Catatan Popular

Ahad, 4 September 2011

MARI KITA BERKONGSI PANDANGAN DAN NASIHAT










Dalam peluang kali ini saya ingin berkongsi sebuah nasihat dari al-Qur’an, iaitu ayat 12 surah al-Hujurat. Dalam ayat tersebut Allah SWT berfirman, maksudnya:   “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”   Ayat ini Allah mulai dengan seruan “Wahai orang-orang yang beriman…” bererti ia ditujukan kepada kita semua mukminin dan mukminat. Tentu sahaja seruan ini memiliki nilai nasihat yang penting sesudahnya, sekali gus membangkitkan perhatian kita semua. Nasihat itu ialah: “Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”   Sangkaan ialah apa yang kita memberitahu diri kita sendiri, sama ada dalam minda, hati atau kedua-duanya. Atas dasar inilah bersangka baik atau buruk adalah relatif sekalipun terhadap individu yang sama. Izinkan saya memberi contoh tiga rakan sebilik, Sakinah, Aini dan Rohayu. Sakinah disangka baik oleh rakan sebiliknya Aini, tetapi disangka buruk oleh rakan sebiliknya Rohayu. Kenapa wujud perbezaan ini sekalipun terhadap orang yang sama (Sakinah)? Ia disebabkan oleh apa yang diberitahu oleh Aini dan Rohayu kepada diri mereka masing-masing.   Oleh kerana Aini memberitahu dirinya bahawa Sakinah ialah seorang yang baik, maka dia bersangka baik terhadap Sakinah. Manakala oleh kerana Rohayu memberitahu dirinya bahawa Sakinah ialah seorang yang tidak baik, maka dia bersangka buruk terhadap Sakinah. Percaya atau tidak, sangkaan baik dan buruk tidak lebih ialah apa yang diberitahu oleh seseorang itu kepada dirinya sendiri.   Lebih dari itu, kita sebagai manusia memiliki satu kelemahan yang menyebabkan sangkaan lazimnya condong ke arah berburuk sangka. Entah mengapa, manusia cenderung mengintip dan mencari-cari kesalahan orang lain. Selagi tidak ditemui kesalahan, kekurangan dan kecacatan, selagi itulah manusia akan terus mengintip dan mencari-cari. Atas kecenderungan ini, manusia mudah lagi pantas berburuk sangka sekalipun hasil intipan dan pencarian mereka tidak membuahkan apa-apa bukti yang kukuh mahupun muktamad.   Hasil intipan dan pencarian itu pula segera disebarkan kepada orang ramai sehingga menjadilah ia satu umpatan. Umpatan ini merebak sebegitu pantas sehingga mangsa umpatan diburuk sangka oleh sekian ramai orang sekalipun oleh mereka yang tidak mengenalinya. Masing-masing memberitahu dirinya bahawa orang itu “tidak baik” berdasarkan umpatan yang berakar umbi dari intipan dan pencarian yang sejak awal didirikan atas kecenderungan ke arah kesalahan.   Allah sebagai Tuhan yang mencipta manusia amat mengenali kecenderungan ini di kalangan manusia, maka kerana itulah Dia berfirman: “…janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain.”   Rasulullah SAW memperincikan lagi sifat manusia ini dengan sabda baginda: “Berhati-hatilah kalian terhadap prasangka kerana sesungguhnya ia adalah perkataan yang paling dusta. Dan janganlah saling mencari-cari khabar kesalahan, janganlah saling memata-matai, janganlah saling meninggikan harga untuk menarik perhatian pembeli, janganlah saling mendengki, janganlah saling membenci dan janganlah saling membelakangi. Wahai para hamba Allah! Jadilah kalian bersaudara.” [Shahih al-Bukhari, no: 6066]   Hanya sebahagian kecil dari sangkaan adalah benar, iaitu sangkaan yang didirikan atas bukti yang kukuh lagi muktamad. Namun nisbah sangkaan yang benar lebih kecil berbanding sangkaan yang salah. Oleh kerana itulah Allah menyuruh kita menjauhi sebahagian besar dari sangkaan.   Mukminin dan mukminat yang suka mengumpat diumpamakan oleh Allah sebagai: “Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.” Sukakah seseorang itu memakan daging manusia? Tentu tidak. Sukakah memakan daging manusia yang sudah meninggal dunia? Tentu juga tidak. Jika tidak suka, maka tahanlah diri dari mengumpat kerana ia adalah satu perbuatan yang amat jijik, sejijik orang yang makan daging manusia yang sudah mati.   Lalu bagaimanakah keadaannya jika orang yang kita umpat benar-benar melakukan kesalahan itu? Katakanlah Sakinah benar-benar suka merokok, padahal merokok hukumnya haram kerana kerosakan yang ia bawa kepada diri perokok dan orang di sekelilingnya. Jika Rohayu mengetahui Sakinah seorang perokok secara pasti, adakah termasuk dalam kategori pengumpat jika dia memberitahu rakan-rakannya yang lain bahawa “Sakinah hisap rokok!”?   Jawapannya “Ya”, itu termasuk mengumpat. Kewajipan Rohayu ialah menegur Sakinah secara tertutup akan kesalahannya merokok. Menceritakan kesalahan Sakinah kepada orang lain ialah mengumpat yang dilarang oleh Islam manakala menegur kesalahan itu secara tertutup kepada Sakinah ialah akhlak mulia yang dituntut oleh Islam.   Sebagai penutup Allah berfirman: “…bertakwalah kamu kepada Allah.” Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan menjauhi larangan-larangan-Nya di atas. Tahanlah diri dan berpalinglah dari apa-apa lintasan untuk berburuk sangka, mengintip, mencari-cari kesalahan dan mengumpat. Seandainya kita terlanjur melakukannya, segeralah bertaubat kepada Allah kerana “…sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.”  

Tiada ulasan:

Catat Ulasan