentiasa meningkatkan kewaspadaan terhadap apa-apa juga unsur yang boleh menggugat keamanan dan kesejahteraan negara. Bersama-samalah kita menjaga dan mengawal bumi Malaysia yang tercinta ini daripada kejadian-kejadian yang tidak diingini agar kesejahteraan dan keamanan yang kita nikmati selama ini terus dapat dinikmati oleh generasi akan datang...  

JIWA MERDEKA? FIKIRKAN!!!...


Merdeka! Merdeka! Merdeka. Suara hangat , suara semangat, suara keramat yang keluar dari jiwa yang merdeka. Zaman dahulu, nenek moyang kita menyebut serta melafazkan perkataan ini dengan suara bergetar (getaran di jiwa) kerana berasa sangat-sangat terharu, sangat gembira dan sangat bersyukur. Kini bagaimana perasaan kita apabila perkataan merdeka ini disebut atau dilafazkan? Ada rasa terharu? Ada rasa bersyukur? Ada rasa bangga? Fikirkanlah dan jawab sendiri.
54 tahun negara kita Malaysia telah merdeka daripada penjajahan. Alhamdulillah. Sekiranya dibuat perbandingan dengan manusia, umur 54 tahun secara fitrahnya akan tergambar dalam fikiran kita akan kewujudan manusia yang matang dari segi fikiran dan kerjaya, mantap dari segi sahsiah diri dan material. Begitu juga dengan negara kita, Malaysia kini megah di mata dunia, malah telah menduduki antara negara yang maju berbanding negara negara jiran . Tetapi bagaimana pula dengan remaja kita? Adakah kita dapat menyelami apa itu erti kemerdekaan? Adakah jiwa dan fikiran kita benar-benar merdeka? Adakah betul cara segelintir remaja yang menyambut kemerdekaan dari waktu petang,tengah malam hingga dinihari? Rentetan daripada sambutan seperti itu menyumbang kepada masalah sosial yang lebih kronik lagi seperti percampuran antara lelaki dengan perempuan yang akhirnya membawa kepada dosa zina, natijahnya mengandung di luar pernikahan, dan akibat ‘tak tahu nak buat apa’ akhirnya kandungan itu digugurkan atau dibiarkan mati dengan sendiri dengan cara membuang di merata tempat, seperti di bawah tangga, depan rumah orang, tepi longkang dan seumpamanya.Ini bukan tuduhan melulu, tapi realiti masalah sosial remaja masa kini. Contohnya Penganjuran Konsert Merdeka sama ada di Taman KLCC, di Dataran Merdeka atau di tempat lain, pada dasarnya bertujuan memberikan kesedaran tentang erti kemerdekaan dan sedikit hiburan kepada warga kota sementara menunggu detik 12 malam 31 Ogos setiap tahun.Kesempatan ini diambil oleh mereka yang sanggup meluangkan masa bersesak di tapak konsert terutamanya para remaja. Apa yang menyedihkan, kebanyakan mereka adalah terdiri daripada remaja Melayu, lelaki dan perempuan.
Remaja Melayu khususnya gadis sudah tiada lagi segan silu memakai pakaian menjolok mata. Golongan seperti ini sudah tidak lagi segan silu berdakapan, berpeluk sambil berjalan atau sambil duduk sementara menanti detik 12 malam. Lebih mengejutkan remaja Melayu sudah tidak lagi segan silu membeli, membawa dan meminum minuman keras seperti beer sehingga ada yang mabuk di khalayak ramai. Tambah mengecewakan remaja Melayu terutamanya yang masih bersekolah tanpa segan silu menghisap rokok di khalayak ramai.
Lihat sahajalah cara berpakaian anak-anak muda. Kita pasti akan menggelengkan kepala melihat fesyen pakaiandan 
gaya rambut mereka. Mereka seperti inikah bakal pemimpin yang akan menerajui Malaysia suatu hari nanti? Cuba tanyakan, apakah erti kemerdekaan kepada mereka? Apakah mereka ini benar-benar menyambut Merdeka atau sebenarnya mereka ini terlalu seronok dan ghairah, “merdeka” daripada kawalan ibu bapa dan “merdeka” daripada kewajipan menunaikan solat Asar, Maghrib & Isyak? penghayatan sebenarnya kurang atau langsung tidak ada!. Perhatikanlah muda mudi di Bukit Bintang, KLCC atau Bangsar pada malam menjelang Hari Merdeka atau sambutan Tahun Baru 2011 akan datang, renung serta fikirkanlah.
Sempena Ramadhan yang akan muncul tidak lama lagi, marilah wahai remaja, sama-sama kita memperbaiki dan menghiasi diri dengan amalan yang murni serta berakhlak mulia , di mana ia lebih bermanfaat untuk diri serta mendapat tempat di sisi Allah. 


Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Merdeka Raya aidil fitri kepada semua remaja Malaysia. Sambutlah Hari Merdeka Raya ini dengan rasa bangga untuk terus mempertahankan kemerdekaan, dengan penuh kesyukuran bagi mengisi kemerdekaan ini dengan perkara yang berfaedah serta teruskanlah langkah memburu kejayaan...

Jumaat, 12 Ogos 2011

Penyebaran fitnah bahaya jika tak dibendung...




SEJAK zaman Rasulullah SAW lagi sudah wujud masalah khabar angin palsu dan fitnah, maka apatah lagi pada zaman serba canggih ini, apa-apa saja boleh berlaku. Justeru, setiap individu muslim hendaklah memikul tanggungjawab dalam setiap perkataannya agar tidak tersalah dalam berkata-kata atau mengada-adakan cerita kerana dosa lidah itu amat berat.
 
Dalam menerima sesuatu maklumat, selidik dulu fakta diterima dan jangan dipercayai seratus peratus tanpa ada sandaran bukti dan dalil yang kuat. Seelok-eloknya tanyalah kepada orang yang lebih mengetahui dan sekiranya maklumat itu berkaitan dengan peribadi seseorang, tanyalah terlebih dulu kepada empunya diri supaya perkhabaran yang diterima itu betul dan tepat.
 
Berdasarkan peristiwa dialami Saidatina Aisyah, Rasulullah SAW menjatuhkan hukuman 80 sebatan atas kesalahan golongan penyebar fitnah. Hukuman ini dikira amat berat kerana menyebarkan fitnah bukan kesalahan ringan, malah ia amat bahaya jika tidak dibendung.
 
Maka pihak kerajaan dan golongan berwajib mesti mengambil langkah pencegahan supaya penyebaran maklumat palsu tidak berleluasa dan boleh memporak-perandakan hidup manusia.
Dalam era teknologi maklumat yang serba moden dan canggih, penyebaran dan penerimaan maklumat berlangsung dengan cepat dan pantas. Islam tidak pernah menolak kemajuan tetapi biarlah kemajuan ini seiring berasaskan etika dan nilai akhlak yang diterima pakai.
 
Fenomena fitnah dan khabar angin sering digunakan dalam menyebarkan maklumat yang tidak benar. Mereka menggunakan kemudahan canggih ini untuk melaga-lagakan sesama manusia sehingga yang bersahabat menjadi musuh, suami isteri bercerai gara-gara e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS), surat layang, internet dan seumpamanya.
 
Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah dengan balasan azab yang amat pedih. Maksud firman Allah SWT dalam Surah an-Nur, ayat 19, bermaksud: "Sesungguhnya orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya".
 
Ayat di atas diturunkan rentetan daripada peristiwa yang menimpa Rasulullah apabila isterinya Aisyah dituduh melakukan hubungan tidak baik dengan seorang sahabat bernama Safwan.
 
Berita bohong ini terjadi selepas peperangan Bani al-Mustaliq.Peperangan ini diserai kaum munafik. Dalam perjalanan pulang ke Madinah, rombongan tentera Islam singgah di satu tempat dan Saidatina Aisyah keluar dari kenderaannya untuk qadha hajat dan kalungnya jatuh menyebabkan beliau kembali ke tempat beliau qadha hajat untuk mencari kalung itu.
 
Pada masa sama tentera Islam berangkat meneruskan perjalanan ke Madinah yang pada sangkaan mereka Aisyah berada dalam kenderaan tunggangannya. Selepas Aisyah menjumpai kalungnya dia pun terus ke tempat persinggahan tentera Islam dan alangkah terkejutnya Aisyah apabila mendapati tiada lagi tentera Islam yang tinggal.
 
Saidatina Aisyah terlelap kerana kepenatan dan beliau dikejutkan dengan laungan seorang sahabat bernama Safwan bin Ma'tal yang kebetulan tercicir dari kumpulan tentera Islam. Safwan yang mengetahui Aisyah adalah isteri baginda segera mengucapkan ‘inna lillahi wa ilahi rajiun’ dan merendahkan tunggangannya untuk dinaiki Aisyah.
 
Sepanjang perjalanan mereka tidak bercakap walau sepatah perkataan pun sehingga mereka sampai ke Nahr al-Zahirah yang secara kebetulan tentera Islam pun berhenti di tempat yang sama. Apabila dilihat tentera Islam yang ada di kalangan mereka itu orang munafik, mereka mula menyebar cerita yang bukan-bukan berunsur fitnah kononnya Saidatina Aisyah ada melakukan hubungan sulit dengan Safwan. Cerita fitnah ini berlanjutan sehinggalah tentera Islam selamat sampai ke Madinah.
Rasulullah mengambil sikap mendiamkan diri sehingga wahyu turun bagi menjelaskan perkara sebenar. Ada di antara sahabat mencadangkan kepada Rasulullah supaya menceraikan Aisyah dan tidak kurang juga yang menyarankan baginda terus bersama isteri baginda.
 
Sebulan lamanya wahyu tidak turun dan dalam tempoh itu juga Saidatina Aisyah ditimpa demam. Sehingga pada satu hari turunnya ayat surah al-Nur ayat 11-20 yang menjelaskan mengenai kesucian Aisyah dan pembuktian dia tidak bersalah melakukan perkara curang. Sejurus selepas turunnya ayat, Rasulullah bersabda yang maksudnya: "Wahai Aisyah, kini Allah mengisytiharkan kesucianmu daripada segala noda".
 
Sahabat yang menyebarkan berita fitnah Aisyah dan Safwan dijatuhkan hukuman sebat atas kesalahan menuduh orang melakukan zina dan dirotan 80 kali sebatan. Keburukan dan kejahatan kaum munafik terdedah di khalayak sehingga ada di kalangan mereka berasa amat malu...

Matt Hayes CARP fishing

LARANG MENGAJI DI MASJID... DI PULAU PENANG







Assalamualaikum kepada rakyat yang bertanggong jawab kepada Agama dan Bangsa, lepas satu. satu lagi isu yang ditimbulkan,  isu yang terkini yang memeningkan kepala, jika dulu kerajaan BN memerintah Pulau Pinang, tiada juga kerenah yang timbul, tetapi setelah diambil alih olih puak pembangkang nie, dibantu olih puak PAS n PKR maka kekuatan mereka bertambah di Negeri pembangkang ini, dan mereka sudah menyusun strategi mereka untuk menawan satu persatu Negeri yang mana difikiran bolih tawan... Pulau Pinang ada lah Data Base buat mereka, segala pelan tindakan untuk menyerang bermula dari sana, Waima apa keadaan sekali pun mereka akan cuba sedaya upaya untuk memenang hati orang-orang melayu dengan berbagai cara dan tektik tektik koto mereka, mereka menggunakan tulisan Cina pada papantanda jalan, sebelum itu mereka menghapuskan polisi DEB, sebelum itu mereka persoalkan kenapa masjid dapat peruntukkan besar, sebelum itu mereka mempersoalkan kenapa Bumiputera dapat kuota, sebelum itu mereka persoalkan kenapa orang bukan Islam yang memeluk Islam tidak boleh murtad, sebelum itu mereka persoalkan kenapa tiada bahagian dalam harta pesaka bagi ahli keluarga yang bukan Islam, sebelum itu mereka mempersoalkan kenapa perlu memakai pakaian rasmi berdasarkan kepada kebudayaan Melayu Islam, sebelum itu mereka mempersoalkan kenapa perlu larang orang Islam bekerja di premis arak, sebelum itu mereka persoalkan kenapa arak tidak boleh di jual di kedai serbaneka, sebelum itu mereka melarang penggunaan logo 1 Malaysia  dan kini mereka mengarahkan JHEIPP melarang tilawah al Qur'an melalui corong pembesar suara sebelum subuh berkuatkuasa di semua negeri Pulau Pinang. Adakah selepas ini mereka akan melarang azan dan solat Jumaat serta puasa? Apakah tindakan yang perlu diambil olih pihak pihak tertentu bagi menanggani keadaan yang berterusan begini, 


Kerajaan UMNO-BN terus dicabar... ISLAM JUGA TERUS MENERUS DICABARRR... 

Khamis, 11 Ogos 2011

USAH POLITIKKAN ISU AGAMA...



NEGARA kecoh ekoran serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke sebuah gereja Kristian di Selangor baru-baru ini. Pelbagai tanggapan negatif dilabelkan kepada JAIS. Sehinggakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan pantas memohon maaf dan meminta JAIS mengemukakan kepada beliau laporan penuh berkaitan insiden tersebut.
Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan PEMBELA (gabungan NGO-NGO Islam di Malaysia) memantau situasi ini dengan penuh teliti.
PPMM memandang berat terhadap kenyataan-kenyataan beberapa pemimpin politik sebagai reaksi susulan terhadap penyiasatan Pasukan Penguatkuasaan (JAIS) ke atas Dream Centre, yang didakwa dimiliki Damansara Utama Methodist Church pada 3 Ogos 2011 tersebut.
PPMM juga agak musykil dengan kenyataan-kenyataan yang menggunakan istilah mengelirukan seperti telah berlaku storm, raid dan barge serta tindakan seumpamanya. Sedangkan pada hakikatnya, JAIS dan polis telah terlebih dahulu berunding dengan penganjur lebih sejam sebelum melaksanakan tujuan pemeriksaan. Ia untuk memastikan sama ada terdapat orang Islam di kalangan hadirin majlis tersebut.
Kenyataan ramai termasuk Menteri Besar boleh disifatkan sebagai campur tangan politik dalam hal ehwal agama Islam yang dipayungi kuasa Sultan.
Kenyataan Menteri Besar yang bersifat apologetic amat dikesali dan tidak sepatutnya dibuat ketika siasatan sepenuhnya masih berjalan.
Kenyataan dibuat oleh Menteri Besar tanpa mendapat maklumat penuh berkaitan dengan perkara sebenar yang berlaku. Perkara sebegini amat memalukan, apatah lagi apabila pemimpin negeri yang mengutarakannya.
Melihat pada respons sebahagian besar daripada pemimpin politik yang mempertikai peranan dan tugas JAIS, PPMM berasa terpanggil untuk menzahirkan rasa kesal atas kejahilan (ignorance) berkenaan hakikat kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah sepanjang sejarah negara, hatta sebelum kemerdekaan sekalipun, urusan berkaitan Islam tidak pernah diletakkan di luar naungan Sultan-Sultan dan diambilalih pemimpin politik. Hakikat ini mestilah dihormati dalam pemimpin memberikan sebarang komen demi memberikan keadilan terhadap semua pihak dalam menilai isu ini.
Objektif utama hal ehwal Islam diletakkan terus di bawah payung baginda adalah bagi menghindari hal ehwal Islam dijadikan bahan politik pihak yang berkepentingan. Tetapi objektif ini langsung tidak dihormati oleh Menteri Besar Selangor.
Susulan hakikat ini, PPMM membuat penegasan bahawa tindakan JAIS dilakukan di bawah ruang lingkup peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tubuh Negeri, Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri dan undang-undang lain yang berkuatkuasa.
Pemeriksaan tersebut adalah jelas berdasarkan pada aduan yang harus diselidiki pihak JAIS sebagai pihak yang diberikan kuasa dan bertindak mengikut lunas dan peruntukan undang-undang. Ternyata kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan adalah tidak berdasarkan fakta-fakta serta tidak bertanggungjawab serta bermotif jahat untuk merendahkan kedudukan Islam di negara ini.
PPMM sekali lagi menegaskan bahawa dalam hal dan urusan melibatkan pentadbiran Islam, tiada sesiapapun yang sepatutnya campur tangan, khususnya mengeluarkan kenyataan kenyataan yang mengelirukan dan membawa pada penghinaan terhadap Islam dan institusi Islam.
PPMM menggesa semua pihak, terutamanya pemimpin politik tanpa mengira parti agar lebih bertanggungjawab dalam memberikan komen terhadap isu ini.
PPMM juga menggesa agar pihak JAIS diberikan ruang seadilnya untuk menyelesaikan siasatan dengan lengkap dan sekiranya terdapat kes yang boleh dibawa ke ruang pengadilan maka proses undang undang hendaklah mengambil tempat sewajarnya (due process of law).
Kenyataan Ahli Parlimen Shah Alam yang sering berbeza pandangan dengan Exco Agama Selangor juga amat mendukacitakan. Tanpa apa-apa pengetahuan, Ahli Parlimen Shah Alam tersebut telahpun membuat keputusannya walaupun siasatan JAIS masih lagi belum selesai.
Adalah amat tidak adil menghentam JAIS di dalam tindakan di dalam bidangkuasa mereka. Mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 apabila mendapat aduan melalui Borang 5 tentang wujudnya suatu perlakuan kesalahan jenayah syariah, pegawai penguatkuasa agama mempunyai hak untuk mengadakan siasatan.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia “BULAN RAMADHAN BULAN AL-QURAN” (12 OGOS 2011/ 12 RAMADHAN 1432H)



Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Selari dengan bulan Ramadhan yang berkat ini saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk mimbar Jumaat pada hari ialah “ BULAN RAMADHAN BULAN AL-QURAN”.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Tarikh 17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah Nuzul al-Quran dan media massa, surat khabar serta televisyen tidak akan terlepas menyiarkan berita serta rancangan atau kuliah sempena memperingati Nuzul al-Quran. Memang benar bahawa setiap muslim sepatutnya memperingati tarikh penurunan al-Quran. Al-Quran merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada umat manusia. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 185:Maksudnya:Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah
         
Imam al-Qurthubi menjelaskan, bahawa Allah SWT menurunkan al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia. Menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, peringatan dan hukum-hakam, serta pembeza antara yang haq dan yang batil. Dengan demikian al- Quranlah yang seharusnya memandu dan memimpin kehidupan umat manusia.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sempena bulan Ramadhan sebagai bulan Nuzul Al-Quran ini, marilah kita dengan penuh iman dan takwa bermuhasabah diri kita, apakah kita selama ini telah mengambil al-Quran sebagaimana yang Allah SWT perintahkan atau selama ini kita hanya beriman dengan sebahagian dari al-Quran atau telah mengabaikan al-Quran? Apakah selama ini al-Quran telah benar-benar kita jadikan petunjuk, sumber hukum sekaligus sebagai penyelesai kepada segala masalah kehidupan kita? ataukah sebaliknya.
Berdasarkan pemerhatian mimbar, kebanyakkan kita berusaha menjaga jasad al-Quran. Kita tidak akan meletakkan al-Quran di lantai atau di kerusi atau lain-lain tempat yang kita rasakan tidak sesuai. Kita akan marah jika mendapati sesiapa sahaja yang tidak menjaga al-Quran. Kita turut sensitif dan merasa amat marah apabila mendengar dan melihat al-Quran dipijak, dikoyak, dibakar atau dibuang di tempat yang jijik. Kita juga tidak akan berdiam diri jika al-Quran dihina, diremeh atau dipermainkan di dalam apa bentuk sekalipun. Kita memang akan menjaga kemurnian dan kesucian al-Quran dari segala bentuk penodaan dan pemalsuan. Sebenarnya segala usaha ini sangat baik dan memang sudah menjadi tugas dan kewajiban kita yang harus kita tunaikan. Bagaimanapun kita amat merasa kesal terdapat umat Islam berusaha untuk menjaga jasad al-Quran, tetapi tidak berusaha untuk menghayati isi kandungannya dan menerapkan segala perintah dan larangannya. Umat Islam marah apabila al-Quran dihina, tetapi mereka sendiri seolah-olah seperti ‘menghina atau mengenepikan’ al-Quran dengan tidak mengamalkan apa yang terdapat di dalamnya.

Mimbar juga amat bimbang terdapat dikalangan umat Islam yang hanya menjadikan al-Quran sebagai perhiasan, disimpan baik-baik di rumah dan hanya digunakan untuk hal-hal yang berunsurkan mistik, misalnya menjadikannya sebagai azimat, tangkal, pelaris, penolak bala, pengusir syaitan dan sebagainya. Mereka juga lebih suka mengambil al-Quran sebagai sebuah ‘kitab magik’ yang boleh menguntungkan jualan, memurahkan rezeki, berubat, menghalau hantu dan pelbagai kepentingan peribadi lainnya.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mimbar  ingin mengingatkan kita semua bahawa Allah SWT menurunkan al- Quran bukan sekadar untuk dibaca, malah lebih dari itu. Membaca al-Quran adalah ibadah (sunat) dan InsyaAllah kita akan beroleh pahala kerananya, tetapi mengamalkan isi kandungannya adalah WAJIB dan sesiapa sahaja mengabaikannya maka ia telah  melakukan kesalahan dan boleh sampai ke tahap berdosa besar. Siapa sahaja yang yang tidak mengamal dengan apa yang Allah telah perintahkan, maka azab Allah akan diturunkan atau menantinya di akhirat! Bagi mereka yang tidak memikul amanat Allah SWT yang telah diturunkan-Nya melalui al-Quran, maka Allah telah membuat satu perumpamaan yang hina ke atas mereka. Firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat ayat 5:
Maksudnya:Bandingan orang yang dipikulkan kepadanya Kitab Taurat, kemudian mereka tidak memikulnya, samalah seperti keldai yang memikul Kitab-kitab besar. Buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”.

Melalui ayat ini, Allah SWT menghina kaum yang tidak memikul tanggungjawab melalui wahyu yang diturunkan-Nya dengan perumpamaan seperti keldaiBayangkanlah jika ada orang yang mengatakan kepada kita, “Anda ini seperti keldai!” Apakah perasaan kita? Apalagi yang menyatakan seperti itu ialah Allah  SWT yang kita harapkan keredhaan dan keampunan-Nya. Orang yang benar-benar beriman, bertakwa dan mengharapkan redha Allah sudah tentu akan merasa takut dan gementar akan perumpamaan tersebut.
Mimbar suka mengingatkan bahawa sesungguhnya peluang untuk menghayati al-Quran serta mengambil pedoman di dalamnya adalah kewajipan umat Islam sendiri. Persoalan besar di sini ialah apakah jawapan kita apabila Allah SWT melontarkan soalan kepada mereka yang membaca al-Quran seperti di dalam ayat 101 surah Ali-Imran:
Maksudnya: “Dan bagaimana kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran), dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w.)? Dan sesiapa berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah beroleh petunjuk hidayah ke jalan yang betul (lurus)”.

Ayat ini menunjukkan kepada kita terdapat di kalangan orang Islam menjadi kafir sedangkan al-Quran dan Sunnah berada di sisinya. Ini adalah disebabkan mereka tidak dapat menerima petunjuk Allah, justeru mereka ingkar kepada ayat Allah akan menjadi kafir.
Sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia dengan kemuliaan-Nya, agar kita menjadi golongan yang mulia. Salah satu pendekatan yang mengangkat martabat umat ini ialah dengan mengamalkan ajaran al-Quran secara menyeluruh dengan menjadikan al-Quran sebagai acuan kehidupan. Oleh itu, mimbar menyeru semua pihak di dalam keberkatan Ramadhan yang mulia ini, marilah kita sama-sama mengambil manfaat untuk meningkatkan ketakwaan dan mengubah segala kelakuan buruk dengan mengamalkan segala isi kandung al-Quran agar kehidupan kita lebih diredhai Allah SWT. Mimbar juga mengambil kesempatan sempena dengan Sambutan Hari Asean yang ke 44 pada 8 ogos tahun ini, menyeru seluruh jemaah dan umat Islam sekalian marilah sama-sama kita mempertingkatkan serta mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di negara kita dan secara amnya dirantau Asia Tenggara. Marilah sama-sama kita memupuk perpaduan sepertimana yang dianjurkan dalam kitab suci al-Quran dengan tanpa mengira bangsa, agama dan negara kerana perpaduan yang terjalin antara kita akan memudahkan segala urusan dan membolehkan sesuatu kejayaan dihasilkan. Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita menghayati firman Allah SWT dalam surah faatir ayat 10:
Maksudnya: “Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada-Nyalah naik segala perkataan yang baik dan amal yang soleh pula di angkat-Nya naik. Dan orang yang merancang kejahatan, adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka akan rosak binasa”.